Kerabat DiRaja Perlis Antara Doktor Melayu Terawal

Mungkin di kalangan pembaca orangperlis.com tidak mengetahui bahawa sebenarnya terdapat Kerabat DiRaja Jamalullail yang sangat berjaya dalam bidang ilmu perubatan bahkan merupakan antara doktor berbangsa Melayu terawal di Malaya. Generasi warga emas mungkin masih mengingati siapa Allahyarham Dato’ Seri Diraja Dr Syed Mahmood Ibni Syed Hussain Jamalullail.

Dr Syed Mahmood

Beliau adalah salah seorang dari Kerabat Diraja Perlis dan merupakan Ayahanda Saudara kepada Raja Negeri Perlis sekarang, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail. Allahyarham Dr Syed Mahmood sebenarnya adalah bekas Pemangku Raja Perlis selama dua tahun bermula 1960 ketika kekandanya Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail diltabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke III. Pada ketika itu Raja Muda Perlis (Tuanku Syed Sirajuddin) sedang melanjutkan pelajaran ke United Kingdom.

Dr Syed Mahmood

Syed Mahmood diputerakan pada 29 September 1921 di Arau,Perlis. Beliau membesar di Arau dan mula menerima pendidikan di Sekolah Melayu Arau dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Pulau Pinang iaitu di Government English School, Hutching’s School dan Penang Free School. Beliau berjaya dengan cemerlang dalam OSCE pada 1939 dan mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran dalan bidang undang-undang di Univesity of Cambridge. Namun permohonan beliau untuk mendapatkan biasiswa ditolak. Beliau kemudian mendapat tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Univesity of Hong Kong. Ayahanda beliau sangat menyokong beliau untuk meneruskan pelajaran dalam bidang perubatan dan menghantar beliau di Stesen Kereta Api Arau untuk bertolak ke Hong Kong pada 1939.

stasiun kretaapi arau

Cabaran baru menanti Syed Mahmood di Hong Kong dalam menuntut ilmu dalam persekitaran dan budaya yang sangat berbeza. Beliau sangat terkenal di sana dan pembelajaran sarjana muda beliau sangat cemerlang. Beliau turut aktif dalam sukan criket dan mewakili Hong Kong University dalam pertandingan criket. Beliau turut menyertai pasukan Volunteer Force universitinya.

Namun hal yang tidak diduga terjadi, Perang Dunia Kedua meletus. Apabila Jepun menguasai Hong Kong pada 1941, Syed Mahmood telah dijadikan tawanan perang. Beliau telah ditempatkan di kem tahanan Ma Tau Chung bersama tahanan India kerana beliau merupakan seorang Muslim dan memerlukan makanan yang halal. Beliau besahabat dengan ramai tentera India yang berjuang untuk British di situ.

univesiti hongkong

Tidak lama setelah itu, Penguatkuasa Jepun mengambil keputusan untuk melakukan kerahan tenaga terhadap pelajar perubatan yang menjadi tahanan. Mereka diarah untuk bekerja dalam sektor kesihatan terutama dalam program kawalan penyakit berjangkit. Syed Mahmood bersama-sama pelajar perubatan yang lain dibebaskan secara Parole, iaitu pembebasan bersyarat dan dipantau tentera. Beliau kemudian bekerja di Star Ferry Company sebagai Inspektor Kesihatan. Kefasihan beliau dalam bahasa Kantonis menjadikan beliau rapat dengan komuniti Cina di Hong Kong.

Apabila perang tamat pada 1945, beliau mendapat tawaran untuk menyelesaikan ijazah perubatan beliau di University of Oxford. Oleh kerana beliau sudah lama di perantauan lebih dari 6 tahun, beliau tidak langsung pergi ke England. Beliau diizinkan pergi ke Tanah Melayu untuk bertemu keluarga terlebih dahulu sebelum berangkat ke England. Setibanya di Arau pada September 1945, beliau mendapat khabar dukacita bahawa ayahanda yang menjadi sumber inspirasi beliau telah mangkat.

