Kuasa Penghulu dalam Sejarah Pentadbiran Perlis

PADA tahun 1895 hingga 1945, Penghulu merupakan orang yang sangat penting di dalam Negeri Perlis. Seorang penghulu mempunyai pengaruh, peranan dan kuasa mutlak dalam sistem pentadbiran negeri ini.

Peranan penghulu pada masa itu sangat berbeza seperti peranan penghulu yang kita ketahui sekarang. Paza waktu itu, sistem sosial di Perlis bermula dengan Raja di tampuk pemerintahan, kedua Penghulu, ketiga Quang (orang harapan Penghulu), keempat Imam dan rakyat di kasta terbawah.

kasta

Penghulu dipilih dan dilantik berdasarkan kepada sokongan kuat daripada pihak atasan. Namun terdapat kriteria yang diutamakan di utamakan iaitu orang yang berbadan kuat, berani serta mempunyai budi pekerti yang tinggi. Pada pemilihan terakhir dalam suatu mesyuarat, cadangan-cadangan yang diajukan daripada orang bawahan akan dipertimbangkan. Penghulu yang terpilih kemudian dilantik oleh Raja.

pendekar

Penghulu yang dapat mentadbir atau menjalankan tugas dengan baik tanpa melakukan sesuatu yang menyeleweng, maka jawatan Penghulu akan diperturunkan kepada anak serta keturunannya tanpa dikenakan syarat-syarat pelantikan yang baru. Jawatan Penghulu ini boleh dikatakan jawatan pusaka dan tidak boleh ditukarkan kepada orang lain tanpa persetujuan Raja.

Pada tahun 1895, terdapat 16 orang penghulu yang dilantik di 16 kawasan yang telah ditentukan untuk mereka tadbir sebagai wakil Raja.

Penghulu 16

Pada tahun 1904, Raja Syd Alwi ditabal menjadi Raja Perlis ke IV. Baginda telah mengurangi bilangan bilangan Penghulu dan kawasan-kawasan tadbiran mereka. Kawasan-kawasan digabung sehingga dapat ditadbirkan oleh 9 orang Penghulu. Baginda berbuat demikian kerana suasana dan keadaan dalam negeri Perlis ketika itu memperlihatkan perubahan dan aman tenteram. Kawasan-kawasan yang telah dilakukan perubahan itu ialah:

Penghulu 9

TUGAS-TUGAS PENGHULU
Bidang tugas dan kuasa Penghulu pada zaman dahulu diibaratkan seperti pentadbiran seorang Menteri Besar sekarang bahkan lebih dari itu. Tugas seorang Penghulu ialah untuk menyempurnakan tugas yang diserahkan oleh Raja dengan memanggil atau memerintah rakyat seperti membina jalan raya atau membina rumah dan sebagainya. Penghulu diberi mandat bagi memerintah sekalian rakyat untuk membereskan kerja-kerja yang ditugaskan baginda Raja.

orang ada-ada melayu

Biasanya yang menjadi tanggungjawab rakyat ialah menjadi suruhan untuk mencari kayu api. Rakyat pada masa itu sangat taat dengan perintah Raja. Apabila terdapat sesuatu gerak kerja yang diperintah oleh Penghulu, rakyat yang disuruh untuk bekerja itu terpaksa membawa bekalan makanan sendiri kerana tidak ada upahan daripada pihak atasan.

banting padi

Jika didapati terdapat rakyat yang tidak mahu menyertai dalam gerak kerja itu, maka hukuman akan dijatuhkan oleh Penghulu kepada orang yang ingkar. Beberapa petugas khas atau dikenali dengan panggilan Quang telah dilantik oleh Penghulu bagi menjalankan hukuman yang telah ditetapkan oleh Penghulu. Terdapat lima bidang tugas utama atau kuasa khas yang ada pada Penghulu. Pertama kuasa Raja, kedua kuasa Mahkamah, ketiga kuasa Polis, keempat kuasa Pejabat Agama dan kelima kuasa diri sendiri sebagai Penghulu.

KUASA RAJA
Rakyat tidak boleh secara langsung menghadap dengan Raja kecuali dengan keizinan Penghulu sekiranya mereka mempunyai masalah. Masalah itu akan dibincangkan terlebih dahulu dengan Penghulu dan jika Penghulu tidak memberi kebenaran, maka mereka tidak dapat menghadap Raja. Rakyat atau sesiapa saja yang diizinkan untuk menghadap dengan Raja tidak tidak dibenarkan pergi berseorangan. Mereka harus didampingi oleh Penghulu. Pada masa itu rakyat boleh menghadap raja pada bila-bila masa sahaja jika dizinkan oleh Penghulu.

