Gua Batu Kapur Terpanjang Di Semenanjung Malaysia

Siapa sangka sebenarnya di negeri terkecil dan terletak paling utara di Semenanjung Malaysia ini menyimpan khazanah alam yang menakjubkan. Ternyata, terdapat sebuah rangkaian gua batu kapur yang terpanjang di semenanjung Malaysia iaitu Gua Wang Burma. Gua Wang Burma terletak di banjaran batu kapur terpanjang di Malaysia, iaitu Banjaran Nakawan yang menjadi sempadan Malaysia-Thailand.

Lebih tepatnya, lokasi gua ini berada di Taman Negeri Perlis, Wang Kelian, lebih kurang 42km dari Bandar Kangar. Gua batu kapur ini terbentuk sepanjang 3.8km.

taman negeri perlis

Nama Wang Burma berasal dari perkataan ‘Wang’ iaitu perkataan Siam yang bermaksud lembah dan ‘Burma’ diambil sempena orang Burma yang dulu merupakan penduduk asal yang membuka penempatan di lembah itu. Namun kita tiada lagi penduduk orang Burma di sekitar lembah gua ini.

Taman Negeri Perlis terletak dalam kawasan hutan sekitar banjaran Nakawan seluas 5000 hektar. Hutan di sini dikatakan istimewa kerana terdiri dari beberapa jenis hutan termasuklah Hutan Meranti Gerutu iaitu hutan bermusim yang mengandungi pokok-pokok daun luruh. Terdapat juga hutan yang berada di atas batu kapur yang mengandungi tumbuhan herba yang sukar atau tidak dijumpai di hutan-hutan lain di Malaysia.

Selain tumbuhan, terdapat juga haiwan unik dan spesis primat yang tidak dapat dijumpai di hutan lain di Malaysia iaitu Kambing Gurun dan Beruk Kentoi (Macaca Artoides). Kambing Gurun semakin terancam kerana aktiviti pemburuan haram. Tidak diketahui jumlah Kambing Gurun yang masih terdapat di Perlis sekarang ini.

beruk kentoi

Beruk Kentoi pula adalah beruk ini jarang ditemui kerana hidup jauh di dalam hutan dan sering menghindar apabila terlihat manusia. Ia dikatakan sangat agresif jika diganggu dan kumpulan beruk ini berbau agak busuk. Namun belakangan ini, terlihat beberapa kumpulan Beruk Kentoi melewati laluan hutan yang sering dilalui manusia, satu fenomena yang janggal kerana beruk ini sering menghindari manusia. Hal ini menafikan pendapat kepupusan pimat yang terancam ini. Ada pendapat mengatakan hal ini terjadi kerana kawasan hutan yang semakin terancam dan kekurangan makanan di hutan menyebabkan mereka terpaksa mencari makan di kawasan yang berdekatan dengan manusia.

Gua Wang Burma ini sebenarnya dibuka untuk ditelusuri oleh orang awam. Penggemar aktiviti caving dapat menikmati laluan gua yang unik yang mengandungi batu kapur stalaktit dan stalagmit yang berusia sekitar 500 juta tahun ini. Ukuran batuan stalaktit dan stalagmit semakin panjang dan mengambil masa yang sangat lama untuk terbentuk. Panjangnya akan bertambah 1 cm dengan mengambil masa selama 75 tahun. Bayangkan berapa ratus juta tahun untuk stalaktit dan stalakmit di Gua Wang Burma ini terbentuk sehingga ada yang menyatu membentuk kolum.

stalactite stalagmit

Selain itu, kita juga dapat menelusuri pintu-pintu gua yang kecil dan mengharungi air sungai gua yang dingin dan ditemani penghuni gua seperti kelawar dan kodok besar. Jika bernasib baik, kita akan tersempak dengan ular gua, tapi jangan khawatir, ular ini bisanya tidak berbahaya kepada manusia, namun tidak bermakna kita boleh menganggunya jika tersempak.

penghuni gua

Admin berpeluang menelusuri Gua Wang Burma ini dan ia merupakan satu pengalaman yang menakjubkan. Kita harus berurusan dengan pihak taman negeri tersebut bagi tujuan mendapatkan guide berpengalaman dan kebenaran memasuki kawasan taman negeri. Gua Wang Burma ini mempunyai banyak laluan, dan terdapat dua pintu yang bersambung yang dapat kita lalui iaitu Pintu Gua Wang Burma 1 dan 2.

signs gua

Untuk sampai ke pintu Gua Wang Burma 1, kita akan melewati laluan hutan sepanjang 700m. Di sini kita akan dihiburkan dengan penyambut tetamu yang kecil dan suka berdampingan dengan manusia iaitu pacat, haha. Persiapan seperti stoking panjang (stoking bola) sangat membantu untuk mengelakkan pacat masuk ke dalam seluar.

pacat

Dipertengahan jalan, kita akan melihat simpang laluan ke Gunung Perlis, yang merupakan titik paling utara di Semenanjung Malaysia. Perjalanan ke titik itu adalah lebih dari 3km. Setelah sampai di Pintu Gua Wang Burma 1, maka berakhirlah hiburan pacat tadi, kerana didalam gua tidak terdapat pacat. Ini kerana pacat tidak sesuai hidup di batuan kapur dalam gua, jadi pastikan tiada pacat yang melekat di kaki kita sebelum masuk ke dalam gua.

pintu masuk 1

Dan bermulalah aktiviti caving yang sangat mengujakan. Kami dibawa oleh guide yang sangat informatif. Terdapat juga gua bawah tanah yang dipenuhi air dan gua ini tidak dapat ditelusuri kerana memerlukan beberapa tangki oksigen untuk penelusurannya, sesuatu yang sangat berisiko tinggi.

gua air

Namun, pihak taman negeri pernah meletakkan alat sensor untuk mengetahui dimanakan akhir unjuran gua air ini dan sangat mengejutkan, alat sensor ini dikesan berada di Pulau Dayang Bunting, Langkawi setelah 2 minggu kemudian. Ternyata ia merupakan sebuah gua yang sangat panjang!

pintu gua kecil

Sebelum ini, Gua Wang Burma merupakan lokasi aktiviti pengumpulan baja tahi kelawar. Masih dapat kita jumpai guni-guni pengumpulan baja tahi kelawar yang sengaja dibiarkan di lantai gua yang berusia lebih 40 tahun itu. Selain itu, terlihat juga tulisan bahasa Siam yang ditulis di dinding gua yang dikatakan ditulis sewaktu zaman Jepun dahulu.

guni gua

tulisan siam gua

Setelah merangkak melalui sungai di dalam gua yang berpasir, dan melewati pintu-pintu gua yang sangat kecil kami keluar melalui Pintu Gua Wang Burma 2. Perjalanan menelusuri gua sepanjang lebih kurang 400m ini tidak akan dilupakan. Dari pintu kedua ini, kita akan melalui semula laluan hutan untuk kembali ke starting point. Sang pacat tidak melepaskan peluang memberikan lambaian selamat tinggal.

sungai gua 1

sungai gua 2

Sangat rugi jika kita tidak mencuba aktiviti caving di Gua Wang Burma ini. Penelusuran gua ini tidak terlalu susah dan sesuai juga untuk kanak-kanak dibawah umur 12 tahun. Jadi, dapatlah aktiviti caving di Gua Wang Burma ini dijadikan sebagai aktiviti berekreasi bersama keluarga disamping menyihatkan ia dapat juga mendekatkan generasi muda dengan alam.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.