Madu Lebah Kampung Surau

Kampung Surau terletak Kira-kira 6 km daripada bandar Kangar di daerah kampung Utan Aji. Kampung ini suatu masa dahulu sangat terkanal dengan penghasilan madu lebah di negeri Perlis. Lebah yang menduduki kampung Surau dikatakan adalah yang dibawa oleh Tuk Jernih semasa hendak berkahwin dengan Tuk Surau, iaitu mengikut cerita orang-orang tua di kampung itu.

Kawasan Utan Aji sebenarnya adalah kepunyaan Almarhum Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail. Apabila Almarhum Tuanku Syed Putra ditabalkan sebagai Raja Negeri Perlis sekitar tahun 1948 bagi menggantikan Almarhum Tuanku Syed Alwi Ibni Almarhum Tuanku Syed Saffi Jamalullail, maka kawasan di kampung Surau yang seluas 70 relung itu telah diserahkan kembali kepada Tuanku Syed Putra.

map kg surau

Selaku tuan punya tanah, maka pada waktu itu, sebahagian daripada jumlah madu yang dipungut di pohon-pohon dalam kawasan tersebut akan diberikan kepada Almarhum Tuanku Syed Putra. Satu cupak manisan/madu lebah dapat menghasilkan 1 kati lilin. Madu lebah biasanya disimpan di dalam tin yang mana 1 tin mengandungi 4 gantang madu. (4 cupak = 1 gantang). Almarhum Tuanku Syed Putra mendapat perolehan 1,600 kati lilin pada setiap tahun. Pada zaman sebelum perang, harga bagi 1 tin madu lebah ialah RM29.

Syed Putra

Pembahagian madu lebah yang diperolehi ini dijalankan mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Misalnya jika pada sepokok itu terdapat 100 sarang lebah, maka pembahagiannya adalah seperti berikut:

  1. Pawang mendapat satu sarang.
  2. Penghulu mendapat satu sarang.
  3. Tuan pokok mendapat satu sarang.
  4. Orang yang ‘juak tinggi’(yang memanjat pokok) mendapat satu sarang.
  5. Penyambut mendapat satu sarang.

Kemudian dari 95 sarang yang lebih itu mungkin terdapat juga 40 sarang ini tidak dapat diambil kerana beberapa kesukaran-kesukarannya misalnya 30 sarang berada di penghujung dahan dan 10 sarang lagi tidak dapat diambil. Maka baki jumlah 55 sarang yang ketinggalan itu telah diperuntukkan kepada Tuanku Syed Putra.

sarang1

Antara pokok-pokok yang menjagi kegemaran lebah untuk membuat sarang ialah Menkudung Tahi, Kelompang Tuk Surau, Mendukung Tuk Pa, Balong Ayam, Atui, Beranti, Balung Ayam, Mati Anak Kelompang, Neping dan Sungai Beduk Kaya. Terdapat sejenis pokok yang paling disayangi oleh penduduk-penduduk di daerah Utan Aji ini ialah pokok `Sani Camut’ (Raja segala-gala pokok). Apabila pokok ini mati, digantikan pula dengan pokok `Perok Pipit’. Namun pokok-pokok ini kebanyakannya sekarang telah ditebang oleh kerana tidak ada lebah yang buat sarang.

Proses Pengambilan Madu Lebah
Antara langkah pertama yang diambil bagi memungut madu lebah di pokok tualang ialah membuat sigai. Sigai dibuat secara melilit akar yang kuat di sekeliling batang pokok berkenaan bermula dari bawah hingga ke cabang di mana lebah bersarang. Sigai berfungsi sebagai tangga dan pemegang bagi memudahkan pemanjat tiba di atas pokok yang besar itu dengan selamat dan pantas. Pemungut lebah akan mencari akar yang kuat terutama di kawasan bukit untuk dijadikan sigai. Biasanya terdapat orang yang memulai proses ini dengan memanjat pokok untuk `membuang ibu’ atau menyiasat akan kedudukan atau keadaan sarang-sarang lebah itu. Pemanjat ini terdiri dari orang yang `berilmu’ atau berpengalaman. Upacara menjampi harus dilakukan sebelum proses memanjat dilakukan.

sigai

Setelah selesai membuat penyiasatan itu maka dia akan turun memberitahu kepada pawang (seorang ketua yang ‘berilmu’), dahan mana yang banyak penyengat atau tebuan, dahan yang tidak baik dan masalah-masalah lain yang sukar diambil sarang lebahnya. Kemudian batang pokok tadi dibasuh dari dahan atas hingga ke bawah. Setelah selesai dibasuh, pawang akan mulai memilih orang yang sanggup atau berpengalaman untuk memanjat pokok-pokok tersebut. Pawang biasanya akan menilik untuk membuat pilihan ini.

