Asal Usul Nama Kampung Guar Syed Alwi

Guar Syed Alwi dulu sebuah perkampungan yang terletak 2 km ke arah selatan dari pusat Bandar Kangar, Perlis. Ia terletak di sebelah timur Jalan Raja Syed Alwi (yang dikenali dengan Jalan Kuala Perlis lama). Lokasinya yang berada dilaluan utama menjadikan kampung ini begitu cepat membangun dengan banyak perubahan yang berlaku. Kampung adalah antara yang terawal menerima kemajuan yang dibawa oleh kerajaan.

Menurut orang-orang tua di sini, Kampung Guar Syed Alwi telah dibuka lebih dari dua ratus tahun dahulu iaitu sekitar awal abad ke-19. Kampung ini sebenarnya dulu dikenali sebagai Guar Satun/Setul/Setoi. Ia telah dibuka oleh sekumpulan orang Melayu yang berasal dari Satun (Setul) Thailand. Mereka yang awal berpindah dan menetap di sini antaranya ialah Lebai Donan, Lebai Senawi, Lebai Wahab, Lebai Man, Tok Jusoh, Lebai Saman, Lebai Samad dan beberapa orang lagi.

peta guar setoi

Orang-orang Melayu yang berpindah dan menetap di sini adalah berasal dari ‘Puak Skon’ dari Kampung Long Kut’ (Sungai Korek) Satun, Thailand. Pada masa itu orang Semenanjung dan orang Siam terutama di bahagian sempadan bebas keluar masuk. Mereka dahulu berpindah ke sini hanya berjalan kaki dengan meredah hutan belantara dan bukit-bukau sebelum tiba di mukim Kurung Batang.

Mereka telah membuka pertempatan sementara di Padang Ling Ching Kurung Batang, sebelum kemudiannya berpindah dan menetap di Guar Satun (Guar Syed Alwi). Mereka ini berpindah dari kampung asalnya dikatakan kerana melarikan diri dari diambil menjadi askar Siam. Namun ada juga yang mengatakan kumpulan tersebut meninggalkan kampung halaman mereka kerana kesusahan hidup dan mereka berhijrah adalah semata-mata untuk merubah kehidupan dan mencari harta kekayaan. Walau bagaimanapun, sumber-sumber sejarah bersependapat mengatakan orang Melayu Satunlah yang menerokai kampung ini kira-kira dua ratus tahun dahulu. Sebelum orang-orang Melayu Satun sampai, tempat ini hanya dipenuhi dengan hutan rimba dan masih dihuni binatang buas. Lokasi ini dipilih untuk penempatan kerana tanahnya lebih tinggi dibandingkan keadaan tempat lain yang lembah berair.

peta satun

Kawasan ini juga belum ada orang yang mendiaminya. Mereka mula mendirikan rumah-rumah kediaman dan memugar hutan-rimba, setelah itu penduduk di kawasan ini bersepakat dan bersetuju menamakan tempat ini dengan nama ‘Guar Satun’. ‘Guar’ ialah panggilan atau sebutan bagi tanah yang lebih tinggi dari kawasan sekitar, manakala ‘Satun’ pula adalah kampung asal mereka semua.

Pasti pembaca orangperlis.com tertanya-tanya bagaimana nama Guar Satun boleh bertukar nama menjadi Guar Syed Alwi. Perubahan atau pertukaran nama kampung ini terjadi semasa zaman pemerintahan Raja Perlis keempat iaitu Almarhum Tuanku Raja Syed Alwi Ibni Almarhum Tuanku Syed Safi Jamalullail yang memerintah Perlis pada tahun 1905 sehingga tahun 1943. Tuanku Syed Alwi memerintah agak lama dan ini membolehkan baginda melakukan beberapa kemajuan dan perubahan di Negeri Perlis walaupun pada awal pemerintahan baginda keadaan pentadbiran baginda agak sukar kerana kemerosotan kewangan negeri.

Raja Syed Alwi

Tuanku Raja Syed Alwi lebih mesra pada rakyat jelata dengan gelaran Raja Syed Lawi, pemerintahan baginda sangat mengambil berat hal rakyat serta mukim-mukim di bawah kekuasaan baginda. Pada masa itu baginda amat gemar berangkat menyaksikan temasya dan upacara yang diadakan di setiap mukim. Oleh kerana itu untuk memudahkan dan menyenangkan baginda dan rombongan, beberapa rumah persinggahan (rehat) atau Tandiap dibina dibeberapa tempat di seluruh negeri Perlis.

