Kerajaan Perlis Pernah Mempunyai Mata Wang Sendiri? (Bhgn. 1)

Apabila bermulanya pemerintahan Raja-raja Jamalullail, Negeri Perlis secara rasmi menjadi negeri yang berkerajaan sendiri. Walaupun merupakan negeri Melayu termuda, namun ia turut memiliki warisan mata wang Melayu yang tersendiri.

Terdapat dua warisan mata wang yang pernah dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Perlis iaitu Belanja Balad Al-Perlis dan Acuan Pitis Tra Perlis.

tra lukis

H. C. Millies pertama kali mengemukakan mata wang ini dalam bukunya ‘Recherches sur Les Monnaies des Indigenes de L’Archipel Indien et de la Peninsule Malaie’ pada tahun 1871. Pada muka hadapan mata wang ini terdapat tulisan dikatakan oleh Millies sebagai ‘Belanja Balad Perlis Sanah 1262, Kedah’. Namun bacaan tersebut masih diragui oleh beliau. Tahun 1262 Hijrah adalah bersamaan dengan tahun 1845 Masehi. Perkataan ‘belanja’ menurut Millies, bermakna sebagai ‘lamonnaie d’echange’ iaitu ‘money of exchange’.

belanja tra

Mata wang ini telah dimasukkan oleh Millies sebagai keluaran Kedah zaman sultan Kedah kedua puluh empat iaitu Sultan Zainal Rashid al-Muazzam Shah, yang memerintah dari tahun 1843 sehingga 1854. Namun kenyataan ini berubah pada tahun 1986 apabila Saran Singh telah mengkatalogkan mata wang ini sebagai mata wang Perlis. Dalam karyanya The Encyclopedia of the Coins of Malaysia, Singapore and Brunei: 1400-1986, beliau menamakan penguasa yang bertanggungjawab menghasilkan mata wang ini adalah Raja Negeri Perlis pertama iaitu Raja Syed Hussein Jamalullail, yang memerintah antara 1843 sehingga 1873.

Menurut kenyataan Saran Singh dan Bank Negara (1996), tulisan pada bahagian atas duit ini adalah sebagai penghargaan Kesultanan Negeri Kedah mengesahkan wujudnya sebuah kerajaan negeri Perlis. Tetapi pandangan ini telah ditolak oleh Ibrahim pada tahun 2006 dimana beliau menyatakan bahawa tulisan “Kedah” yang menurut Millies terdapat pada mata wang ini sebenarnya masih diragui. Ibrahim berpendapat bahawa tulisan “Kedah” itu hanyalah HURUF SIN di akhir perkataan “Perlis”. Jadi bacaan sebenar yang tertulis pada wang tersebut adalah “Belanja Balad Al-Perlis, Sanat 1262”.

Oleh itu, Raja Syed Hussein Jamalullail ibni al-Marhum Syed Harun Jamalullail, Raja Perlis pertama, yang memerintah dari tahun 1843 ke tahun 1873 telah mencatat sejarah apabila baginda menjadi satu-satunya Raja Perlis yang mengeluarkan mata wang sendiri. Menurut Bank Negara (1996) dicatatkan bahawa Belanja Balad Al-Perlis ini diperbuat daripada logam timah dan disebut tra timah. Ukiran bunga teratai yang memiliki lima kelopak ditempa pada muka hadapan tra timah tersebut. Kalimah Arab ‘Belanja Balad Al-Perlis Sanah 1262’ diukir pula pada bahagian belakang. Maka mata wang ini dikeluarkan pada tahun 1845 Masehi. Wang tra timah Kerajaan Perlis ini unik kerana garis pusatnya adalah 24 milimeter dengan lubang di tengah-tengah. Mata wang ini dibuat berlubang di tengah-tengahnya kerana untuk memudahkan ia dirangkaikan dengan tali agar mudah dibawa untuk urusan jual beli. Beratnya wang ini adalah 1.50 gram.

