Asal-Usul Kerabat Jamalullail di Bumi Perlis

Kerabat DiRaja Perlis adalah merupakan keturunan yang bersambung nasabnya dengan Nabi Muhammad ﷺ iaitu dari salasilah Jamalullail. Asal muasal keturunan Jamalullail di Perlis adalah bermula dari kedatangan Syed Ahmad bin Syed Hussain bin Aqil bin Abdullah bin Muhammad bin Salim bin Ahmad bin Abdurrahman bin Ali bin Muhammad Jamalullail dari Hadramaut, Yaman.

salasilah

Beliau bersama anak saudara beliau yang bernama Syed Alwi bin Syed Abdullah bin Syed Hussain bermusafir ke nusantara melalui jalan laut dan singgah ke Palembang. Beliau menetap di sana beberapa ketika sebelum meneruskan pelayarannya ke Tanah Melayu iaitu ke Kedah sekitar tahun 1735M dengan tujuan menyebarkan agama yang di redhai Allah (berdakwah) sambil berdagang.

musafir3

Syed Ahmad berlayar ke negeri Kedah manakala anak saudaranya Syed Alwi mengambil keputusan untuk menetap di Palembang dan kemudian beliau berhijrah ke Betawi yang kini dikenali sebagai Jakarta.

makam syed alwi jakrta

Setibanya di Negeri Kedah, Syed Ahmad tinggal menumpang di rumah kenalannya iaitu Syed Muhammad Thoha Al-Qadri di Kampung Limbong, Langgar Kedah. Syed Muhammad Thoha Al-Qadri mempunyai tiga orang anak, iaitu Syarifah Aminah Al-Qadri , Syed Ibrahim Al-Qadri dan Syed Umar Al-Qadri.

limbong

Syarifah Aminah Al-Qadri kemudian dinikahkan oleh Syed Muhammad Thoha Al-Qadri menjadi isteri kepada Syed Ahmad. Anak-anak lelaki Syed Muhammad Thoha Al-Qadri tidak lama setelah itu telah merantau ke Chenak (Chana, Thailand) utk berdakwah sambil berniaga disana. Ketinggian ilmu agama yang mereka miliki menyebabkan mereka mendapat tempat di kalangan masyarakat Melayu di Chenak. Syed Ibrahim Al-Qadri yang mempunyai pengaruh yang kuat dibumi Chenak diberi gelaran “Tokku Chenak”.

Chennak

Pernikahan Syed Ahmad tersebut telah dikurniakan seorang cahaya mata yang bernama Syed Abu Bakar Harun atau dikenali sebagai Syed Harun pada tahun 1737M. Syed Harun menjadi anak yatim ketika meningkat remaja kerana ayahandanya telah kembali mengadap Allah swt pada tahun 1751M. Jenazah Syed Ahmad dimakamkan di Kampung Limbong Langgar, Kedah di tanah perkuburan yang terdapat ahli keluarga mertua beliau.

makam syed ahmad

Syed Harun bersama Ibunya Syarifah Aminah tinggal dikampung dalam di kampung Limbong tersebut sehingga, bapa saudaranya Syed Umar Al-Qadri, iaitu saudara lelaki bondanya yang telah menetap dan berdakwah di Chenak, pulang ke Limbong untuk menziarahi keluarganya di Kedah dan membawa Syed Harun untuk merantau ke Chenak.

Sesampai Syed Harun di Chenak, beliau tinggal dirumah bapa saudaranya Syed Ibrahim Al-Qadri yang dikenali dengan panggilan “Tokku Chenak” itu. Syed Harun mempunyai akhlak peribadi yang bagus serta ilmu agamanya yang baik. Oleh kerana itu Syed Harun dinikahkan dengan sepupunya sendiri iaitu Nang Yam, anak perempuan Tokku Chenak sendiri. Nama sebenar Nang Yam ialah Syarifah Mariam.

ulama

Pernikahan Syed Harun dengan Syarifah Mariam menjadikan beliau semakin terkenal dikalangan pembesar-pembesar Chenak apatah lagi peribadinya yang mulia disamping menjadi menantu kepada Tokku Chenak yang juga salah seorang ulama terkenal disana.

