Asal Usul Nama Wang Gunung

Pintu Wang Gunung merupakan satu tempat hiking yang menjadi salah satu tarikan bagi para pendaki di utara tanah air ini. Seperti kebanyakan bukit-bukit lain di Perlis, Pintu Wang Gunung juga merupakan bukit yang terbentuk dari batuan kapur yang berada di atas Banjaran Nakawan yang menganjur dari Thailand. Batu-batu tajam ini dinamakan Formasi Setul yang berusia lebih 500 juta tahun. Pintu Wang Gunung menjadi penanda sempadan antara Malaysia-Thailand setelah Perjanjian Bangkok 1909 dulu.

perlis view

Puncak Pintu Wang Gunung bukanlah merupakan puncak tertinggi bagi Banjaran Nakawan di bahagian Perlis ini, namun hanya titik tertinggi yang dapat kita lalui yang menjadi sempadan atau pintu bagi Malaysia-Thailand. Tinggi puncak Pintu Wang Gunung ini ialah 499.1m dari paras laut.

satun view

Terdapat mitos berkaitan asal-usul nama Wang Gunung ini. Sekitar 1800, kawasan Wang Gunung ini menjadi kediaman dan lokasi perkampungan. Di dalam kampung tersebut terdapat seorang penghulu yang bernama Awang Gunung. Beliau merupakan seorang panglima yang handal yang sentiasa melindungi penduduk kampung di kawasan ini.

Panglima awang

Selain itu, Awang Gunung juga menjadi wakil kerajaan pada ketika itu untuk menghantar ufti bunga emas kepada kerajaan Siam. Sikap gagah dan berani Awang Gunung ini menjadi bualan masyarakat setempat dan mitos Wang Gunung ini sentiasa dikaitkan dengan kewujudan Awang Gunung yang dianggap sebagai seorang yang mempunyai kehebatan dan berperan sebagai seorang pemimpin yang disegani masyarakat pada ketika itu. Namun kini kawasan Wang Gunung tidak lagi menjadi kawasan penempatan penduduk.

jalan masuk

Pendakian ke Pintu Wang Gunung ini tidak terlalu sukar jika dibandingkan dengan laluan pendakian Bukit Chabang. Jalan masuk ke pendakian ini bermula di pinggir Jalan Sungai Batu Pahat berdekatan dengan Padang Golf. Pendakian bermula dengan melalui laluan hutan tanah merah yang semestinya disambut mesra dengan pacat rimba. Pendaki dinasihatkan untuk memakai stokin panjang(stoking bola) untuk mengelakkan pacat masuk ke dalam seluar.

pacat

Laluan ini mula dibuka untuk pendakian umum pada 27 Disember 2015. Di sepanjang laluan 2.85km ini, kita akan melalui 14 check points di mana kita akan melihat batu-batu penanda yang menjadi sempadan Malaysia-Thailand. Satu pengalaman yang menarik apabila melangkah betul-betul di garis sempadan negara ini.

batu sempadan

Apabila tiba di laluan yang berbatu atau menanjak tinggi, terdapat tali-tali yang telah disediakan untuk kita berpaut, jadi pendakian ini tidak terlalu sukar. Namun laluan berbatu ini sangat tajam, maka para pendaki dinasihatkan memakai sarung tangan dan ekstra hati-hati ketika mendaki.

panjat tali

Setelah mendaki selama hampir 2 jam, akhirnya sampai di Pintu Wang Gunung, kita akan dapat melihat pemandangan negeri Perlis yang sangat mempersona dan wilayah Satun serta pantai yang berada di dalam negara Thailand.
puncak

Satu pengalaman yang indah. Di puncak Pintu Wang Gunung, terdapat landmark yang menjadi kegemaran para pendaki untuk bergambar. Satu landmark yang menarik dan dapat menonjolkan sifat kegagahan pendaki yang bergambar di situ.Jadi jangan lepaskan peluang untuk merasakan pengalaman yang menarik mendaki Pintu Wang Gunung ini.

landmark

Untuk mendaki Pintu Wang Gunung ini perlulah mendapat permit dari Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dan sebaiknya mempunyai guide yang berpengalaman demi keselamatan. Bagi memudahkan pada pencinta aktiviti hiking ramai pendaki-pendaki berpengalaman menawarkan pakej mendaki Pintu Wang Gunung ini dengan harga yang sangat lumayan. Untuk mencari pakej yang ditawarkan tersebut tidaklah susah, hanya dengan search di FB sahaja. Semoga aktiviti begini menjadi satu pilihan untuk mempromosikan keindahan negeri Perlis, permata utara semenanjung ini.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.