Alat Kebesaran Di Raja Negeri Perlis

Setiap negeri mempunyai Alat Kebesaran masing-masing yang menjadi simbol kedaulatan dan kemegahan suatu negeri. Alat-alat ini biasanya akan digunakan sewaktu adat istiadat rasmi seperti majlis pertabalan dan majlis perkahwinan Di Raja.

Alat-alat lambang kedaulatan ini menjadi kebanggaan yang diwarisi sejak zaman dahulu dan memerlukan protokol tertentu dalam mengendalikannya. Setiap ukiran, hiasan dan bentuk alat-alat ini biasanya mempunyai sejarah dan maksud tersendiri yang menjadi lambang sesuatu negeri itu. Negeri Perlis sebagai sebuah negeri yang berdaulat juga mempunyai Alat-alat Kebesaran Di Raja.

Kitab Suci Al-Quran
Alat Kebesaran Diraja yang utama adalah Kitab Suci Al-Quran yang melambangkan pemerintahan raja beragama Islam. Kitab ini hanya akan dibawa ke majlis istiadat semasa Pertabalan DYMM Tuanku Raja. Pada permulaan istiadat pertabalan, Al-Quran ini dengan penuh tertibnya dipersembahkan kebawah DYMM. Tuanku Raja. Baginda kemudiannya akan mengucup dan meletakkannya di atas rehal di meja khas istiadat di atas singgahsana. Al-Quran ini akan berada di tempat khas itu sepanjang istiadat pertabalan berlangsung dan akan dibawa keluar setelah selesai semua atur cara istiadat.

al quran

Rehal
Semasa Pertabalan DYMM Tuanku Raja Perlis yang ke VII pada 7 Mei 2001, Rehal merupakan salah satu alat yang turut digunakan. Kitab suci Al-Quran yang merupakan salah satu Alat Kebesaran Diraja yang utama sebagai lambang seorang raja beragama Islam diletakan di atas rehal ini buat pertama kalinya di atas di meja khas istiadat di atas singgahsana. Ianya disenaraikan sebagai sebahagian daripada Peralatan Istiadat Rasmi Diraja dan dikeluarkan untuk digunakan hanya semasa Istiadat Pertabalan DYMM Tuanku Raja.

rehal

Keris Pendek Diraja
Keris Pendek DiRaja (keris sisip) adalah keris yang dipusakai sejak zaman pemerintahan Almarhum Raja Syed Alwi. Bilah keris ini diperbuat daripada besi yang terdiri daripada logam waja bermutu tinggi, dikumpul dari beberapa daerah dalam negeri dan luar negeri. Hulu keris, sampir dan sarungnya yang halus berkilat diperbuat daripada gading jenis terbaik dan diperhalus. Ukiran pada hulu keris melambangkan kedaulatan dan kebesaran seorang raja pemerintah, manakala ukiran pada sarung dan pendukuhnya pula diukirkan dengan motif seni halus tamadun Islam berwarna keemasan dengan hujungnya berbentuk mampan berbingkai. Keris ini merupakan KERIS KEBESARAN KUASA dan dikeluarkan hanya untuk Istiadat Pemasyhuran Seorang Raja Pemerintah.

keris pendek

Tepak Sirih
Tepak Sirih yang diperbuat daripada perak digunakan dalam Adat Istiadat Perkahwinan Diraja. Ianya terdiri daripada 2 bekas sirih, pinang, kapur dan gambir.

tepak sireh

Gendik Diraja
Gendik Diraja juga merupakan salah satu daripada Alat Kebesaran Diraja. Gendik Diraja ini dipakai oleh DYMM Tuanku Raja Perempuan dalam semua istiadat rasmi. Ianya diperbuat daripada emas putih bertatahkan batu permata berlian dengan reka bentuk separuh mahkota dengan unsur lakarannya tangkai padi yang merupakan hasil utama Negeri Perlis.