Oleh kerana itu, bonda dan keluarganya sangat memerlukan kehadiran dan sokongan beliau disisi. Syed Mahmood mengambil keputusan untuk tidak ke Cambridge, tetapi melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya di Singapura agar lebih dekat dengan keluarganya. Beliau akhirnya berjaya menamatkan pelajaran sebagai doktor MBBS pada 1951.

Setelah menamatkan housemanship di Hospital Johor Bahru, beliau pulang ke Perlis dan bekerja sebagai pegawai perubatan. Beliau menikahi Dr Ruby bte Abdul Majeed pada 1956. Pada 1967, pasangan ini berpindah ke Kuala Lumpur dan membuka klinik swasta iaitu Klinik Dr. Syed Mahmood dan Dr. Ruby Majeed di bangunan MARA Jalan Tuanku Abdul Rahman. Pernikahan mereka telah dikurniakan 3 orang anak(2 lelaki dan seorang perempuan)

medan mara

Pada tahun 1972,Dr Syed Mahmood telah dipilih oleh Timbalan Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr Ismail untuk mengetuai delegasi Perubatan Malaysia Pertama ke China. Pada masa itu belum ada ikatan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China. Delegasi ini bertujuan untuk mempelajari dan menyediakan laporan tentang keadaan perubatan di China terutamanya mengenai acupuncture anaesthesia di hospital-hospital di China.

Beliau kemudian berkhidmat sebagai Presiden di College of General Practitioners bermula dari 1978 hingga 1980. Beliau turut menyumbang bakti di Universiti Malaya di dalam University Council sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Hospital Universiti (sekarang dikenali sebagai Pusat Perubatan Universiti Malaya [PPUM]). Beliau juga aktif dalam badan professional dan pernah menjadi Presiden Malaysia Medical Association pada 1988.

Dr Syed Mahmood mangkat di Pantai Medical Center, Kuala Lumpur pada jam 4:15 petang, 30.11.2011 kerana sakit tua dalam usia 93 tahun. Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke Perlis dan disolatkan di Masjid Negeri Arau. Jenazah beliau kemudian dimakamkan di Makam Diraja Lama Arau pada 9.30 pagi 01.12.2011. Istiadat permakaman Allahyarham turut diziarahi oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Almarhum Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Industri Perlis, Dato’ Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail, Setiausaha Kerajaan Perlis, Dato’ Azizan Hamid serta Ketua Polis Perlis, SAC Zull Aznam Haron. Dua tahun kemudian, Dr Ruby bt Abdul Majeed meninggal dunia pada 2 September 2013 di usia 89 tahun.

Dr Ruby Majeed

Selain Dr Syed Mahmood, adinda beliau Dato’ Dr Syed Mohamed Noori bin Syed Hussain Jamalullail turut menjadi doktor perubatan yang juga merupakan salah seorang dari doktor Melayu terawal di Malaya. Dr Syed Mohamed Noori menikahi Prof Datin Dr Farida Jamal dan pasangan ini sama terkenal seperti pasangan kekandanya Dr Syed Mahmood & Dr Ruby Majeed. Dr Syed Mohamed Noori adalah seorang pakar bedah.

Dr Syed Mohamed Noori

Prof Datin Dr Farida Jamal adalah seorang berketurunan Pakistan dan Dr Syed Mahmood sendiri pergi ke Pakistan untuk melamar Prof Datin Dr Farida Jamal untuk adindanya, Dr Syed Mohamed Noori. Ayahnya bersetuju dengan lamaran itu lantaran melihat sikap Dr Syed Mahmood yang sangat beradap sopan santun. Dr Farida Jamal datang ke Malaysia pada 1970.

Prof_Farida_Jamal

Namun sayangnya tidak banyak maklumat yang kami peroleh mengenai Dr Syed Mohamed Noori. Semoga kisah kerabat DiRaja Jamalullail yang berjaya dalam bidang perubatan ini menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berusaha menuntut ilmu tanpa jemu. Allahum maghfirlahum warhamhum waafihum wa’fuanhum.

Sumber :
Biography of the Early Malay Doctors 1900-1957 Malaya and Singapore, Faridah Abdul Rashid.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.