Lagenda Bukit Chuping

Pernahkah anda mendengar pantun ini dalam tarian Canggung ? Pantun tersebut merupakan serangkap pantun asli yang begitu masyhur dan terkenal tentang Bukit Chuping yang terdapat dalam negeri Perlis. Namun apakah maksud pantun ini?

pantun

Bukit Chuping adalah salah sebuah bukit batu kapur yang terletak di sebelah utara negeri Perlis dengan ketinggian kira-kira 880 kaki dan panjang 1.6km. Ianya berada kira-kira 14km dari Bandar Kangar. Seperti bukit-bukit yang lain di negeri ini, Bukit Chuping juga menyimpan sejarah dan kemasyhurannya yang tersendiri dan merupakan suatu identiti bagi negeri Perlis.

bukit gajah

Jika dilihat dari jauh bentuk Bukit Chuping dikatakan mirip seperti seekor gajah yang tersergam gagah di dataran bumi. Kepalanya di sebelah selatan dan tubuhnya di bahagian utara. Suatu masa dahulu, menurut cerita orang-orang tua di sekitar kaki Bukit Chuping ini, terdapat suatu kawasan datar dengan sebuah kolam di atas puncak Bukit Chuping ini. Kawasan ini merupakan habitat kambing gurun yang hidup liar meminum air dari kolam tersebut. Kambing gurun ini mempunyai bulu yang lebat dan bertanduk ‘kerekot’.

kambing

Terdapat juga di pinggir kolam tersebut banyak kulit siput yang dipercayai menurut sejarah bahawa Bukit Chuping dahulu kedudukannya berada di tengah-tengah lautan pada ribuan tahun lampau. Pada waktu itu, terkenal seorang penduduk yang dengan kehandalannya menangkap kambing gurun termasuk menjerat sekian banyak pelanduk bernama Tok Ismail Pelanduk.

Bukit Chuping dikelilingi kampung-kampung yang oleh orang-orang Melayu dan orang-orang Siam. Antara kampung-kampung di sekitar bukit Chuping ialah kampung Bawah Bukit Chuping, Kampung Balik Bukit, Kampung Guar Musang, Kampung Chuping Titi Besi dan Kampung Pokok Sena. Sebenarnya Bukit Chuping yang berusia ribuan tahun ini memiliki sejarah dan sumbangannya yang begitu gemilang suatu ketika dahulu bagi penduduk dan negeri Perlis. Di bukit Chuping terdapat berpuluh-puluh gua batu kapur dan antara yang paling terkenal dulu ialah Gua Beringin atau dipanggil juga Gua Berangin. Sekitar tahun 1930-an dan 1940-an, gua ini mempunyai peranan besar kepada rakyat terutamanya bagi para petani orang-orang Melayu yang mengerjakan sawah.

chuping sawah

Pasti ramai yang tidak percaya bahawa sebenarnya suatu masa dulu, sebelum terkenal dengan baja tahi kelawar, Gua Beringin merupakan suatu tempat rekreasi bagi penduduk setempat dan penduduk sekitarnya termasuklah untuk keluarga Di Raja Perlis suatu ketika dahulu. Gua Beringin dikatakan sebagai gua yang menarik dan tercantik diantara gua-gua yang terdapat di Bukit Chuping dan bukit-bukit lain dalam negeri Perlis pada masa itu. Tumbuh sebatang pohon beringin (dikenali juga dengan nama pokok ‘jawi’) yang besar dan rendang di hadapan pintu gua tersebut. Gua tersebut juga dinamakan ‘Gua Berangin’ oleh penduduk setempat kerana angin bertiup sepanjang masa.

gua semak

Bahagian dalam Gua Beringin atau Berangin begitu luas, kira-kira tiga perempat relung, hinggakan sepak raga boleh dimainkan di dalamnya. Ia dipenuhi dengan batu-batu stalagmit dan stalagtit batu kapur. Stalagtit dan stalagmite ini sangat unik kerana berbentuk seperti lembaga-lembaga batu antaranya pengantin bersanding, berbentuk ular berlingkar dan kepala gajah. Berhadapan batu ular berlingkar itu terdapat sebuah kolam yang airnya jernih dan bening. Oleh kerana keunikan itulah Gua Beringin amat terkenal sebagai tempat melawat, berkelah dan bersiar-siar. Selain penduduk kampung, pada zaman Tuanku Raja Syed Alwi (1905-1943), keluarga Di Raja Perlis sering berangkat ke situ, makan dan bersantap sambil bersiar-siar bersama keluarga. Pada masa itu merupakan zaman pemerintahan Inggeris. Pihak lnggeris sangat memelihara gua tersebut sebaik-baiknya dan orang ramai sama sekali tidak dibenarkan mengambil baja tahi kelawar dan merosakkan khazanah yang terdapat di dalamnya.Pada masa itu memang tidak ada pengawal khas yang menjaga atau memeliharanya akan tetapi rakyat Perlis ketika itu sangat taat kepada pemerintah.

