Laporan Audit Kewangan Perlis Kurang Memuaskan

KANGAR: Laporan Ketua Audit Negara tahun 2016 menyatakan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Perlis pada tahun 2016 adalah kurang memuaskan.

Menurut laporan itu, baki Kumpulan Wang Disatukan meningkat sejumlah RM2.92 juta menjadi RM19.59 juta.

deficit

“Kutipan hasil pada tahun 2016 meningkat sejumlah RM22.25 juta menjadi RM109.93 juta manakala perbelanjaan mengurus (termasuk pindahan ke Kumpulan Wang Pembangunan) dan perbelanjaan pembangunan menurun sejumlah RM48.39 juta menjadi RM169.96 juta.

“Bagaimanapun, jumlah kutipan hasil tersebut masih tidak dapat menampung sepenuhnya perbelanjaan mengurus dan pembangunan,” menurut laporan berkenaan.

Laporan itu juga menyatakan Akaun Hasil Disatukan mencatatkan defisit berjumlah RM22.42 juta menyebabkan defisit Kumpulan Wang Terkumpul Akaun Hasil Disatukan meningkat menjadi RM406.98 juta.

logo audit

“Ini adalah defisit yang tertinggi dicatatkan oleh kerajaan negeri. Hutang awam kerajaan negeri meningkat sejumlah RM2.44 juta menjadi RM394.34 juta dan tunggakan bayaran balik hutang awam kepada Kerajaan Persekutuan meningkat sejumlah RM14.43 juta menjadi RM219.59 juta.

“Tunggakan bayaran balik pinjaman oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENP) juga mencatatkan peningkatan sejumlah RM3.74 juta menjadi RM79.09 juta,” menurut laporan berkenaan.

Laporan berkenaan menyarankan, bagi memperkukuhkan lagi kedudukan kewangan, Kerajaan Negeri Perlis hendaklah menuntut tunggakan bayaran balik pinjaman daripada PKENPs dan berusaha meningkatkan kutipan hasil termasuk tunggakan hasil di samping mengawal perbelanjaan.

Sumber : BH Online

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.