KUASA MAHKAMAH
Penghulu berkuasa untuk mendenda seseorang yang melakukan kesalahan. Denda itu biasanya setimpal dengan kesalahan yang diperlakukannya. Malah Penghulu juga boleh menjatuhkan hukumannya sendiri tanpa campurtangan orang lain. Lokap khas bagi menempatkan pesalah biasanya dibina di rumah Penghulu.

rapat1

KUASA POLIS
Jika ada rakyat atau sesiapa saja bersalah seperti kes kecurian, pihak polis tidak boleh langsung menangkap pesalah sesuka hati sebelum mendapat kelulusan daripada Penghulu.

KUASA PEJABAT AGAMA
Jika sebuah masjid ingin didirikan di sesebuah kampung oleh penduduk kampung, maka tanah tapak masjid tersebut haruslah mendapat kebenaran dan kelulusan daripada Penghulu. Malah, kes pergaduhan suami isteri hingga sampai ke peringkat perceraian juga akan diuruskan oleh Penghulu dengan menasihati dan memberi kata pemutus. Biasanya keputusan Penghulu akan mereka patuhi.

KUASA PENGHULU
Penghulu dapat menjalankan kerja-kerja yang diamanahkan tanpa dipengaruhi oleh anasir-anasir luar. Penghulu juga akan melantik ketua-ketua kampung dibawah kawasan beliau. Ketua kampung pula akan melantik beberapa jawatankuasa yang memegang beberapa tugas penting seperti Bahagian Pertanian, Bahagian Ternakan, Keselamatan dan jawatan-jawatan lain yang telah ditetapkan. Bahagian Penerangan pula dikehendaki membuat laporan harian kepada Ketua kampung.

petani dulu

Sistem tersebut diamalkan ketika pemerintahan Jepun dan Siam di Perlis. Sewaktu pemerintahan Jepun, beberapa orang kenamaan telah memainkan peranan bagi pentadbiran negeri Perlis. Datuk Abas Datuk Habib dilantik sebagai Penghulu, bertanggung jawab menjaga kawasan Kampung Chuping, Oran, Ngulang. Encik Darus L. Man dilantik sebagai Ketua Kampung. Di bawahnya dilantik pula Encik Saad Lebai Man memegang jawatan bidang pertanian, Encik Ahmad Senawi bidang ternakan, Encik Said Haji Dahaman, bahagian kerahan tenaga dan Encik Endin Eliat memegang bahagian hal ehwal orang-orang Thai.

Hubungan antara Penghulu dengan Raja sangat erat. Rakyat turut memandang tinggi dan patuh kepada Penghulu sama seperti patuh dan segan kepada Rajanya. Dari segi pembahagian tanah dalam negeri pada masa itu, rakyat diperbolehkan untuk membuat pilihan dan rayuan kepada Raja. Namun sebelum itu, pengesahan akan diputuskan oleh Penghulu. Tanah yang dimiliki oleh rakyat pada zaman juga mempunyai bergeran. Perintah Raja adalah undang-undang yang wajib ditaati.

menghadap

Sejak tahun 1958, jawatan Penghulu mula dilantik oleh Jabatan Perkhidmatan awam (JPA) melalui perkenan Raja Perlis. Kumpulan pertama yang dilantik oleh JPA pada masa itu ialah Johari Darus, Syed Yahya Syed Hussain, Syed Hamid Syed Hussain, Tengku Abdullah Tengku Mahmud, Abdullah Ariffin, Abu Bakar Haji Ahmad, Idrus Kasim dan Ramli Taib.

Pembinaan Derma English School adalah sumbangan paling berharga oleh Penghulu-penghulu dalam kumpulan terakhir yang dilantik oleh Raja pada tahun 1945. Mereka berusaha dan berjaya menyedarkan masyarakat kampung supaya menderma wang untuk membina Derma English itu. Dari usaha itulah, para penduduk kampung bersetuju mendermakan hasil sawah padi mereka dalam tempoh dua musim untuk dimasukkan dalam tabung pembinaan sekolah tersebut. Boleh baca kisah tersebut di artikel ini Bagaimana Sekolah Derma mendapat nama?

derma 3

Selain itu, para Penghulu pada masa itu juga memainkan peranan menyedarkan rakyat menubuhkan syarikat kerjasama di samping membina sekolah-sekolah persendirian di kampung-kampung. Dato’ Mustafa memainkan peranan membuka sekolah rakyat di Datuk Kayaman, Guar Nangka, Panggas, Wang Kelian dan Titi Tinggi. Banyak jalan luar turut dibina melalui kerja gotong-royong hasil usaha tok-tok Penghulu.

Berdasarkan cerita orang terdahulu, para Penghulu di Perlis tidak ada yang melakukan curang atau zalim kepada rakyat, semuanya dapat menjaga imej hingga dihormati oleh rakyat dan dipercayaai Raja. Semoga integriti Penghulu masa lalu dapat dicontohi oleh wakil-wakil rakyat pada masa kini.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.