gua semak 2

Ketika Jepun memerintah Tanah Melayu, termasuk negeri Perlis, iaitu sekitar tahun 1941, penduduk negeri ini dibenarkan mengeluarkan baja tahi kelawar dari gua-gua di Bukit Chuping untuk menyuburkan penanaman padi mereka. Takal (dawai besi yang besar digantungkan guni) digunakan untuk pengeluaran baja tahi kelawar yang bercampur dengan tanah (batuan reput) dari gua, guni dibawa keluar dengan dihulur turun ke bawah. Pelita minyak tanah digunakan oleh para pengaut baja tahi kelawar itu untuk menerangi sekitar gua sehingga hidung mereka dipenuhi jelaga hitam kerana menghidu asap daripada pelita minyak tanah. Baja tahi kelawar akan ditabur selepas padi ditanam. Baja tersebut memang sesuai digunakan, pokok-pokok padi subur menghijau dan hasil yang dituai bertambah lumayan. Pengeluaran baja tahi kelawar melalui Gua Beringin dan gua-gua lain yang terdapat dalam bukit-bukit dalam negeri Perlis begitu pesat ketika itu kerana belum terdapatnya baja kimia.

Selain daripada Gua Beringin terdapat lagi gua-gua lain di bukit Chuping yang mengandungi baja tahi kelawar antaranya ialah Gua Tumpah. Ia dinamakan ‘Gua Tumpah’ itu begitu banyak mengandungi tahi kelawar sehingga tertumpah keluar. Diceritakan juga dalam gua tersebut, pernah menemui tembikar yang sudah reput dan tengkorak manusia yang dikatakan bukti bahawa suatu masa dahulu manusia zaman batu pernah mendiami gua-gua di Bukit Chuping. Terdapat juga Gua Lima yang yang menjadi tempat orang ramai mengambil baja tahi kelawar dan baja tanah bukit. Gua tersebut dipanggil Gua Lima kerana 5 orang penduduk tempatan yang sedang mengambil baja pada tahun 1946 dahulu, mati tertimbus di dalam gua itu.

Namun segala khazanah yang terdapat dalam Gua Beringin semakin lama semakin rosak dan terhapus sama sekali oleh kerana kepesatan pengeluaran baja pada masa itu. Kini, Gua Beringin pun tinggallah dalam kerosakan dan keusangannya setelah baja tahi kelawar sudah habis dikeluarkan dan digantikan dengan penggunaan baja kimia yang disubsidi kerajaan. Terdapat juga sebuah gua yang bernama Gua Air di bawah Gua Beringin. Gua ini adalah sebuah sungai dalam tanah yang menembusi hingga ke kawasan masjid Chuping.

Selain menjadi tempat bersiar-siar dan pengeluaran baja, Bukit Chuping juga menjadi tempat rakyat Perlis berhibur. Suatu ketika dahulu di puncak Bukit Chuping juga terkenal dengan temasya menjulang penangin ketika ‘musim timur’ atau musim menuai padi.Penangin yang dijulang di situ beratus-ratus buah sehingga menghasilkan bunyi yang begitu meriah dan menghiburkan penduduk di situ. Selain di puncak, terdapat juga gua yang dijadikan tempat menjulang pengangin yang dipanggil Gua Penangin. Bunyi penangin yang begitu nyaring dikatakan dapat didengari hingga ke bandar Kangar.

penangin

Disamping menjadi tempat pengeluaran baja tahi kelawar, terdapat juga gua di Bukit Chuping itu yang dipanggil Gua Tengah yang menjagi tempat membekalkan sendawa, iaitu sejenis tanah yang digunakan sebagai salah satu bahan campuran dalam proses pembuatan belerang yang digunakan untuk bahan letupan peluru senapang jenis sumbat. Senapang klasik ini dipanggil senapang sumbat kerana peluru disumbat di bahagian laras hadapan bersama belerang tadi dan kemudian dinyalakan untuk menembaknya. Satu lagi gua yang menarik di Bukit Chuping ialah Gua Sami yang dikatakan tempat sami Buddha Siam bertapa pada masa dahulu.Tingginya kira-kira 17 meter. Di sebelahnya pula terdapat Gua Kembar juga setinggi 17 meter. Gua ini dinamakan Gua Kembar kerana kedudukannya berkembar dua lubang pintu pada satu gua.

