Di manakah “kolam” di Jalan Kolam?

Jalan Kolam adalah salah satu jalan utama di Bandar Kangar yang menghubungkan kawasan Tebing Tinggi hingga ke Jalan Hospital di Bandar Kangar. Namun dari mana Jalan Kolam ini mendapat nama? Sebenarnya memang terdapat sebuah kolam di Jalan Kolam yang banyak berjasa kepada penduduk tempatan.

Kolam tersebut terletak di perkarangan Kediaman Rasmi Menteri Besar Perlis sekarang. Walaupun saiznya hanya sebesar perigi biasa, tetapi dengan izin-Nya, airnya dikatakan tidak pernah kering termasuk pada musim kemarau yang teruk melanda Perlis. Pada asalnya ia adalah sebuah perigi yang dibina semasa pemerintahan British dahulu.

jalan kolam map

Kediaman Rasmi Penasihat British ini yang kemudian menjadi Rumah Tetamu, kemudian menjadi Kediaman Rasmi Menteri Besar, kemudian diubahsuai menjadi Bangunan Muzium Negeri. Namun Muzium Negeri juga kemudian sekarang telah dipindahkan ke Muzium Kota Kayang dan tempat ini kembali berfungsi sebagai Kediaman Rasmi Menteri Besar. Perigi tersebut sudah terdapat di situ sejak sekitar awal tahun 1930-an. Pada mulanya, perigi tersebut berfungsi menyediakan bekalan air kepada penghuni di Kediaman Rasmi berkenaan. Air daripada perigi itu diangkut ke Kediaman Rasmi untuk kegunaan memasak, membasuh dan mandi.

bangunan asal

Perigi berkenaan tidak lagi berfungsi sebagai pembekal air kepada Kediaman Rasmi pemerintah negeri apabila bekalan air paip mula diwujudkan di negeri ini. Tetapi fungsinya kepada masyarakat masih berterusan kerana air paip hanya dimasukkan ke rumah-rumah orang kenamaan sahaja pada peringkat awal. Beberapa peniaga membuka beberapa buah kedai makan bersebelahan perigi tersebut pada masa dahulu. Sambil datang membeli makanan di kedai tersebut, penduduk setempat pasti membawa bekas untuk mengisi air yang ingin diambil daripada perigi itu.

Air perigi ini sangat unik, kerana jika digali perigi di kawasan persekitaran, airnya ada yang payau dan ada yang masam, tetapi air dari perigi tersebut terap tawar. Justeru sekiranya musim hujan, penduduk sekitar akan mengambil air daripada perigi ini untuk minuman, manakala untuk mandi dan memcuci mereka akan gunakan air di perigi masing-masing walaupun airnya masam atau payau.

rumah dulu

Kebanyakan perigi kawasan persekitaran kering kontang pada musim kemarau, maka berpusu-pusu orang ramai akan datang membawa bekas untuk mengambil air dari perigi di Jalan Kolam tersebut. Untuk memudahkan mereka membawa bekas air, kebanyakan mereka datang menggunakan basikal pelantar besar. Penduduk yang datang bukan hanya dari kawasan berhampiran sahaja seperti Kampung Teluk Kachang, Padang Katong dan Pengkalan Asam, malah penduduk daripada Kampung Jarak, Belanga Pudak, Teluk Jambu, Nesam malah hingga ke Tebing Tinggi, Wang Ulu dan Wang Besar turut datang mengambil air daripada perigi berkenaan.

rumah sekarang

Mereka akan berbaris panjang menunggu giliran. Pada awalnya jika musim hujan, perigi itu akan menjadi becak kerana sekeliling kawasan perigi tersebut hanya tanah dan rumput. Oleh kerana itu, simen dibina di sekelilingnya manakala koq pula dimasukkan ke dalam perigi itu supaya airnya menjadi lebih bersih. Besar peranan perigi tersebut kerana bukan hanya menjadi sumber bekalan air kepada orang ramai, malah mengajar masyarakat pada masa itu berdisiplin dengan berbaris untuk menunggu giliran.

hadapan rumah

Dengan izin-Nya, kerana perigi tersebut begitu banyak menyumbang jasa, penduduk tempatan tidak menggelarnya perigi, tetapi memberi gelaran kolam yang bermaksud lebih besar daripada perigi. Bermula sejak awal tahun 1970-an, bekalan air paip semakin banyak dibekalkan kepada penduduk tempatan dan boleh dikatakan setiap rumah mempunyai bekalan air paip. Maka dengan itu terhentilah peranan perigi tersebut sebagai pembekal air kepada masyarakat.

jalan kolam

Walaupun begitu, jalan yang melewati kawasan perigi itu masih dipanggil Jalan Kolam. Sebenarnya terdapat beberapa panggilan lain pada jalan tersebut seperti Jalan Tebing Tinggi, Jalan Tun Abdul Razak dan Jalan Raja Syed Saffi, namun bagi orang-orang veteran di sini lebih mengenalinya dengan panggilan Jalan Kolam. Malah masih terdapat bangunan kerajaan yang masih menggunakan nama Jalan Kolam pada alamatnya.

kolam kini

Namun kini perigi atau kolam di jalan tersebut hanya tinggal kenangan. Semasa projek Muzium Negeri dan Kompleks Warisan Negeri dilaksanakan di kawasan itu, mulut perigi ini telah ditutup untuk keselamatan. Tetapi kita masih bersyukut kerana wajah perigi masih kelihatan dan tidak ditimbus tanah. Oleh itu dapat juga ia menjadi nostalgia bagi penduduk lama yang pernah mengambil air di situ dan menjadi tatapan generasi muda agar bersyukur dengan kemajuan yang telah Negeri Perlis kecapi.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.