Apabila semakin dewasa, Syed Harun mempunyai seorang budak suruhan yang bernama Muhammad Arshad atau digelar “Awang” bagi membantu beliau dalam urusan perniagaan dan dakwah. Awang kemudian menjadi teman dan orang kuat bagi Syed Harun. Awang sebenarnya adalah anak kepada Nai Bukong atau nama sebenarnya Muhammad Yunus iaitu salah seorang pembesar Chenak. Nai Bukong mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Syed Harun. Nama penuh Awang adalah Muhammad Arshad bin Muhammad Yunus.

sail2

Perniagaan Syed Harun semakin bertambah maju dan pengikutnya juga semakin ramai yang mengasihi beliau. Hal ini telah menimbulkan iri hati kepada beberapa orang yang dengki dengan keupayaan Syed Harun. Mereka ini telah menyebarkan difitnah dan khabar angin sehingga ke istana Raja Singgora (Songhkla) yang kononnya seorang Sayyid berbangsa Arab hendak menjadi raja di Negeri Chenak. Raja Singgora termakan hasutan itu dan telah memerintahkan Syed Harun untuk mengadap baginda di istananya di Songhkla.

pedagang arab

Apabila mendapat utusan perintah itu, Syed Harun dan Tokku Chenak sudah menjangka niat disebalik undangan tersebut, Syed Harun bermuafakat dengan Tokku Chenak untuk pulang ke Negeri Kedah tanpa menurut perintah untuk mengadap Raja Singgora demi menjaga keselamatan keluarga dan pengikutnya. Syed Harun dan Tokku Chenak berserta keluarga dan pengikut-pengikutnya kemudian berangkat pulang ke Negeri Kedah.

Maka Syed Harun dan Tokku Chenak dikatakan berangkat membawa sekelian harta benda dan hamba sahaya, bersama-sama mereka pengikut-pengikut dari Chenak seramai lebih kurang 500 orang beserta beberapa orang panglima-panglima Chenak kerana kasih mereka kepada ulama itu. Mereka berangkat itu dengan menunggang lebih kurang 30 ekor gajah.

hijrah gaja

Kisah ini menunjukkan tingginya pengaruh Syed Harun Jamalullail dikalangan penduduk dan pembesar Chenak ketika itu sehingga mereka sanggup meninggalkan kampung halaman mereka untuk berhijrah bersama-sama beliau ke Kedah. Setibanya di Kedah, Syed Harun dan Tokku Chenak mengadap Sultan Tengku Dhiauddin Mukarram Shah (Raja Muda Kayang) yang ketika itu berkuasa dijajahan Perlis dan Setol (masih dibawah Negeri Kedah). Mereka diizinkan untuk menetap di suatu kawasan jajahan baginda Sultan iaitu disekitar Padang Siding dan Arau.

Pengikut mereka dari Chenak membuka penempatan di Padang Siding sementara Syed Harun dan keluarga serta orang rapatnya menetap di kawasan Arau (sekarang sekitar Bandar Arau). Maka wujudlah dua buah perkampungan pada ketika itu mula diberi nama Arau dan Padang Siding.

padang siding

Adat seorang ulama berakhlak mulia, Syed Harun turut dihormati oleh penduduk-penduduk serta pembesar-pembesar Perlis ketika itu yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Tidak beberapa lama kemudian, Isteri Syed Harun yakni Syarifah Mariam Al-Qadri telah meningggal dunia tanpa meninggalkan zuriatnya bersama Syed Harun.

arau

Syed Harun yang mempunyai ketinggian peribadi, mempunyai ilmu agama yang dalam, rupa wajahnya yang kearaban keturunan Quraisy Bani Hasyim dan kelebihan yang dimiliki olehnya, membuatkan Raja Muda Kayang yang ketika itu menjadi Pemangku Sultan Kedah telah tertarik dan berkenan untuk menjadikan beliau sebagai menantu. Maka beliau dinikahkan dengan Putri Raja Kayang yang bernama Tengku Sofiah.

makam syed harun

Setelah kira-kira 2 bulan 10 hari setelah perkahwinan mereka, iaitu pada tarikh 12 Rabiul Awwal 1212 Hijrah (1798M), ayahanda mertua Syed Harun yakni Sultan Dhiauddin Mukarram Shah atau Pemangku Sultan Kedah, telah berkenan menganugerahkan “MUKIM ARAU” kepada Syed Harun Jamalullail yang mana penganugerahan tersebut berbunyi :

“Akan Mukim Arau itu diberi kepada Tuan Syed Harun menjadi pesaka sampai anak, cucu, cicit Tuan Syed Harun selama-lamanya”

Penganugerahan itu menjadikan Mukim Arau menjadi hak sepenuhnya oleh Syed Harun untuk mentadbirkannya yang demikian itulah terlantiklah Syed Harun sebagai Penghulu Arau yang pertama. Dari keturunan Syed Harun ini maka lahirlah Raja Perlis yang pertama. Nantikan sambungan kisah Raja Perlis yang pertama ini dalam artikel kami yang seterusnya, Syed Hussain Ditabal Menjadi Raja Perlis Pertama.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.