Kerajaan Perlis Pernah Mempunyai Mata Wang Sendiri? (Bhgn. 2) : Acuan Pitis Tra Perlis

Pada artikel Kerajaan Perlis Pernah Mempunyai Mata Wang Sendiri? (Bhgn 1) kita telah mengetahui kewujudan Belanja Balad Al-Perlis, kali ini, penemuan baru dalam khazanah mata wang Kerajaan Perlis bukanlah wang syiling yang lain tetapi yang ditemukan adalah acuan mata wang timah yang digelar tra.

Pada acuan ini terdapat beberapa tra yang dihubungkan oleh satu tangkai yang boleh dipatah-patahkan digelar ‘pokok pitis’. Acuan ini berfungsi sebagai pembentuk penuangan dalam proses pembuatan pokok pitis tra timah. Acuan ini terbuat daripada batuan lembut yang dikategorikan sebagai ‘Batu Kawi’,ia berukuran 7 x 2.5 inci dengan tebalnya 2.5 inci.

acuan pitis tra

Terdapat ukiran pohon pitis pada bahagian sebelah dalamnya dengan dua belas cabang. Pada setiap cabang terdapat 1 ukiran bulat untuk ‘flan’ yang berbentuk bunga. Namun begitu, cuma dua ukiran bulat pada acuan ini yang memiliki lorekan. BUlatan yang pertama mempunyai ukiran ‘bunga’ manakala bulatan yang kedua mempunyai tulisan seakan-akan bahasa Arab atau tulisan jawi. Hal ini menunjukkan Acuan Pitis Tra Perlis ini merupakan acuan yang belum sempurna pembuatannya.

acuan pitis tra 2

Menurut Ibrahim (2006) dalam ‘Sejarah Matawang Negeri Kedah Dan Perlis’, acuan ini ditemui pada awal tahun 1998, semasa kerja-kerja menyiapkan tapak Muzium Kota Kayang sedang dilakukan. Kini bahagian acuan tersebut sedang dipamerkan di Muzium Kota Kayang. Walau bagaimanapun, pada catatam pameran,pihak muzium tersebut tidak menyatakan bahawa acuan tersebut adalah acuan sebenar yang telah ditemui di tapak Muzium Kota Kayang itu sendiri dan bukannya replika. Oleh sebab itu, kekurangan ini harus diperbaiki kerana acuan ini telah menjadi sebahagian warisan khazanah arkeologi tulen yang ditemui pada tapak muzium tersebut.

Apabila diteliti pada ukiran bunganya, bunga pada acuan ini didapati sama seperti ukiran bunga teratai lima kelopak pada Belanja Balad Al-Perlis yang dikeluarkan pada tahun 1845. Pada permukaan belakangnya didapati ada ukiran tulisan yang kurang jelas namun masih boleh dibaca sebagai ‘Fi Bilad Kedah Perlis Darul Aman’. Maka timbul satu persoalan: ‘Adakah acuan yang tidak siap sempurna ini dibuat sebelum zaman pemerintahan Raja Syed Hussein, iaitu ketika zaman pemerintahan Marhum Kayang II (Sultan Dhiyauddin Mukarram Shah II) yang memerintah Kedah di Kota Indera Kayangan II dari tahun 1797 sehingga 1803?’.

belanja balad

Jika hal ini adalah benar, adakah reka bentuk Belanja Balad Al-Perlis terinspirasi daripada acuan pitis tra ini? Hal Ini kerana Raja Perlis pertama, Raja Syed Hussein Bin Syed Harun Jamalullail dikisahkan memang rapat dengan bonda tiri baginda iaitu Tunku Sofiah Binti Sultan Dhiyauddin Mukarram Shah II.
Bahkan Raja Syed Hussein Jamalullail juga dikatakan pernah dibesarkan dan dididik oleh Tunku Sofiah di Kota Indera Kayangan II, serta baginda sendiri menggelarkan Negeri Perlis sebagai ‘Perlis Indera Kayangan’ (Ahmad & Yazid,Sejarah Pembentukan Sebuah Negeri Berdaulat,1992).

Oleh yang demikian, diharapkan penemuan Acuan Pitis Tra Perlis ini dapat merintis jalan kepada terlaksananya kajian-kajian lanjutan yang lain pada masa hadapan yang dapat menggali lebih banyak fakta sejarah negeri Perlis.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.