Imbauan Kenangan Hospital Tuanku Fauziah

Hospital Tuanku Fauziah merupakan satu-satunya hospital yang terdapat di Negeri Perlis pada masa ini. Jumlah pesakit yang menerima rawatan di hospital ini semakin meningkat dari tahun ke tahun. Oleh kerana itu,semakin banyak penambah baikan prasarana, kemudahan dilakukan dan alat-alatan perubatan yang digunakan juga semakin canggih. Disebalik kemudahan hospital yang maju kita nikmati sekarang ini, banyak liku-liku cerita yang mewarnai perkembangannya. Semuanya bermula pada 1909…

1909
Gedung ubat atau dispensari yang direalisasikan oleh pihak British pada tahun 1909 membuka lembaran awal sejarah Hospital Tuanku Fauziah. DIspensari atau gedung ubat ini beroperasi dengan menyewa bangunan dari deretan rumah kedai beratap nipah di pekan Kangar.
dispensari1909

1920-an
Pondok ‘Malay Hut’ didirikan bertujuan untuk menarik minat orang Melayu untuk mendapatkan rawatan di rumah sakit. Ia digunakan oleh waris untuk menunggu pesakit yang dirawat di dalam wad. Pernah juga di antara waris-waris tersebut menginap di ‘Malay Hut’ sehingga 4 bulan. Minyak hitam disapu pada pondok tersebut untuk mengekalkan ketahanannya dan mengelakkan serangan anai-anai.
malay hut

Pada tahun 1928, sebuah bangunan rumah sakit yang mempunyai wad yang mampu menampung 60 orang pesakit telah didirikan di pekan Kangar. Bangunan ini merupakan rumah sakit pertama yang didirikan di negeri Perlis. Sejak tahun itu, pesakit yang datang juga mulai bertambah, seramai 1087 orang pesakit telah datang ke Rumah Sakit Kangar untuk mendapatkan rawatan. Pada tahun tersebut juga, dua buah rumah atap telah dibina untuk dijadikan wad. Rumah Sakit Kangar telah mula ditadbir secara rasmi oleh Kerajaan Negeri Perlis pada tahun 1929. Namun begitu, segala hal ehwal perubatan dan rawatan masih di bawah pengawalan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.
staf1920

1937
Rumah Sakit Kangar ditadbir oleh seorang Pegawai Penjaga yang dikenali sebagai Dresser.
Bekalan elektrik telah dipasang buat pertama kalinya di Rumah Sakit Kangar. Jumlah kedatangan pesakit juga semakin bertambah iaitu 1667 orang. Walau bagaimanapun, angka kematian masih agak tinggi iaitu seramai 109 orang.
bahagian beranak

Kadar kematian yang tinggi ini adalah disebabkan kerana pesakit hanya dibawa untuk menerima rawatan di Rumah Sakit setelah keadaannya terlalu kritikal, uzur atau penyakit yang dihidapi terlalu kompleks. Jika rawatan awal dapat diberikan mungkin angka kematian dapat diturunkan.
staf1930

1940
Dalam tahun 1940, terdapat seramai 6 orang Dresser yang bertugas sepenuh masa di Rumah Sakit ini. Mereka dibantu oleh seorang bidan dan beberapa orang attendan lelaki dan wanita yang bertugas hamper 24 jam sehari.
ular

Tugas mereka begitu mencabar kerana disamping menjalankan tugas di rumah sakit, mereka juga perlu menjalankan tugas merawat kanak-kanak sekolah secara bergilir mengikut jadual. Pada taun 1943, urusan rawatan kepada kanak-kanak sekolah yang mulanya dijalankan pleh pegawai kesihatan diserahkan kepada Inspektor Kesihatan.
kenderaan1940

kuaters 1949

1950-an
Pada tahun 1952, pelantikan Jururawat dan Jururawat Pergigian telah dilakukan. Mereka telah dihantar untuk menjalani kursus di Rumah Sakit Umum Alor Setar. Pada 1953, permohonan utnuk pembelian ambulan telah dibuat dan telah diluluskan pada tahun 1954. Majlis Pelancaran perkhidmatan ambulan ini telah disempurnakan oleh DYMM Raja Perempuan Perlis pada tahun 1955.
ambulan1950

