Asal Nama Kampung Santan Kota

Kampung Santan terletak lebih kurang 6km. dari bandar Kangar. Sebahagian besar penduduknya terdiri dari orang-orang Melayu yang kebanyakan mereka bekerja sebagai petani dan bekerja sendiri. Nama Santan sering dianggap oleh orang ramai berkaitan dengan pohon kelapa yang boleh menghasilkan santan yang dikatakan dahulunya kampung ini terdapat banyak pokok kelapa.

Namun, ada juga yang menafikan anggapan tersebut, dan mengatakan bilangan pokok kelapa di kampung ini tidak jauh bezanya dengan kampung lain. Menurut orang-orang tua di kampung ini, nama Santan berasal dari dari air. Suatu ketika dahulu iaitu sewaktu kampung ini mula diteroka, penduduk menghadapi masalah sumber air. Oleh kerana itu mereka mulai menggali telaga-telaga untuk mendapatkan sumber air.

signboard

Namun, Ada telaga yang digali tidak mengeluarkan air yang jernih seperti yang terdapat di tempat-tempat lain. Airnya dikatakan berwarna putih susu yang menyerupai santan. Ada yang mengatakan rasa airnya lemak seperti rasa santan ketika cuba merasa air telaga ini. Maka, setelah peristiwa ini kampung tersebut digelar sebagai Kampung Santan.

Penduduk Kampung Santan ini telah bertambah ramai dan kampung ini kian berkembang lebih luas. Kerana semakin luas, kampung ini kemudian telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Bahagian Hilir dikenali sebagai Kampung Santan Kota (sekarang meliputi kawasan km 2 di Jalan Santan) dan Bahagian Hulu dikenali nama sebagai Kampung Santan Baroh (sekarang meliputi kawasan antara km 5 hingga km 7, Jalan Santan menghala ke Padang Lati).

peta santan

Kampung Santan Kota pula mendapat namanya berdasarkan satu peristiwa yang dikatatakan pernah berlaku di kampung tersebut dulu. Pada suatu ketika dahulu , di kampung ini terdapat seorang tokoh agama yang dikatakan keramat, nama beliau adalah Tok Haji Bahri. la sangat dihormati dan mempunyai ramai pengikut.

Beliau juga mempunyai hubungan persahabatan dengan penduduk selatan Siam. Oleh kerana itu waujudlah perhubungan yang erat antara beliau dengan pemerintah Siam. Tetapi keadaan ini tidak kekal. Timbul perselisihan faham antarabeliau dengan pemerintah Siam. Pihak orang-orang Siam cuba menyerang kampung ini dan menangkap Tok Haji Bahri. Beliau mengetahui rancangan Siam ini, dan meminta tolong pengikut-pengikutnya mempertahankan serangan musuh ini.

kubu kayu

Pengikut-pengikutnya mengambil inisiatif dengan membina satu kawasan yang agak tinggi seperti bukit kecil dan mendidirikan satu kota di situ untuk perlindungan. Pihak Siam akhirnya berjaya sampai ke kampung ini dan mencari tempat perlindungan Tok Haji Bahri. Mereka berjaya menemui tempat yang dicari itu akan tetapi Tok Haji Bahri ialah seorang yang taat pada Allah dan memohon agar ia terselamat. Dikhabarkan beliau hilang begitu sahaja tanpa dapat ditawan oleh pihak Siam. Bahkan pengikut-pengikut beliau pun sukar menemuinya lagi. Ramai yang berpendapat bahawa tokoh agama ini hilang begitu sahaja selepas peristiwa ini.

kubur santan

Kawasan bukit kecil yang dibina oleh pengikut-pengikut Tok Haji Bahri inilah kemudiannya dikenali sebagai Kampung Kota. Kawasan ini sekarang telah dijadikan kawasan perkuburan yang dikelilingi oleh kawasan sawah yang luas. Kemudian, seluruh kawasan ini sekarang dinamakan sebagai Kampung Santan Kota. Begitulah cerita lisan asal nama Kampung Santan Kota yang diceritakan penduduk tua di kampung ini. Mungkin ada banyak lagi pendapat dari orang lain tentang asal usul tempat yang diceritakan ini. Semoga terdapat pengkaji lain yang dapat membahaskan dengan lebih terperinci.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.