Dolfin Kuala Perlis

Walaupun Negeri Perlis merupakan negeri terkecil di Malaysia, namun ia tetap merupakan sebuah negeri yang kaya dengan keindahan. Tidak hairanlah dulu ia dikenali dengan gelaran Indera Kayangan. Baik di darat mahupun lautan, terdapat pelbagai khazanah alam yang mengagumkan.

batu layang3

Mungkin bagi yang bukan penduduk tempatan, melihat ikan yang jinak dan akrab dengan manusia merupakan hal yang jarang sekali dapat disaksikan. Pada sangkaan mereka mungkin peristiwa sebegitu hanya dapat dialami di negara luar yang mempunyai pulau-pulau yang indah sahaja.

dolfin1

Namun siapa sangka, di perairan Kuala Perlis, pemandangan ikan lumba-lumba atau dolfin bermain dengan aksi akrobatik di laut menjadi pemandangan yang biasa bagi penduduk tempatan terutamanya nelayan di sini. Tidak dimungkiri, terdapat juga penduduk Perlis sendiri yang tidak mengetahui kewujudan hidupan mamalia itu sekitar kawasan perairan di Kuala Perlis sejak sekian lama.

dolfin2

Ikan lumba-lumba atau lebih mesra dengan panggilan dolfin tergolong dalam keluarga Delphinidae bersama ikan paus pembunuh. Haiwan ini adalah mamalia yang bernafas melalui lubang pernafasan yang terletak di atas kepalanya, justeru ia perlu naik ke atas permukaan laut untuk bernafas.

Ia dikatakan adalah mamalia kedua terbijak selepas manusia. Ikan lumpa-lumba di Kuala Perlis ini adalah dari spesies Indo-Pacific Humpbacked Dolphin (Sousa Chinensis) yang banyak terdapat di di Asia Tenggara. Ia mempunyai dua sub-species iaitu Chinensis dan Plumbea. Ia akan bertompok pink (mottle pink) apabila matang, spesies yang terdapat di sini lebih rapat kepada Sousa Chinensis. Ia bergerak secara berdua atau bertiga dalam kumpulan yang besar. Induk ikan lumba-lumba akan menjaga anak-anaknya sehingga tempoh lebih kurang 6 tahun sebelum ia kembali mengawan.

dolfin4

Kewujudan ikan lumba-lumba di Kuala Perlis merupakan suatu anugerah. Kadang-kadang ikan-ikan ini terlihat mengekori feri-feri yang bergerak ke Langkawi. Sangat bertuah bagi penumpang feri yang dapat melihat aksi-aksi ikan ini. Ikan lumba-lumba ini dikatakan sering terlihat di sekitar satu-satunya pulau yang terdapat di negeri Perlis iaitu Pulau Batu Layang. Terdapat kira-kira 40 hingga 50 ekor ikan lumba-lumba di situ.

dolfin5

Walaupun kewujudan ikan lumba-lumba ini diakui oleh para nelayan, namun ikan lumba-lumba ini tidak lah selalu muncul pada waktu dan tempat yang sama setiap hari. Untuk melihat ikan lumba-lumba itu dengan lebih jelas, kita boleh mengikut nelayan ke tengah laut. Namun kadang-kadang terpaksa menunggu selama sejam hingga ke tiga jam sebelum terserempak dengan kelibat ikan lumba-lumba tersebut.

Kehadiran ikan lumba-lumba di perairan Kuala Perlis mungkin disebabkan faktor sumber makanan yang banyak seperti anak-anak ikan belanak, ikan kedera dan udang yang terdapat di sekitar perairan Kuala Perlis. Selain kawasan Pulau Batu Layang, ikan lumba-lumba sering ditemui sekitar dua batu nautika dari kawasan pantai oleh nelayan tempatan terutama iaitu di Kuala Sungai Baru, Pantai Kurung Tengar dan di Kuala Perlis.

layang2

Ikan lumba-lumba berhijrah mengikut musim. Penghijrahan berlaku antara bulan Februari hingga Oktober setiap tahun apabila terjadinya perubahan angin serta suhu air laut. Ikan lumba-lumba dikesan berada di Perlis oleh nelayan tempatan sejak awal 1960-an lagi. Selain itu mereka juga pernah terserempak dengan ikan paus dan penyu. Dikatakan terdapat 300 hingga 400 ekor ikan lumba-lumba di sekitar Perlis . Jumlah tersebut jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan jumlah ikan lumba-lumba yang terdapat di Pulau Langkawi, Kedah.

tengkorak dolfin

Ikan lumba-lumba sememangnya mempunyai keistimewaan tersendiri. Ia mempunyai hubungan kekeluargaan serta kasih sayang tinggi dan gemar bergerak secara berkumpulan. Anak ikan lumba-lumba hanya akan berpisah dengan ibunya setelah berusia enam tahu. Ikan lumba-lumba adalah mamalia yang setia. Ia akan jatuh sakit dan mati sekiranya pasangannya meninggalkan mereka terlebih dulu. Nelayan-nelayan tempatan cukup memahami dan menjaga habitat ikan lumba-lumba di Perlis dan mereka akan melepaskan kembali hidupan laut itu sekiranya terperangkap di dalam jaring.
Kehadiran ikan lumba-lumba di Perlis memang mampu meningkatkan sektor pelancongan di negeri ini. Namun aktiviti melihat ikan lumba-lumba ini belum dikomersialkan kerana beberapa langkah perlu diambil kira jika ingin dijadikan produk pelancongan baharu di Perlis. Hal ini kerana ikan lumba-lumba amat sensitif pada gangguan terutama bunyi bising dan perkara ini amat membimbangkan sekiranya ikan itu tidak lagi singgah ke sini kerana habitatnya terganggu.

dolfin3

Bagi orang ramai yang ingin melihat ikan lumba-lumba tersebut mereka mungkin dapat menggunakan teropong dari pesisir pantai terutama pada waktu pagi dan petang. Nelayan tempatan mengatakan ikan lumba-lumba biasanya dapat dilihat jelas adalah antara pukul 8 pagi sehingga 1.30 petang dan pada pukul 4 petang. Jika ada pengunjung yang ingin melihat secara lebih dekat lagi, mungkin dapat berurusan dengan nelayan tempatan untuk menyewa bot ke Pulau Batu Layang.

layang3

Marilah sama-sama kita menjada alam sekitar agar kelestarian ekosistem di Perlis terus terpelihara serta habitat ikan lumba-lumba ini terus terjaga dan tetap menjadi pemandangan unik di Kuala Perlis. Mungkin suatu hari nanti satu penyelidikan dapat dijalankan oleh pihak berwajib atau universiti terhadap ikan lumba-lumba ini dalam rangka meneliti tabiat, jalur penghijrahan serta kelestarian mereka.

Sumber Gambar : FB Perlis Nature and Wildlife

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.