Belanja Balad Al-Perlis ini mempunyai ukiran bunga teratai lima kelopak yang unik. Bunga teratai melambangkan kesucian dan pencerahan dalam tradisi Siam. Maka dapat dikatakan bahawa ukiran kelopak bunga teratai ini dipengaruhi oleh tradisi Siam yang berjiran dengan Kerajaan Perlis. Walau bagaimanapun ciri ini tidak menunjukkan pengaruh Siam yang ketara kepada mata wang Kerajaan Perlis. Hal ini kerana, pada kebiasaannya negeri-negeri lain di bawah naungan Siam seperti Songkhla, Pattalung dan Ligor yang ukiran pada mata wangnya tidak ditempa melainkan dengan aksara Bahasa Siam sahaja, serta beberapa ciri lain yang mengesahkan pengaruh Siam yang kuat (Bank Negara,1996).

Inskripsi yang diukir pada Belanja Balad Al-Perlis menberi ciri keunikan yang tersendiri. Jika dibandingkan dengan mata wang Kesultanan Kedah, kebiasaanynya nama sultan diukir berada pada bahagian permukaan manakala gelaran baginda pula berada pada bahagian belakang. Namun ciri ini tidak terdapat pada Belanja Balad Al-Perlis. Raja Syed Hussein Jamalullail tidak menempatkan nama diri mahupun nama keluarga baginda iaitu Jamalullail pada mata wang tersebut. Oleh sebab itu, dapat dirumuskan bahawa pengeluar Belanja Balad Al-Perlis ini tidak mengambil peluang untuk menonjolkan prestij atau kehebatan peribadi tetapi lebih mengutamakan penegasan identiti politik dan ekonomi kepada Negeri Melayu berdaulat yang baru diasaskan oleh baginda.

syiling  kedah

Ada pendapat yang mengatakan bahawa Belanja Balad Al-Perlis dihasilkan dengan bersumberkan timah yang diimport dari luar Perlis. Namun Alwi (1991) menyatakan bahawa lombong Bijih Timah di Kaki Bukit dijalankan dengan cara mendulang dan lombong dedah dalam gaung dan sungai bawah tanah yang mengalir dalam bukit-bukau seperti Bukit Wang Tangga, Bukit Gua Ikan, Bukit Pelarit dan Bukit Wang Mu pada awal 1900-an, maka diyakini lembangan Sungai Perlis turut memiliki galian Bijih Timah yang tersendiri. Zahari (1984) pula menganggarkan bahawa perlombongan Bijih Timah telah dimulakan lebih dari 250 tahun yang lalu oleh orang-orang Cina. Oleh kerana itu boleh dikatakan bahawa Belanja Balad Al-Perlis dihasilkan dengan bersumberkan khazanah Bijih Timah dari Negeri Perlis sendiri dan bukannya daripada timah yang diimport.

duit negeri selat 1

Tetapi yang menjadi satu persoalannya adalah kenapa Belanja Balad Al-Perlis ini berhenti dikeluarkan? Apabila British mulai memerintah Tanah Melayu, maka mata wang Negeri Selat yang dikeluarkan oleh British beransur-ansur menggantikan kegunaan Belanja Balad Al-Perlis dan mata wang Melayu yang lain.

duit negeri selat 2

syiling selat

Fenomena ini terjadi bukanlah pada Negeri Perlis sahaja, bahkan ia turut melanda hampir semua Negeri Melayu di Semenanjung. Contohnya Kesultanan Kedah yang berjiran dengan Kerajaan Perlis, telah mengakhiri pengeluaran mata wangnya pada zaman Sultan Zainal Rashid al-Muazzam Shah, yang memerintah dari tahun 1843 sehingga 1854.

ayam jantan

Satu lagi warisan yang berkaitan dengan mata wang Negeri Perlis adalah Acuan Pitis Tra Perlis. Apakah fungsi Acuan Pitis Tra ini? Kami akan bahaskan dalam artikel seterusnya, Acuan Pitis Tra Perlis .

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.