Asal Usul Nama Wang Kelian

Wang Kelian merupakan sebuah perkampungan Melayu terletak paling ke utara di di Semenanjung Malaysia. Bahagian utara Wang Kelian adalah bersempadan dengan negara Thailand dan dikelilingi banjaran bukit-bukau. Oleh kerana itu, perkampungan ini menjadi begitu terasing, lambat membangun dan tidak banyak diresapi pengaruh luar.

peta wang kelian

Di Wang Kelian terdapat kawasan yang dinamakan Wang Burma dan Wang Tangga. Wang Burma terletak berhampiran dengan Pos Imigresen Wang Kelian. Wang Burma telah diistiharkan sebagai sebahagian dari ‘Taman Negeri’ oleh Kerajaan negeri Perlis . Kawasan Wang Burma ini bebukit dan terdapat kawasan perkelahan dan terowong-terowong gua yang menarik antaranya Gua Wang Burma.

gua wang burma

Wang Tangga pula terletak di pintu Gua Kelam di sebelah Wang Kelian yang merupakan kawasan perlombongan bijih timah pada masa dahulu. Selain lombong bijih timah, terdapat juga kebun getah dan dusun buah-buahan. Untuk sampai ke Wang Tangga pengunjung harus melalui Gua Kelam yang menjadi laluan penghubung kawasan Kaki Bukit dan Wang Tangga.

tangga seratus

Laluan Gua Kelam ini dahulu digunakan untuk mengangkut bijih timah yang telah dilombong. Kini di Wang Tangga terdapat Kem Bina Negara yang sering digunakan untuk pelbagai aktiviti latihan motivasi bagi belia-belia dan kakitangan kerajaan.

wang tangga1

Pasti ramai diantara pembaca orangperlis.com tertannya-tanya bagaimana asal-usul dan terbentuknya nama Wang Kelian. Menurut sumber yang telah diperolehi, terdapat dua versi cerita bagaimana Wang Kelian mendapat namanya.

Cerita versi pertama mengisahkan bahawa perkampungan Wang Kelian telah dibuka oleh Tuk Putih, Penghulu Ali dan beberapa orang pengikutnya kira-kira pada awal abad ke 19. Tuk Putih dan pengikutnya ini dikatakan berasal dari Langkat, Sumatera. Mereka berhijrah ke sini kerana melarikan diri dari keadaan huru-hara dan ketakutan yang dilakukan pemerintahan Belanda dalam melaksanakan pemerintahannya di Sumatera.

wang kelian1

Hal tersebut telah mengakibatkan ramai tokoh yang memusuhi Belanda terpaksa meninggalkan Indonesia dan melarikan diri terutama ke Semenanjung Tanah Melayu. Tuk Putih dan pengikut-pengikutnya turut keluar berhijrah dan akhirnya tiba di Perlis. Setibanya mereka di Perlis, mereka berpindah dari satu tempat ke satu tempat sehinggalah tiba di Kaki Bukit.

Gua Kelam 1

Dari situ mereka mendaki Bukit Wang Tangga dan meneruskan perjalanan ke sebuah kawasan sesuai untuk dibina penempatan. Tuk Putih selaku ketua kemudian bertenung dan bertilik dan akhirnya dalam firasat beliau, kawasan tersebut sesuai untuk dijadikan tempat tinggal kerana tanahnya subur dan terasing dari perkampungan lain. Nama Wang Kelian dilhamkan sendiri oleh Tuk Putih.

Dikatakan perkataan Wang diambil berdasarkan keadaan tempat itu yang dikelilingi oleh bukit-bukau, dan perkataan Kalian pula diambil dari loghat Indonesia beerti anda semua. Apabila kedua digabungkan perkataan itu menjadi Wang Kalian bermaksud ‘Wang’ untuk anda semua. Nama ini diterima pakai oleh pengikut-pengikutnya dan akhirnya nama tersebut berkekalan sehingga ke hari ini.

Dalam versi cerita yang kedua, asal-usul Wang Kelian ini sebenarnya telah dibuka oleh orang tempatan. Mereka datang ke sini untuk melombong bijih timah yang dipercayai banyak tersimpan di dalam tanah dikawasan berkenaan. Mereka telah menjalankan usaha cari gali bijih timah secara kecil-kecilan. Namun setelah banyak lubang digali, pencarian bijih timah tidak juga ditemui.

Oleh kerana kawasan tersebut masih tidak bernama, maka mereka menamakannya sebagai wang galian. Akhirnya nama tersebut bertukar menjadi Wang Kelian. Wang bermaksud kawasan lembah dilingkungi bukit-bukau dan Galian bererti bijih yang dilombong.

wang kelian2

Kedua-dua versi cerita ini mempunyai ciri munasabah masing-masing. Ketentuan kesahihan asa-usul Wang Kelian ini hanya berdasarkan cerita yang diperolehi secara lisan daripada cucu-cicit generasi awal yang dipercayai sebagai peneroka Wang ini. Walaupun begitu, ia sedikit sebanyak dapat merungkai asal usul nama Wang Kelian.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.