Bilangan Jururawat meningkat mulai tahun 1954 seiring dengan peningkatan jumlah pesakit yang datang menerima rawatan di Rumah Sakit ini. Sebuah blok Asrama Jururawat telah dibina dan Majlis Perasmiannya telah disempurnakan oleh DYMM Raja Perlis.
nurse1950

Apabila Tanah Melayu mendapat kemerdekaan pada tahun 1957, impak positif yang ketara dapat dirasakan dimana prasarana di Rumah Sakit Umum Kangar telah ditambah. Peralatan yang digunakan juga semakin moden. Peralatan yang lama dan uzur banyak yang telah digantikan dengan yang lebih baik.

1960-an
Peningkatan mutu perkhidmatan kesihatan berjalan seiring dengan kemajuan yang dicapai di negeri Perlis selepas merdeka. Pesakit tidak lagi perlu pergi jauh untuk mendapatkan rawatan di Pulau Pinang atau di Alor Setar.
rs perlis

siap bedah

1970-an
Nama Rumah Sakit Umum Perlis telah ditukar menjadi Hospital Besar Kangar selaras dengan kehendak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk meningkatkan imej perkhidmatan kesihatan kepada rakyat. Pada tahun 1970 juga sebuah blok aneka rawatan telah dibina dan telah dirasmikan oleh DYMM Raja Perlis.
blok aneka

banjir 1970

Selain itu , Putera Akihito dan Puteri Michiko juga telah melakukan lawatan ke Negeri Perlis pada tahun 1970. Kunjungan Di Raja itu sebagai tanda keperihatinan Puteri Michiko kepada pesakit yang menerima rawatan di sini.

lawatan jepun

1980-an
Hospital Besar Kangar tidak banyak berubah pada sekitar 1980-an.
farmasi 1980

kecemasan 1980

1990-an
Nama Hospital Besar Kangar telah diganti menjadi Hospital Kangar pada tahun 1995. Pada tahun 1996, projek naik taraf Hospital Kangar telah dimulakan. Projek ini terdiri daripada 2 pakej, iaitu:

  • Pakej A : Merangkumi kerja-kerja infrastruktur
  • Pakej B : melibatkan pembinaan blok 3 tingkat Diagnostik dan Rawatan, wad 6 tingkat dan Pusat Loji Tenaga.

hospital 1990

Oleh kerana masalah teknikal dan perubahan ekonomi negara yang merudum pada ketika itu, pembinaan baru bangunan tambahan Hospital Kangar menjadi tergendala.

2000
Kerja-kerja pembinaan bangunan baru telah dimulakan semula dan dijalankan dengan giatnya pada tahun 2000. Bangunan blok baru Hospital Kangat telah siap diduduki dan dapat beroperasi sepenuhnya sekitar tahun 2004. Pada tahun 2002, ‘ISO’ telah diperkenalkan secara meluas dan pada 2004, Hospital Kangar telah mendapat pengiktirafan ISO dan telah dianugerahkan sijil MS ISO 9001:2000.

Pada tahun 2005, nama Hospital Kangar telah diganti lagi menjadi Hospital Tuanku Fauziah. Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni AlMarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

rasmi blok b

Projek Pembinaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak telah dimulakan pada 2008. Blok setinggi tersebut 7 tingkat turut menempatkan Wad Di Raja, CSSD, Kaunter Daftar Masuk dan Pembayaran, Dewan Bedah dan Wad Kelas Satu.
blok b

Bangunan ini dinamakan Blok B Hospital Tuanku Fauziah dan telah siap sepenuhnya untuk diduduki dan beroperasi setelah 9 tahun kemudian iaitu pada tahun 2017. Majlis Perasmiannya disempurnakan oleh DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni AlMarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail pada 9 Mei 2017.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.