Anak Perlis Pertama Dianugerahkan Pingat Hang Tuah

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa pada tahun 1970 dulu, seorang rakyat negeri Perlis julung-julung kalinya telah dianugerahkan Pingat Hang Tuah oleh DYMM Yang Di-pertuan Agong pada Hari Perhimpunan Kanak-kanak Sedunia di Kuala Lumpur dulu.

Beliau yang dimaksudkan ialah Nan bin Ahmad, yang ketika itu berumur 14 tahun. Beliau merupakan pelajar SMK Syed Hassan. Tentu bukan calang-calang orang yang boleh mendapatkan anugerah tersebut. Nan telah menyabung nyawa menyelamatkan kawannya yang lemas, Nasir Bin Darus. Peristiwa itu terjadi ketika itu Nan bersama Nasir dan kawan-kawan yang lain mandi beramai-ramai di Sungai Bakong, Kangar.

agung dan nan

Namun malang tidak berbau, arus sungai yang deras menyebabkan Nasir lemas. Nan ketika itu berumur 13 tahun dengan berat badan 25kg dan hanya setinggi 142cm. Nasir pula berumur 14 tahun, tinggi 162cm dan berat badannya 32kg. Boleh kita bayangkan tubuh Nan yang kecil itu bergadai nyawa di saat genting untuk menarik Nasir ke tebing melawan arus sungai yang deras. Nan menyelam 3 kali berturut-turut ke dasar Sungai Bakong untuk mencari Nasir. Sementara itu rakan-rakan yang lain telah lari ketakutan meninggalkan sungai.

lemas

Apabila sampai ke tebing, Nan turut melakukan pertolongan cemas kepada Nasir yang tidak sedarkan diri dan dengan izin Nya, jantung Nasir berdengup kembali. Kemudian, Nan melihat seorang lagi kawannya, Manan bin Mat Din, yang berumur 14 tahun ketika itu, juga sedang tenggelam timbul dihanyutkan arus deras. Namun Nan tidak berdaya lagi untuk terjun semula ke sungai kerana letih menyelamatkan Nasir, dan Manan juga bertubuh lebih besar darinya.

sungai bakong

Namun Nan berfikiran pantas, beliau lantas berlari mendapatkan bapanya di rumah untuk menyelamatkan Manan. Akhirnya Manan dapat diselamatkan bapa Nan, En. Ahmad. Begitulah keberanian Nan yang sememangnya mempunyai keberanian yang istimewa.

Hasil pengorbanannya itu, Nan dianugerahkan Pingat Hang Tuah dan menerima sumbangan wang RM450 dari Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia. Kerajaan Negeri Perlis juga memberi biasiswa tahunan sebanyak RM200. Sumbangan ini yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban En. Ahmad yang hanya bekerja sebagai pesawah kerana Nan masih mempunyai seorang adik yang bersekolah rendah dan dua orang adik yang masih kecil ketika itu.

nan diarak

Nan sememangnya seorang pelajar yang aktif besukan di SMK Syed Hassan. Selain aktif dalam pengakap, beliau turut bermain sukan bola sepak, sepak takraw, bola lisut dan pelari jarak jauh. Beliau becita-cita untuk menjadi seorang jurutera.

Anugerah Pingat Hang Tuah yang diperkenalkan pada 1960 kepada tokoh kanak-kanak negara diwujudkan kembali bagi memberi pengiktirafan kepada golongan terbabit yang menunjukkan keberanian luar biasa. Penganugerahan Pingat Hang Tuah ini telah dijadikan acara tetap sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia bermula 22 Oktober 1960.

akhbar

Sejak 1960 hingga 1977, seramai 30 orang kanak-kanak telah menerima anugerah Pingat Hang Tuah sebelum ia dimansuhkan kerana dikatakan kriteria anugerah ini hanya menumpukan kepada kebolehan fizikal. Ia diganti kepada Anugerah Tokoh Kanak-kanak Kebangsaan pada 1982 yang mengambil kira keistimewaan kanak-kanak secara menyeluruh meliputi kecemerlangan akademik, kegiatan ko-kurikulum, kepimpinan, motivasi diri dan sahsiah.

Antara kriteria perlu dipenuhi adalah calon kanak-kanak lelaki atau perempuan mestilah warga negara Malaysia di bawah usia 18 tahun, pernah melakukan tindakan yang mempunyai elemen keberanian luar biasa termasuk menyelamatkan nyawa manusia atau harta benda sewaktu kecemasan, bencana, kemalangan atau darurat. Mereka yang dicalonkan juga tidak boleh memiliki rekod jenayah atau pernah terbabit dalam sebarang kes akhlak atau moral.

Antara Tokoh kanak-kanak yang menerima Pingat Hang Tuah ialah :

  • 1960 : Mohammad Nor bin Omar, 16 (Terengganu)
  • 1961 :
  • 1962 : Rosnah bte Akasah (Pulau Pinang)
  • 1963: Balwant Singh
  • 1964:
  • 1965: Chang Haa, 13 ( Tapah, Perak)
  • 1966:
  • 1967: Suhaimi bin Hussain, 14 (Kelantan)
  • 1968: Zalizan bin Zakaria, (Kelantan)
  • 1969: Ariffin bin Mohamed, 14 (Kelantan)
  • 1970: Nan bin Ahmad (Perlis)
  • 1971:
  • 1972: Ruslan bin Ali, 16 (Kg Pandan, KL)
  • 1973:
  • 1974:
  • 1975: Amran bin Mohammed, 10 (Raub, Pahang)
  • 1976: Musa bin Zainuddin, 13 (Pantai Dalam, KL) – meninggal dunia pada 2006 (40)
  • 1977: Jamaluddin bin Ahmad, 12 (Sarawak)
  • 1978: Anugerah Pingat Hang Tuah dimansuhkan.

Pada tahun 2006 dan 2007 Anugerah ini diwujudkan semula.

  • 2006: Muhammad Firdaus Haris, 13 (Melaka)
  • 2007: Muhammad Zulfahmi bin Zuraidi (Terengganu)
  • 2008 – 2013: Anugerah Pingat Hang Tuah dimansuhkan sekali lagi.

Pada tahun 2014 Anugerah ini diwujudkan semula

  • 2014 : Mohamad Syawal bin Mohd Shukri, 6 (Kedah)
  • 2015 : Munzir bin Shaharuddin, 15 (Kedah)

pingat hang tuah

Namun pihak kami kekurangan maklumat tentang apa yang terjadi kepada En. Nan apabila telah menganjak dewasa. Adakah beliau berjaya mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang jurutera? Walau apapun, keberanian dan rasa bertanggung jawab Nan untuk menyelamatkan rakannya dapat kita jadikan tauladan.

Amatlah penting untuk kita semai kepada generasi akan datang sikap tidak mementingkan diri sendiri dan memberi galakan kepada mereka untuk aktif bersukan agar dapat meningkatkan stamina selain rajin belajar. Semoga akan lahir lagi anak Perlis untuk menerima anugerah ini suatu hari nanti, InsyaAllah.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.