Bakti Pohon Ibus Yang Dilupakan

Pokok ibus atau nama saintifiknya Corypha Gebanga adalah sejenis tumbuhan palma yang telah wujud sejak ribuan tahun lalu. Pokok ibus banyak ditemui di bahagian utara semenanjung termasuk juga di Negeri Perlis. Pada masa dulu, terdapat banyak pokok ibus di Perlis.

Ini dibuktikan dengan pemberian nama pada kampung-kampung tertentu dengan nama pokok itu. Terdapat dua kampung didapati telah menggunakan nama pokok itu iaitu Kampung Behor Ibus di Simpang Empat dan Kampung Utan Ibus di Kayang. Penamaan kampung-kampung itu dikatakan berkaitan dengan wujud pokok ibus yang banyak terdapat di situ.

ibus1

Masyarakat Perlis zaman dulu menganggap pokok ibus sebagai pokok seribu guna kerana begitu bermanfaat dalam kehidupan manusia. Ukuran batangnya yang jauh lebih besar daripada batang kelapa menjadikannya sering digunakan sebagai titi. Pada masa itu, hampir setiap anak sungai atau tali air di Perlis mempunyai titi yang diperbuat daripada batang ibus. Usaha membina titi batang ibus memerlukan tenaga yang banyak, ini mewujudkan semangat bergotong-royong dikalangan masyarakat. Sekurang-kurangnya 20 orang diperlukan untuk mengusung batang pokok ibus yang besar dan berat.

ibus 2

Buluh panjang adalah peralatan utama yang digunakan bagi mengusung batang ibus disamping pelepah ibus yang berfungsi sebagai tali pengampai. Selain daripada dijadikan titi, batang ibus turut dijadikan sebagai tiang, pelapik, tempat letak pasu bunga dan bangku. Daun ibus pula sering digunakan untuk membuat bujam iaitu sejenis bakul kecil. Bujam biasanya digunakan untuk tujuan perubatan tradisional untuk meletakkan beberapa keperluan perubatan seperti sirih, pinang dan beras. Selain itu, ia juga digunakan
sebagai tempat menyimpan makanan kering termasuk beras.

bujam

Selain untuk membuat bujam, daun ibus yang sepanjang antara 2m hingga 3m turut digunakan untuk membuat tikar. Tikar ibus biasanya digunakan sebagai alas menjemur padi. Oleh kerana ia lebih banyak digunakan diluar rumah, tikar ibus dianggap sebagai tikar kelas kedua.

ibus bunaga

Malah bukah itu saja, daun ibus juga menjadi bahan untuk membuat karung, dinding, atap, penyapu dan barangan mainan seperti bola dan serunai. Sekain daun, pelepah ibus juga boleh digunakan untuk membuat tali atau “simpai” untuk kegunaan mengusung rumah. Untuk membuat tali, pelepah ibus diremukkan supaya ia menjadi lebih lembut. Selain dijadikan tali, pelepah ibus yang diremukkan juga selalu menjadi pengikat buaian.

Ketinggian pokok ibus boleh mencapai sehingga 20 meter dan ia akan berdiri megah sehingga ke akhir hayatnya. Pokok ibus akan mengeluarkan hasil terakhirnya ketika dipenghujung hayatnya iaitu buah-buah yang enak dimakan. Buah ibus boleh dijadikan manisan dan boleh dimakan secara mentah. Pokoknya perlu ditebang untuk mendapatkan buah ibus yang muda kerana ia susah untuk dipanjat. Buahnya juga susah untuk dikait dengan galah kerana pokoknya terlalu tinggi.

ibus muda

Penghasilan buah itu bukanlah menandakan bakti terakhir yang dicurahkan oleh pokok ibus kepada manusia. Walaupun ia telah mati, batangnya masih lagi dapat ditebang dan digunakan. Pokok yang mati tidak akan tumbang tetapi buah-buahnya yang matang akan berguguran ke bumi. Buah-buah itu kemudiannya akan menjadi benih untuk membentuk pokok yang baru disekelilingnya.

ibus matang

Pokok ibus memberi khidmatnya hingga ke penghujung hayat dan terus berkhidmat walaupun telah mati. Bahkan setelah mati, batang ibus yang tidak ditebang akan bertukar fungsi menjadi tempat sarang burung-burung khususnya burung gembala kerbau. Selain menjadi tempat burung bersarang, batang ibus juga menyumbang makanan kepada burung belatuk.

ibus bunga2

Namun kini, sumbangan pokok ibus dilihat sepi oleh manusia kerana sudah jarang masyarakat negeri Perlis yang membuat hasil kerja tangan dari pohon ibus. Malah tiada usaha untuk mengekal dan memeliharanya. Pokok ibus juga sudah jarang dilihat. Terdapat juga segelintir penduduk yang menganggapnya sebagai tumbuhan yang tidak mempunyai kegunaan. Semoga pokok ibus ini tidak pupus dari bumi Perlis.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.