Indah Pesona Bukit Chabang

Larangan pendakian Bukit Tok Dun oleh pihak Felda untuk aktiviti pendakian orang awam mungkin mengecewakan sesetengah pihak yang ingin melihat pemandangan ‘awan karpet’ yang sering menjadi buah mulut para pendaki sebelum ini. Penutupan ini dikatakan kerana process penanaman semula anak pokok getah yang mungkin akan rosak jika aktiviti pendakian yang semakin rancak terus dijalankan di Bukit Tok Dun tersebut.

Sebenarnya, masih terdapat banyak lagi tempat pendakian yang menyimpan seribu satu pemandangan menarik di negeri Perlis ini yang mungkin masih tidak diketahui orang ramai. Bermula dari bukit yang mudah didaki sehinggalah bukit yang dikategorikan sebagai antara yang tough di utara semenanjung ini.

bukit chabang

Admin berpeluang mendaki Bukit Chabang yang terletak di Jalan Kaki Bukit-Padang Besar, Beseri. Dari jauh sememangnya bukit ini terlihat unik kerana posisi dua bukit yang berdekatan yang seakan-akan bukit yang bercabang. Mungkin kerana pemandangan itulah bukit ini mendapat nama. Bukit Chabang merupakan bukit batu kapur yang dikelilingi ladang getah.

Bagi penggemar aktiviti pendakian, Bukit Chabang adalah yang lokasi pendakian yang tidak asing lagi. Bukit setinggi 390m ini dikategorikan sebagai antara bukit yang tough kerana laluan pendakian yang dapat dikatakan 90% berbatu dan mencanak lebih 70⁰. Pendakian yang tidak terlalu jauh untuk ke puncak bagi menikmati pemandangan yang indah telah menyebabkan ia menjadi pilihan para pemburu pemandangan matahari terbit. Tetapi, untuk mendaki bukit ini, pendaki haruslah mendapatkan permit pendakian terlebih dahulu dan sebolehnya mempunyai guide yang terlatih untuk keselamatan.

trek berbatu

Ramai dikalangan pendaki akan memulakan pendakian sejak dini hari untuk melihat pemandangan matahari terbit yang fenomenal dan untuk mengelakkan keadaan kepanasan jika pendakian dimulai setelah matahari terbit. Oleh kerana itu, pendakian kami dimulai pada jam 3.00 pagi dari laluan di sebuah ladang getah di kaki Bukit Chabang. Tidak sampai 300m pendakian yang mencanak dan berbatu bermula. Suasana yang dingin tidak terasa dek kesukaran mendaki laluan berbatu yang sangat mengujakan.

landmark 2

Para pendaki dengan tegas diingatkan agar berhati-hati kerana laluan pendakian dipenuhi bebatuan tajam. Setelah pendakian hampir 2 jam, kami tiba di puncak bukit. Sambil menunggu matahari terbit, kami menikmati pemandangan bintang-bintang yang sangat memukau. Ternyata tanpa ganguan cahaya lampu rumah dan lampu jalan, sangat banyak sekali bintang cantik terlihat. Setelah hampir 2 jam di puncak yang dingin, tanda-tanda kemunculan sang mentari terlihat. Pemandangan matahari terbit yang sangat cantik dari puncak Bukit Chabang ini tidak kalah dengan pemandangan di kawasan pergunungan yang lain.

sunrise bukit chabang

Sebenarnya, selain pemandangan matahari terbit, terdapat beberapa tempat yang menjadi landmark Bukit Chabang yang menjadi tempat bergambar wajib bagi para pendaki. Antaranya pohon yang bercabang dan tebing bukit yang dapat menonjolkan sifat gagah dan keberanian sang pendaki jika bergambar disitu. Namun, para pendaki diingatkan untuk mengutamakan keselamatan sendiri daripada menggadai nyawa demi posing gambar yang fenomenal.

landmark 1

Akhirnya, Alhamdulilah kami selamat tiba semula di kaki Bukit Chabang sebelum tengah hari. Sememangya pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Tedapat banyak lagi bukit lain yang menarik yang dapat menjadi lokasi untuk rakyat negeri Perlis melakukan aktiviti riadah yang menyihatkan.

Bagi yang ingin mendaki Bukit Chabang ini namun bingung cara memohon permit dan mencari guide, anda mempunyai pilihan yang lebih mudah iaitu dengan search sahaja di page FB pendaki Perlis yang menawarkan pakej pendakian yang tidak mengecewakan. Semoga aktiviti pendakian ini dapat merancakkan lagi sektor pelancongan di Negeri Perlis tercinta ini selain menjadi salah satu pilihan aktiviti yang menyihatkan bagi rakyat Malaysia.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.