panjat1

Jika pada sebuah pokok itu terdapat 100 sarang, pawang hanya akan memilih 8 orang sahaja untuk memanjat. Empat orang ditugaskan untuk memegang tali dan empat orang lagi memanjat mengambil sarang-sarang. Sewaktu pemanjat itu sedang berada di atas pokok, pawang yang berada di bawah pokok itu akan duduk bertinggung, sambil kedua belah tangannya memeluk tubuh. Ini adalah mengikut kepercayaan tradisi atau adat pawang. Pawang duduk diam tanpa bergerak kerana terlalu percaya jika dia bergerak atau membuka kedua belah tangannya itu, mungkin sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku bagi orang yang di atas pokok itu.

Apabila seseorang yang hendak mengambil sarang di dahan kecil, maka dia perlu memberitahu kepada pawang di bawah, lantas pawang menjawab dengan kata-kata hikmatnya:

Pawang : “Tempoh sat……. “(bermakna tunggu sekejap.)
Pemanjat di atas pokok menyahut pula: “ Apa Macam ?”
Pawang : “Hang nak pi tu tak boleh pi…… ! Kalau nak pi kena bubuh tali kat pinggang atau di
dada…..”

panjat2

Begitulah kata-kata yang serius diucapkan sewaktu proses pengmbilan sarang lebah dijalankan. Dalam menjalani tugas pengambilan madu lebah, terdapat juga 3 orang telah terkorban kerana terjatuh dari pokok-pokok yang begitu tinggi. Antara mereka yang jatuh itu seperti Encik Tahir, dia jatuh dari pokok ‘Mengkudung Tahi’; Encik Ya, jatuh dari pokok ‘Atui’ dan ketiga Encik Awang dari pokok `Atui’ juga. Ada juga seorang yang jatuh kira-kira 30 kaki tingginya tetapi tidak mendapat sebarang kecederaan yang telah menjadi suatu kehairanan bagi penduduk-penduduk di Utan Aji. Beliau bernama Encik Tom (bekas Polis).

Sarang-sarang telah diturunkan kemudian akan diisikan ke dalam tong besar untuk diperahkan madunya. Kerja memerah ini memerlukan ramai pekerja yang cekap. Lilin dan sarang-sarang itu akan diperah dengan menggunakan ‘penghimpit kampit’ yang diperbuat daripada kayu. Besar lilitan kayu kampit lilin ini kira-kira 20 inci. Tenaga 2 orang yang gagah diperlukan untuk memusingnya. Setelah itu madu lebah yang dihasilkan akan dituangkan pula ke dalam ‘jongkong’ (lubang di dalam tanah) yang dikorek khas dan dibatasikan dengan kelengkapan peralatan yang kukuh agar madu yang dituang tidak jerab atau mengalir keluar dari jongkong. Kemudian diisikan pula ke dalam tin. Selepas itu barulah diagihkan madu itu kepada perkerja-perkerja dan juga dijual.

panjat4

Nama jenis barang-barang keperluan untuk menguruskan pengambilan madu lebah itu adalah Ghepok (tempat isi lilin), Tali umai (tali pinggang) dan Bintang iaitu jamung yang dibuat daripada pokok mentawan. Jamung yang telah berbara ini akan diketuk di atas cabang pokok berkenaan. Bara api yang luruh ke tanah bagaikan hujan akan mempengaruhi lebah supaya meninggalkan sarang. Lebah akan mengikuti bara api yang jatuh ke tanah. Bagi pemungut lebah mereka menamakan bara api itu sebagai “bintang”. Lebah yang tertarik dengan cahaya bintang akan mengosongkan sarangnya dan mengikuti bintang yang jatuh ke bumi. Percikan bara api jamung yang dibuat dengan pokok mentawan tahan lama dan tidak mudah padam.Namun sangat mendukacitakan kerana kita tidak dapat lagi melihat barang-barang keperluan atau alat-alat untuk mengambil madu lebah itu kerana aktiviti mengambil lebah seperti dulu sudah lama ditinggalkan sejak sekitar tahun 1959 lagi.

panjat3

Pada zaman dulu, kepercayaan khurafat masih lagi menebal dalam masyarakat Melayu. Seringkali untuk memulakan proses pengambilan sarang itu kebanyakan para pemungut akan membawa `beghetih’ (bertih, padi yang telah direndang), lilin sebatang setiap orang dan barang-barang lain yang berkenaan untuk memuja. Barang-barang ini adalah ditentukan mengikut adat orang dulu.