gendik

Kalung Diraja
Gandingan Gendik Diraja sebagai Alat Kebesaran Diraja adalah Kalung Diraja yang akan dipakai bersama-sama. Kalung ini diperbuat daripada emas putih bertatahkan penuh dengan permata berlian. Kalung Diraja dipakai oleh DYMM Tuanku Raja Perempuan bersama dengan Gendik Diraja dalam semua Istiadat Rasmi.

kalung

Tengkolok Diraja
Tengkolok Di raja diperbuat daripada kain tenunan warna hitam dan bersulamkan benang emas penuh. Terdapat pelbagai jenis Tengkolok Diraja di setiap negeri, ia dibezakan dengan bentuk ikatannya. Bentuk ikatan tengkolok yang dinamakan “Dendam Tak Sudah” adalah yang dipakai oleh DYMM Tuanku Raja Perlis ke VII. Lambang negeri Perlis yang diperbuat daripada emas putih diletakkan di bahagian hadapannya.

tengkolok

Pedang Kebesaran Diraja
Pedang Kebesaran Diraja adalah pedang yang dipusakai daripada Raja Pattani (nenda DYMM Tengku Budriah binti Almarhum Tengku Ismail, Raja Perempuan Perlis (1949-2000) yang diwarisi sebagai khazanah negeri dan dikeluarkan hanya untuk kegunaan bagi istiadat pertabalan DYMM Tuanku Raja. Mata pedang ini adalah mata yang asa. Bagaimanapun sarung dan pangkalnya bertatahkan emas. Sarungnya telah dibaikpulih sempena Pertabalan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Negeri Perlis Ke VII pada 7 Mei 2001.

pedang besar

Keris Kuasa Raja Pemerintah
Keris ini berukuran 22 inci yang melambangkan 22 buah mukim dalam Negeri Perlis merupakan KERIS KUASA RAJA PEMERINTAH. Mata keris ini berbentuk sepukal dan diperbuat daripada logam waja bermutu tinggi. Kayu kemuning bukit bersalut emas merah diukirkan penuh rapi untuk dijadikan hulu keris, sampir serta sarungnya melambangkan kedaulatan serta kuasa seorang raja pemerintah, manakala disarungnya pula terdapat ukiran halus bersenikan permata melambangkan Raja Yang ke VII dan di penghujung sarungnya berlitup emas. Pada permukaan sampirnya dimeterai Lambang negeri Perlis. Keris ini telah dipersembahkan oleh mantan Menteri Besar Perlis, YB Dato’ Seri Shahidan bin Kassim, di istiadat Pertabalan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis ke VII pada Mei 2001 sebagai keris persembahan rakyat dengan ikat nama KERIS RAKYAT TONGGAK DIRAJA.

keris kuasa

Jata Diraja
Jata Diraja adalah Alat Kebesaran Diraja yang diperbuat daripada emas putih dengan rekabentuk lambang Negeri Perlis. Jata Diraja ini dipakaikan bersama Tengkolok Diraja diletakkan di bahagian hadapan dan dipakai oleh DYMM Tuanku Raja semasa Baginda berpakaian penuh istiadat dalam semua Istiadat Rasmi

jata

Singgahsana
Singgahsana adalah tempat Bersemayam Diraja yang melambangkan Takhta Kerajaan negeri Perlis. Singgahsana ini dibina menggunakan kayu jati pertama yang terdapat di Negeri Perlis pada tahun 1986.

singgahsana

Keris Kuasa Raja Muda
Keris ini adalah keris yang diwujudkan khas sempena Pemasyhuran DYTM Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Ianya diperbuat daripada besi waja bermutu tinggi. Keris ini dinamakan KERIS KUASA RAJA MUDA. Hulu keris, sampir dan sarungnya diperlicinkan secara halus dan berkilat diperbuat daripada gading bermutu tinggi. Hulu keris dan pendukuh diukirkan sedemikian rupa bagi melambangkan kuasa, manakala seni ukir halus tamadun Islam berwarna keemasan diukirkan pada sarungnya dengan hujungnya mampan berbingkai. Keris kebesaran ini dimeterai dengan lambang Negeri Perlis di permukaan sampirnya telah dipersembahkan oleh Menteri Besar Perlis sempena Istiadat Pemasyhuran DYTM Tuanku Syed Faizzuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Raja Muda Perlis pada 20 Oktober 2000 dan akan dipakai (diselitkan) oleh DYTM Raja Muda dalam semua istiadat rasmi.

