Kenapa Raja Syed Hamzah Paling Singkat Memerintah?

Zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu adalah detik kehidupan yang mencabar. Negeri Perlis tidak terkecuali dari belenggu pemerintahan Jepun malah kerabat Di Raja juga turut merasakan detik-detik yang mencabar ini. Mungkin ramai diantara pembaca orangperlis.com tidak tahu kenapa pada era pemerintahan Jepun setelah Raja Raja Syed Alwi mangkat, Raja Syed Hamzah ditabal menjadi Raja Perlis, dan baginda menjadi Raja yang paling singkat memerintah? Kenapa baginda tidak terus menjadi Raja setelah Jepun menyerah kalah?

Syed Hamzah

Penjajahan Jepun bermula pada 8 Disember 1941, Tanah Melayu dikejutkan dengan kemasukan Jepun. Keesokan harinya,9 Disember, tentera British mengebom jembatan kayu yang menghubungkan Bandar Kangar dengan jalan ke Kuala Perlis bagi menyekat kemaraan tentera Jepun. Pada 12 Disember 1941, unit berjalan kaki tentera Jepun diketuai oleh Captain E. Hirota mula memasuki negeri Perlis melalui Padang Besar.

jepun masuk

Tentera British tidak bersedia dengan kemasukan tentera Jepun ini dan akhinya terjadi penyerahan kuasa pihak British kepada Jepun. Apabila Tanah Melayu telah dijajah Jepun. Raja Syed Alwi yang pada ketika itu memerintah Negeri Perlis telah membawa diri ke Kuala Kangsar kerana mengikut pandangan yang telah diberikan oleh seorang Pegawai British, Mr. Day.

Raja Syed Alwi

Oleh kerana itu tentara Jepun melantik Raja Syed Hamzah untuk menjadi Raja dan menjalankan pemerintahan negeri. Selain itu, sebenarnya Pihak Jepun juga tidak senang dengan sikap Raja Syed Alwi yang cenderung mematuhi arahan pihak British. Apabila tentara Jepun semakin mara hingga ke Kuala Kangsar, mereka berusaha mencari Raja Syed Alwi untuk dibawa pulang ke Perlis.

Semasa tentera Jepun memasuki Negeri Perlis pada 12 Disember 1941, ketika itu Raja Syed Harun Putra (Syed Putra) masih lagi berada di Kuala Lumpur dalam perkhidmatan kerajaan. Namun walaupun Negeri Perlis berada di dalam suasana yang tidak aman dan kurang selamat, baginda tetap mengambil keputusan untuk kembali ke Perlis.

Syed Putra

Apabila tiba di Negeri Perlis, baginda diberikan oleh pihak Inggeris elaun selama tiga bulan sebagai wang persaraan sebelum mereka meninggalkan Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, suasana di Negeri Perlis menjadi semakin goyah, baginda terpaksa membawa diri bersama keluarga tinggal berhampiran Kelab Selangor di Ampang.

Tanpa disangka, terjadi peristiwa pengeboman yang dilakukan oleh pihak Jepun telah mengenai Kelab Selangor. Hal ini telah memaksa baginda berpindah ke Ulu Langat dan telah tinggal di sana selama sebulan. Kemudian baginda telah dijemput untuk tinggal di Kelang oleh Tengku Salahuddin dan Tengku Salwa.

Baginda diberi tempat perlindungan di sebuah Kuarters Kerajaan yang kosong di Kelang. Pada saat itu, Tengku Budriah sedang sarat mengandung dan menunggu saat-saat melahirkan anakanda sulung. Baginda bersyukur apabila Tengku Budriah melahirkan seorang puteri yang diberi nama Sharifah Salwa dengan selamat.

Pada tahun 1942, Raja Syed Putra, Tengku Budriah dan Puteri Sharifah Salwa yang masih kecil mengambil keputusan untuk kembali semula ke Perlis. Kepulangan Baginda disambut dan diraikan di Istana Arau. Baginda menerima elaun sara hidup berjumlah RM 90.00 dari Nenda saudara baginda iaitu Raja Syed Alwi.