Suatu ketika dulu, Pesta Mengambil Madu Lebah adalah suatu temasya tahunan yang sangat terkenal di Utan Aji. Tuanku Raja Syed Alwi bersama dengan pembesar-pembesar negeri sering berangkat menghadiri temasya tersebut. Seperti yang kita maklumi, oleh kerana tiada jalan perhubungan dan kenderaan seperti sekarang, perjalanan dari Istana Arau ke Utan Aji mengambil masa yang lama. Baginda yang diiringi oleh Tuan Syed Alim Al-Jafri pembesar kanan baginda, Dato Wan Teh, Tengku Abdullah dan beberapa orang lagi berangkat menaiki gajah dan akan singgah di ‘Tandiap’ yang didirikan di Kampung Guar Satun. Rombongan Baginda akan berehat dan bermalam di situ sebelum meneruskan perjalanan ke temasya di Utan Aji yang tidak jauh dari situ.

panjat1

Oleh kerana baginda sering berkunjung ke kampung tersebut maka baginda semakin popular dan disayangi oleh penduduk Kampung Guar Satun, maka Guar Satun tersebut lebih dikenali dengan nama ‘Guar Syed Lawi’ (Alwi). Nama asal Guar Satun yang diberi oleh peneroka awal semakin hari semakin dilupakan dan akhirnya nama tersebut hanya menjadi nostalgia kepada generasi tua kampung itu sahaja. Maka nama ‘Kampung Guar Syed Alwi’ yang digunapakai sekarang telah diambil bersempena dengan nama pemerintah negeri Perlis ke IV iaitu Tuanku Raja Syed Alwi.

selamat datang

Penduduk awal kampung Guar Syed Alwi keseluruhannya adalah terdiri dari orang-orang Melayu Satun (Setul). Pada masa dulu seluruh penduduk awal sehingga generasi ketiga mereka menggunakan pertuturan harian mereka dalam bahasa Siam. Namun generasi kini sudah ramai yang tidak dapat bertutur dalam bahasa Siam.

jalan raja syed alwi

Sebelum dibina Jalan Kangar ke Kuala Perlis, iaitu Jalan Raja Syed Alwi yang melalui Kampung Guar Syed Alwi, Utan Aji, Kayang dan terus ke Kuala Perlis, jalan penghubung kampung ini dengan Kangar hanya melalui batas-batas sawah dan denai yang dilalui dengan berjalan kaki , kereta lembu dan diikuti kemudian dengan kereta kuda. Untuk sampai ke Kangar, penduduk Guar Syed Alwi tidak sukar untuk berjalan kaki kerana lokasinya berdekatan dan mereka hanya berjalan kaki. Mereka akan menggunakan anok (penaik) yang ditarik oleh lembu atau kerbau Jika ada barangan berat yang hendak dibawa ke Kangar. Apabila sudah terbina dan siapnya Jalan Raja Syed Alwi maka perhubungan menjadi semakin mudah bagi penduduk kampung berulang-alik ke Bandar bagi menjalankan urusan jual beli dan lain urusan dengan pihak kerajaan.

anok

Sewaktu orang-orang Melayu Satun tiba ke lokasi ini, mereka memilih tempat yang sesuai untuk dijadikan tapak rumah kediaman iaitu di bahagian utara dan selatan guar, kerana bahagian ini tanahnya lebih rendah dan pamah. Rumah-rumah dibina dengan menggunakan kayu yang diambil di tempat itu juga. Setelah itu mereka mula memugar tanah untuk dijadikan kawasan tanaman padi huma, jagung, keledek dan sayur-sayuran. Lama-kelamaankawasan pagi huma dipugar dijadikan sawah padi. Manakala dikawasan tanah tinggi ditanam pula dengan pokok buah-buahan.

Apabila tanaman getah diperkenalkan di Tanah Melayu, terdapat penduduk di Guar Syed Alwi yang turut menggantikan kebun buah-buahan mereka menjadi tanaman getah yang lebih menguntungkan. Pada ketika itu pekerjaan utama penduduk di sini ialah bersawah padi dan menanam sayur-sayuran. Beras yang dihasilkan kemudian dijual kepada peniaga-peniaga Cina di Bandar Kangar.

taman syed alwi

Menjelang hujung kurun ke-20, sektor pertanian tidak lagi menjadi kegemaran generasi muda hari ini. Sawah-sawah padi Cuma diusahakan oleh golongan tua sahaja. Generasi baru lebih menumpukan kepada pekerjaan makan gaji yang memberikan perolehan yang lumayan dan tetap. Mereka lebih memilih untuk berkhidmat dengan kerajaan, bekerja di sektor swasta, menjalankan kerjakerja perbengkelan, menjadi kontraktor dan berniaga.

Kini Kampung Guar Syed Alwi telah dilandai dengan pelbagai perubahan dan kemajuan selaras dengan kemajuan dan kemudahan yang dikecapi oleh kampung-kampung lain di Perlis khasnya. Banyak taman-taman perumahan dan pasaraya besar mulai dibangunkan di kawasan ini. Kampung Guar Syed Alwi kini terdapat Jabatan Kerja Raya, Pejabat Perkhidmatan Haiwan, Institut Latihan Perindustrian, Sekolah Menengah Sains, Kolej Jururawat dan Maktab Perguruan Perlis.

giant kangar

Kawasan ini menjadi kawasan yang padat dengan penduduk sekarang. Taburan rumah agak tersusun kedudukan tetapi amat berdekatan di antara sebuah rumah dengan sebuah rumah yang lain. Semoga semangat kerjasama dan perpaduan antara kaum dapat dikekalkan di sini dan diharapkan situasi yang sedia ada dapat dipertingkat dan dipertahankan untuk kesejahteraan penduduk Kampung Guar Syed dan Negeri Perlis.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.