keris raja muda

Sepasang Keris Panjang
Hulu dan sarung keris panjang ini diperbuat daripada kayu jenis ternama dan berukiran penuh simbolik bagi melambangkan keunggulan dan kebesaran istana. Dililitkan juga pada sarungnya dengan pergelangan perak bertatahkan emas hingga ke hujungnya berlitup. Dua orang penjawat berpakaian lengkap istiadat akan menyandang keris panjang ini dan dikeluarkan hanya untuk kegunaan semasa keberangkatan masuk DYMM Tuanku Raja ke Balairung Seri dan semasa keberangkatan Baginda meninggalkan Balairung Seri setelah Istiadat rasmi selesai.

keris panjang

Sepasang Pedang Istiadat
Pedang merupakan satu peralatan yang matanya diperbuat daripada besi waja berbentuk panjang, lentik dan hujungnya tajam. Pangkal dan sarungnya diperbuat daripada kayu ternama, di varnis berkilat dan diukir halus dan penuh simbolik melambangkan keagungan dan kebesaran istana. Sarung pedangnya ini diperkemaskan lagi dengan lilitan pergelangan perak bertatahkan emas hingga ke hujungnya bertutup. Sepertimana peralatan istiadat yang lain, pedang ini juga disandang oleh dua orang penjawat berpakaian penuh istiadat dan dikeluarkan untuk kegunaan di istana hanya semasa keberangkatan masuk DYMM Tuanku Raja ke Balairung Seri dan semasa Baginda berangkat meninggalkan Balairung Seri setelah selesainya istiadat rasmi.

pedang istiadat

Payung Istiadat
Sejumlah lapan kaki payung diletak secara statik di kiri dan kanan singgahsana di Balairung Seri. Payung ini berwarna kuning Diraja dan setiap satunya memaparkan lambang negeri Perlis, di bahagian atas dengan tepinya ditekat dengan peramu berwarna keemasan melambangkan keagungan pemerintahan Raja berdaulat yang secara simbolik melambangkan perlindungan kepada seluruh rakyat jelata yang bernaung di bawah pemerintahan baginda. Payung ini hanya dikembangkan sepenuhnya semasa DYMM Tuanku Raja berangkat ke Balairung Seri untuk istiadat rasmi. Kesemua payung ini akan ditutup separuh dan disimpan di tempat yang sama setelah selesai sesuatu istiadat rasmi.

payung

Sundang
Sundang adalah sejenis alat bermata besi panjang dan tajam. Hulu sampir dan sarungnya diukir penuh simbolik bagi melambangkan keagungan alat kebesaran istana dan diperbuat daripada kayu kemuning jenis ternama. Sarungnya pula dihiaskan dengan lilitan pergelangan perak bertatahkan emas dengan hujungnya berlitup. Sundang juga hanya akan dikeluarkan untuk kegunaan hanya semasa keberangkatan masuk DYMM Tuanku Raja ke Balairung Seri dan semasa keberangkatan baginda meninggalkan Balairung Seri setelah selesai Istiadat. Ia juga disandang oleh dua orang penjawat berpakaian lengkap istiadat.

sundang

Tombak
Alat senjata tombak ini bermata besi tajam dengan batang panjang bersalut perak di beberapa bahagian tertentu.

tombak

Tombak ini hanya dikeluarkan untuk kegunaan semasa keberangkatan masuk DYMM Tuanku Raja bagi semua Istiadat rasmi yang berlangsung di Balairung Seri dan semasa Baginda berangkat meninggalkan Balairung Seri setelah selesai sesuatu istiadat rasmi. Tombak ini turut disandang oleh dua orang penjawat berpakaian lengkap istiadat.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.