Sewaktu pemerintahan Raja Syed Alwi, saudara tirinya telah dilantik menjadi Raja Muda Perlis, iaitu Raja Syed Mahmud. Namun, Raja Syed Mahmud mangkat pada tahun 1919. Oleh kerana itu, jawatan Raja Muda disandang oleh puteranya iaitu Raja Syed Hassan(ayahanda Raja Syed Putra). Bagaimanapun, 16 tahun kemudian, Raja Syed Hassan mangkat dan jawatan Raja Muda disandang pula oleh putera sulung baginda, Raja Syed Putra.

salasilah

Negeri Perlis berdukacita apabila Raja Syed Alwi mangkat pada 1 Februari 1943. Namun pemerintah Jepun ketika itu, Ohyama Kikan Cho, tidak mengikut adat istiadat Negeri Perlis ketika itu dan telah mengenepikan Raja Syed Harun Putra selaku Raja Muda Perlis sebagai pewaris Almarhum Raja Syed Alwi.

Peristiwa kemangkatan tersebut digunakan sebaik mungkin oleh pihak Jepun untuk memberikan mandat kepada Raja Syed Hamzah untuk menjadi raja pemerintah. Mereka lebih memilih Raja Syed Hamzah kerana sepanjang pendudukan Jepun di Perlis, baginda Raja Syed Hamzah telah menjalankan pemerintahan dengan baik. Atas kepercayaan dan kewibawaan itulah Raja Syed Hamzah kemudiannya dilantik menjadi raja Negeri Perlis yang ke-5.

Kejadian itu tidak melemahkan diri Raja Syed Putra untuk terus berhadapan dan mengharungi masa depan. Baginda telah memilih haluan sendiri dengan menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Baginda mula membuka perniagaan kedai runcit di Pekan Arau. Pemandu baginda menjadi orang yang bertanggungjawab menjual barang-barang runcit tersebut. Setelah itu, baginda kemudian beralih kepada perniagaan menjual kerbau dan lembu.

Berkat kesungguhan dan sokongan para sahabat baginda pemiagaan baginda sangat menguntungkan. Mr. Soo Keat, iaitu salah seorang rakan baginda semasa di Penang Free School turut membantu baginda membawa masuk rempah cabai melalui Padang Besar.

Namun langit tidak selalu cerah. Perniagaan yang berjaya dijalankan itu telah menimbulkan rasa curiga pihak pemerintah Jepun. Pihak Jepun telah memberi ancaman kepada baginda. Oleh kerana itu, baginda sekeluarga terpaksa membuat keputusan untuk berhijrah ke Kelantan, iaitu kampung asal Tengku Budriah.

Syed Sirajuddin

Baginda sekeluarga menuju ke Kelantan mengharungi perjalanan ke Kelantan melalui Setul. Namun, baginda terpaksa singgah di Hat Yai selama semalam sebelum meneruskan perjalanan. Akhirnya rombongan baginda selamat sampai ke Kampung Telipot di Kelantan hasil kesabaran baginda sekeluarga. Baginda menetap di sana sehingga Jepun menyerah kalah pada Ogos 1945.

serah pedang

Apabila tamat Perang Dunia Ke-2, British mengambil alih pemerintahan Tanah Melayu dari Jepun. Pihak British tidak mengakui Raja Syed Hamzah sebagai Raja Perlis yang sah. Raja Syed Putra dipanggil oleh pihak British dan dengan rasminya ditabal sebagai Raja Perlis ke-5 pada 19 Januari 1946. Tengku Budriah menjadi Permaisuri baginda. Raja Syed Sirajuddin dilantik oleh baginda menjadi Raja Muda Perlis ketika itu. Baginda Raja Syed Harun Putra mangkat pada 16 April 2000. Raja Syed Sirajuddin ditabal menjadi Raja Perlis setelah itu sehingga sekarang dan Raja Syed Faizuddin dilantik menjadi Raja Muda Perlis.

raja muda perlis

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail serta syariat Islam terus terpelihara sesuai Al-Quran dan As-Sunnah, insyaAllah. Mungkin pembaca orangperlis.com tertanya-tanya, apa yang terjadi kepada Raja Syed Hamzah apabila beliau tidak diakui oleh British sebagai Raja Perlis Ke-5? Jom baca di link ini Seniwati Sharifah Hanim Kerabat Di Raja Perlis.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.