senapang sumbat

Di samping itu, dahulu Bukit Chuping juga menjadi tempat persinggahan kumpulan burung enggang yang bermigrasi dari sebelah timur bukit tersebut kemudian melangsungkan hijrah mereka ke bahagian barat. Begitu juga ketika burung-burung enggang itu pulang, kumpulan itu akan singgah di puncak Bukit Chuping. Burung-burung enggang itu berbunyi begitu lantang ketika singgah di situ, disahuti gema bukit.

Mengenai maksud pantun ‘Bukit Cuping’ yang masyhur iaitu yang sering dinyanyikan dalam tarian Canggung itu, mungkin bagi generasi sekarang yang tidak hidup di zaman itu tidak mengerti maksudnya. Sebenarnya, menurut orang-orang lama di sini menyatakan bahawa kebanyakan wanita atau anak-anak gadis petani pada ketika dahulu berkulit sawo matang atau kehitam-hitaman kerana sering ‘berjemur’ cahaya matahari sewaktu bekerja di sawah. Oleh kerana itu, jika terdapat wanita atau anak gadis yang kulitnya ‘putih kuning’ maka dia akan menjadi rebutan para jejaka. Oleh kerana wanita atau anak gadis yang ‘putih kuning’ tidak ramai dan banyak sudah menjadi milik seseorang maka terpaksalah pulang dengan kehampaan (balik saja) apabila mereka gagal untuk memikat atau melamarnya.

Penari Puteri

Setelah kemerdekaan sekitar tahun 1970-an, sebahagian Bukit Chuping iaitu di bahagian utara telah diletupkan batunya untuk dijadikan simen. Sebuah kilang simen telah dibina di utara Bukit Chuping menghasilkan sekian banyak simen untuk keperluan membina bangunan-bangunan di dalam dan di luar negeri Perlis. Bukit Chuping diletupkan hamper setiap hari untuk mendapatkan batu kapur untuk pembuatan simen.

chuping sekarang

Kesannya, sekaran bentuk Bukit Chuping telah banyak berubah di bahagian utaranya. Ia tidak lagi menjadi tempat rekreasi dan gua-gua juga telah banyak yang musnah. Keberadaan kambing gurun di puncak bukit yang menjadi lagenda suatu masa dulu mungkin telah pupus kerana bentuk bukit yang telah banyak musnah.

map bukit chuping

Gua Beringin pada masa kini amat sukar untuk dilihat kerana begitu terbiar, dipenuhi hutan tebal. Pada tahun 2001, suatu kejadian yang menggemparkan telah berlaku dalam kawasan penempatan tentera di bahagian selatan bukit tersebut iaitu di kawasan Mata Ayer. Pemendapan tanah yang menghasilkan lubang yang besar telah berlaku di situ. Setalah dilakukan kajian, kejadian tersebut dikatakan berpunca daripada aliran sungai yang terdapat di bawah kawasan tersebut. Mungkinkah sungai bawah tanah yang dimaksudkan itu adalah Gua Air yang telah kering airnya?

bukit hancur

Kejadian yang tidak diingini ini besar kemungkinan hasil daripada keruntuhan batu di Bukit Chuping yang menjadi pasak bumi selama ini yang telah diletupkan saban hari sejak berpuluh tahun lalu. Para pengkaji bumi yang dipertanggungjawab mempastikan keselamatan penduduk dan permukaan bumi terutama di sekitar kawasan Bukit Chuping diharapkan dapat memberi jawapan yang tepat tentang kondisi Bukit Chuping dan sekitarnya. Semoga kejadian buruk yang dibimbangkan itu tidak akan berlaku. Insyaallah. Kemungkinan suatu masa nanti, Bukit Chuping hanya akan tinggal sebutan dalam pantun dalam tarian Canggung sahaja, sedangkan bukit yang sebenar sudah tidak ada lagi kerana lenyap di sebalik pembangunan yang sedang dilaksanakan dalam negeri masa kini.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.