Jasa Padang Bandaran Sejak Zaman British

Sebut saja Padang Bandaran, pasti seluruh rakyat anak jati negeri Perlis mengetahui tentangnya. Padang Bandaran adalah sebuah padang yang menjadi lokasi tumpuan rakyat daripada pelbagai pihak bagi melaksanakan segala bentuk aktiviti sejak zaman penjajahan British lagi. Pada masa dulu, Padang Bandaran juga pernah dikenali dengan nama Padang Hospital. Ini adalah disebabkan lokasinya yang berhampiran Hospital Tuanku Fauziah Kangar.

Padang Bandaran terletak di sebelah Jalan Tun Razak yang dulu terkenal dengan nama Jalan Kolam. Jalan ini pula lurus bersambung dengan Jalan Raja Syed Saffi. Padang ini dikelilingi oleh Hospital Tuanku Fauziah di bahadian utaranya, Pejabat Belia dan Sukan Negeri di bahagian timur, Klinik Kesihatan Kangar di barat dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di selatannya.

peta padang

Padang Bandaran telah dibuka pada awal tahun 1930-an. Ini adalah berkaitan dengan cerita Cikgu Hashim Abdul Rahman yang menjadi pelopor memperkenalkan permainan bola sepak kepada anak-anak muda negeri Perlis pada tahun 1929. Permainan bola sepak itu kemudian mula digemari oleh anak-anak muda di negeri Perlis. Di padang itulah pertandingan bola sepak peringkat mukim sering diadakan.

Pokoknya, Padang Bandaran ketika itu turut berperanan sebagai sebuah stadium. Ia menjadi tempat anak-anak muda berkumpul sambil menyaksikan pertandingan bola sepak yang diadakan di situ pada setiap petang. Padang itulah menjadi medan mempertemukan pasukan Perlis dengan pasukan negeri-negeri lain di Semenanjung semasa siri kejohanan bola sepak Piala Malaya atau lebih dikenali dengan panggilan “Malaya Cup” pada waktu itu. Bahkan ia juga pernah menjadi gelanggang pertandingan bola sepak antara pasukan Perlis menentang pasukan-pasukan handal dari Thailand.
Padang itu akan dipagari dengan kain putih seolah-olah seperti tembok dinding sebuah stadium apabila ada pertandingan yang mengenakan bayaran tiket kepada para penonton. Bagaimanapun terdapat juga dikalangan penonton yang membolosi masuk ke dalam padang.

Padang Bandaran pernah menjadi tempat diadakan Sambutan Ulang tahun Keputeraan Raja England, King George IV , sebelum meletus Peperangan Dunia Kedua. Murid-murid sekolah akan datang beramai-ramai menaiki lori dari seluruh Perlis untuk menjayakan sambutan itu. Mereka akan bersenam beramai-ramai di atas padang itu sebagai acara kemuncak sambutan tersebut.

padang 2

Padang itu juga turut memainkan peranan penting semasa penjajahan Jepun. Padang inilah yang menjadi saksi anak-anak muda tempatan dikumpulkan oleh pemerintah tentera Jepun untuk diajar berkawat dan memberi hormat kepada Maharaja mereka di Jepun dengan menunduk kepala sambil mengadap ke arah Timur. Kerajaan Jepun yang licik pada waktu itu sangat menggalakkan perkembangan seni dan budaya di negeri ini dengan tujuan bagi melalaikan penduduk Perlis supaya tidak banyak memikirkan langkah untuk menentang pemerintahan Jepun.

Pada masa itu, Padang Bandaran telah menjadi tempat persembahan pelbagai jenis kebudayaan Melayu negeri ini. Antara kesenian asli negeri Perlis yang mula diperkenalkan kepada penonton secara umum di padang itu pada awal tahun 1940-an ialah seni Tarian Canggung. Negeri Perlis sempat berada beberapa ketika di bawah pemerintahan Siam (Thailand) setelah Jepun menyerah kalah sekitar tahun 1944. Ketika itu, pegawai-pegawai tentera Siam menjadikan Padang Bandaran sebagai gelanggang lumba kuda.

Pada 4 Jun 1946, Peristiwa sejarah yang paling penting berlaku di Padang Bandaran ialah apabila ia menjadi tempat rapat umum/ bermesyuarat bagi menubuhkan Persatuan Melayu Negeri Perlis yang dihadiri oleh kira-kira 5,000 orang Melayu dari seluruh negeri Perlis berkumpul beramai-ramai . Hasil rapat umum tersebut, para hadirin telah memilih Allahyarham Dato Syed Mahzar bin Syed Hussin, seorang anak Melayu Perlis yang pertama mendapat kelulusan Universiti, menjadi yang DiPertua Persatuan Melayu Perlis.

padang dulu

Syed Mahzar pernah menjadi Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan. Sementara Allahyarham Ustaz Salleh Osman, seorang guru di Sekolah Arab Alawiyah Arau, dipilih menjadi Naib Yang DiPertua. Allahyarham Dato’ Onn bin Jaafar datang ke Perlis beberapa bulan kemudian pada tahun yang sama dan di padang itu jugalah orang-orang Melayu Perlis berkumpul hingga kemudiannya mengarah kepada penubuhan UMNO di negeri ini.

Padang Bandaran juga memainkan peranan semasa diadakan pilihanraya umum di negeri Perlis. Ia sering dipilih oleh para pemimpin parti-parti politik tempatan untuk dijadikan lokasi berkempen. Ada yang menggunakan lori sebagai pentas dan ada yang membina pentas di situ. Sambutan amat orang ramai menggalakkan setiap kali kempen diadakan kerana posisi padang itu di tengah-tengah bandar yang memudahkan kunjungan orang ramai.

Malaysia telah berkonfrantasi dengan Indonesia dan menerima tentangan juga daripada pemerintah Filipina pada peringkat awal penubuhan Malaysia ketika itu. Padang Bandaran sering dijadikan tempat rakyat Perlis berkumpul sepanjang masa konfrantasi itu, bagi mendengar syarahan daripada para pemimpin negeri dan negara menghentam ancaman daripada negara-negara terbabit.

Selain itu, Padang Bandaran juga selalu dijadikan tempat pendaratan helikopter yang membawa pembesar negara melawat negeri ini dan tempat pendaratan helikopter yang membawa para pesakit dari Perlis yang memerlukan rawatan kecemasan di luar Perlis. Pada awal tahun 1960-an, Stadium Dato’ Syeikh Ahmad dibina berhampiran dengan Padang Bandaran, sekaligus mengantikan peranan Padang Bandaran sebagai gelanggang pertandingan bola sepak peringkat negeri dan kebangsaan.

dato syeikh

Namun, Padang Bandaran masih memainkan peranan sebagai tempat pertandingan bola sepak antara kelab atau latihan-latihan. Kini, setiap kali diadakan sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perlis, Padang Bandaran masih dijadikan tempat perhimpunan sambutan Hari Kemerdekaan. Padang tersebut dipanggil Padang Bandaran kerana pengurusannya sekarang diletakkan kepada Majlis Perbandaran Kangar (MPK).

sambutan merdeka

Sekarang, Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra telah dibina mengantikan Stadium Dato’ Syeikh Ahmad. Stadium Dato’ Syeikh Ahmad tidak lagi digunakan untuk sukan dan telah dinamakan Dataran Dato’ Syeikh Ahmad, manakala Padang Bandaran masih lagi digunakan untuk pertandingan bola sepak antara kelab atau latihan-latihan.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.