Belantara Gelam Yang Hilang

Pada masa dahulu negeri Perlis dipenuhi oleh pokok gelam terutama di kawasan selatannya yang hampir meliputi sebahagian besar daripada keluasannya. Pokok yang dulunya pernah membentuk belantara gelam itu sekarang sudah mulai pupus. Belantara yang menakutkan itu sebaliknya kini telah diganti menjadi lautan sawah yang luas terbentang.

Nama saintifiknya pokok gelam ialah Melaleuca Leucadendron. Ia pernah dilihat umpama musuh yang harus diperangi demi mendapatkan tanah sawah. Disebabkan itu sejak awal abad ke-20 ratusan penduduk tanpa jentera moden, yang hanya berbekalkan kapak, parang dan gergaji menggunakan kudrat tulang empat kerat mereka untuk menerokai belantara itu. Hasil jerih payah dalam perang belantara oleh para peneroka yang bergelar “Panglima Gelam” itu, wujudlah sawah yang terbentang meluas.

gelam1

Sekarang, sawah itu telah menjadi sumber rezeki kepada ratusan petani di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). Sewaktu memerangi belantara gelam, para peneroka ketika itu juga tidak terlepas dari berhadapan dengan ancaman serangga, reptilia berbisa serta binatang buas. Berkat kesungguhan mereka, akhirnya dapat melepasi cabaran itu dengan jayanya. Sebelum mula berperang dengan belantara itu, mereka telah membina ketabahan, kesungguhan dan kesabaran untuk menjadikan kawasan itu sebagai kawasan sawah tanaman padi.

Pada peringkat permulaan tanaman padi dilakukan di antara celah tunggul-tunggul pokok gelam yang besar dan ada yang mencapai sebesar meja makan bulat. Kerja-kerja membuang tunggul-tunggul gelam bagi setiap satu hektar kawasan mengambil masa bertahun lamanya. Menurut pengalaman yang dikisahkan beberapa peneroka, belantara gelam menyebabkan wajah matahari tersembunyi pada waktu pagi dan petang. Gambaran ini jelas menunjukkan begitu merimbunnya daun pokok gelam hinggakan amat sukar untuk ditembusi cahaya matahari untuk menyinari bumi ketika pagi dan petang. Bagaimanapun matahari hanya akan kelihatan melalui celah-celah rimbunan daun gelam ketika tengah hari. Pasti suasana di dalam hutan gelam juga sangat sejuk pada waktu itu.

gelam2

Pada awal penerokaan belantara gelam, langkah pertama yang dilakukan ialah menebang beberapa batang pokok gelam yang bersaiz besar. Kawasan itu kemudian dibersihkan dan dijadikan tapak untuk didirikan pondok kecil atau dangau.Di dangau itulah mereka akan berehat, berteduh dan bermalam sehingga kawasan yang diterokai itu akhirnya menjadi kawasan lapang dalam tempoh beberapa tahun.

Pokok gelam yang ditebang dengan kapak dan gergaji tidak disia-siakan oleh peneroka. Misalnya batang pokok gelam yang di antaranya sebesar pemeluk akan dimanfaatkan sepenuhnya , ia dijadikan tiang, rasuk dan lantai dangau manakala dinding serta atap diperbuat daripada kulit pokok gelam. Kulit pokok gelam bersifat liat. Ia boleh ditanggalkan menggunakan kapak dan akan kelihatan seperti tikar atau permaidani dengan keluasannya bergantung kepada saiz batang pokok.

Pokok gelam biasanya tumbuh di kawasan yang agak berpaya dan kerana itu para peneroka cenderung menjadikan kawasan berkenaan sebagai sawah padi. Batang-batang gelam yang sebesar pemeluk akan disusun oleh para peneroka untuk dijadikan sebagai titi untuk memudahkan pergerakan mereka. Sebenarnya tidak ada catatan yang tepat mengenai keluasan kawasan yang diliputi belantara gelam di negeri ini tetapi pada kenyataannya memang belantara itu hampir memenuhi ruang di kawasan Perlis selatan. Ini dapat dilihat dalam cerita-cerita silam mengenai kewujudan kampung-kampung di negeri ini yang menggunakan nama pokok itu. Antara kampung tersebut ialah Kampung Gelam, Tanjung Gelam, Seri Gelam, Alor Gelam dan Padang Gelam. Namun ada di antara kampung yang tidak lagi menggunakan nama pokok berkenaan dan telah menukarkan namanya seperti Kampung Long Boh yang pernah dikenali sebagai Gelam suatu ketika dahulu.

tanjung gelam

Di sekitar Tasik Melati dan beberapa kawasan di utara Perlis boleh ditemui juga pokok gelam. Tetapi kebanyakan pokok gelam yang ditemui di utara Perlis ialah yang bersaiz kecil iaitu dari jenis Gelam Tikus dan Gelam Bukit. Walaupun masih banyak kampung yang namanya di ambil sempena nama pokok itu, tetapi hakikatnya pokok gelam semakin pupus di negeri ini. Kemungkinan besar generasi muda di kampung terbabit yang diambil sempena pokok gelam juga tidak pernah melihat pokok itu. Sukar untuk menemukan pokok gelam sebesar pemeluk yang masih hidup di negeri ini atau besar kemungkinan sudah tidak ada lagi. Hanya yang tinggal adalah pokok-pokok gelam kecil yang masih dipelihara oleh para peneroka silam sebagai kenangan.

Pokok gelam kini hanya menjadi nostalgia kepada masyarakat tani terutama kepada para peneroka yang secara langsung terbabit untuk memugar belantara gelam kepada lautan sawah. Masih munasabah jika dicadangkan supaya belantara gelam diwujudkan semula di kawasan tertentu di negeri ini dan dijadikan seperti kawasan rekreasi. Ia boleh juga ditanam di bahu jalan sama seperti pokok-pokok Jati dan Sentang.

laut sawah

Pokok gelam, menurut Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), juga dikenali sebagai “Whitewood” dan “Paper Bark Tree” juga tumbuh di Australia dan Pulau Maluku di samping kawasan-kawasan berpaya dan tanah beris di negara ini. Pokok ini boleh mencapai ketinggian 25 meter di kawasan habitatnya tetapi tidak semua batangnya tumbuh tegak melurus. Tempoh matang pokok gelam sama seperti pokok Jati iaitu pada usianya 30 tahun iaitu. Pokok ini juga boleh memberi sumbangan kepada sektor ekonomi. Jika di pada suatu masa dulu, ia hanya digunakan oleh para peneroka untuk membina kemudahan asas seperti membina dangau tetapi kini ia sudah pasti lebih bermanfaat di zaman teknologi moden. Batangnya yang keras boleh diproses untuk dijadikan perabot dan ia juga boleh dijadikan balak yang bermutu tinggi.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.