Memang kita sudah ketahui tentang khasiat madu lebah ini. Selain dimakan untuk menambahkan kekuatan madu lebah ini juga dulu digunakan sebagai ubat sakit dada, mata yang tertikam kayu dan kegunaan-kegunaan lain yang penting.
Dulu kawasan memungut sarang lebah di Utan Aji yang seluas 70 relung itu dipenuhi hutan yang tebal. Stiap kali tiba musim mengambil madu, banyak binatang buas akan datang turut menikmati madu lebah. Untuk mengelakkan pekerja-pekerja itu dari gangguan binatang-binatang buas itu, sebahagian sarang-sarang madu itu dilemparkan satu atau dua keping kepada binatang-binatang yang berkeliaran.

rimau

Dulu masyhur seekor harimau yang dikenali sebagai `harimau Tuk Surau’ sering datang ketika musim mengambil madu lebah. Harimau ini terlalu besar tetapi jinak pula sehingga dikatakan terdapat kanak-kanak yang nakal menampar-nampar harimau itu namun tidak dipedulikan oleh harimau tersebut. Acara pengambilan madu lebah memang merupakan suatu temasya atau acara yang meriah dan kanak-kanak amat bersuka ria pada masa itu. Acara-acara mengambil madu lebah itu disakdikan oleh orang ramai yang berduyun-duyun datang dan tidak ketinggalan juga orang Inggeris yang datang menyaksikannya.

sarang2

Musim mengambil madu lebah itu biasanya setahun sekali. Lama masa untuk mengambilnya ialah hingga 3 atau 4 bulan dan waktu pengambilannya dijalankan pada tiap-tiap malam yang kelam. Mennurut adat resam dulu, acara memuja lebah harus diadakan pada setiap tiga tahun sekali. Penduduk-penduduk di daerah itu akan mengorbankan seekor kerbau balar (kerbau putih) sebagai membayar niat (nazar). Pada waktu siang dikhaskan untuk mengutip lilin dan proses ini berlangsung selama sebulan. Lilin yang dikumpulkan itu kemudiannya dimasukkan ke dalam kawah. Kayu bembean digunakan untuk membuat `Kampit’ (penapis) lilin itu.

panjat5

Madu lebah di Utan Aji adalah yang paling baik sekali pada masa itu. Selain daripada Utan Aji, madu boleh juga diperolehi di Arau, Perlis. Madu lebah di Utan Aji dikatakan begitu popular adalah kerana disebabkan oleh kawasan Surau di Utan Aji ini banyak mengandungi bunga-bungaan keman dan bunga-bungaan selam. Namun ada juga madu yang dikatakan lebih rendah kualitinya jika di sekitar kawasan itu terdapat bunga-bungaan api-api atau bunga tum-tum.
Selain adat kebudayaan atau keaslian orang dahulu (sekitar tahun 1940 hingga 1948) dalam proses pengambilan madu lebah, terdapat juga pantun-pantun dalam acara `membuang ibu’ (iaitu membuang ibu-ibu lebah yang hinggap ke seluruh badan mereka ketika memanjat pokok-pokok itu).

Semasa pemanjat berada di atas pokok melantunkan pantun kepada orang yang berada di bawah pokok, sesaat semasa ibu-ibu lebah menghinggapi badan mereka, antara pantun-pantun yang sering didahului ialah:

Pantun Pertama:

Oi, oi, oi mambang dewan
Dewan dudui………., hoi..,hoi….
Tolonglah kami mambang dewan
Bantulah kami, turunlah encik…….

Kami mambang dewan
Mambang dewan mengayakkan……
Hoi……. hok…., biarlah kami
mengaturkan kami, dewan kedudui……… kurus………

panjat6

Pantun Kedua:

Lebat-lebat bunga delima
tolonglah kami mengayakkan….,
Ooi…….., bantulah kami
Dewan dudui…..
mengayakkan…………

Setelah pantun-pantun yang dilantunkan oleh pemanjat di atas pokok maka orang yang berada di bawah akan membalas dengan pantun ketiga pula ialah:

Telur-telur ikan senangi
Ooi..,ooi…menyampak telur
di hujung pantai…..
Ooi…. ooi…. turunlah encik…..

mambang dewan sehani………
Ooi….. kami tak mengantuk
Manja nak tidur…..

Apabila selesai berbalas pantun, maka dijalankan pula acara menyembur sirih pinang dijalankan. Lantas ibu-ibu lebah dibuangkan. Kemudian, jika ibu-ibu lebah itu terus mengigit-gigit dengan ganasnya, maka dinyanyikan pula serangkap pantun:

Burung punai ekornya lebat
Terbang melilit cabang kayu
Cop serunai dipukul nobat
Nak olek raja beradu….

sarang3

Sejurus nyanyian itu berakhir maka ibu-ibu lebah di badan itu telah dikikiskan dengan menggunakan `bintang’ (alat membuang ibu-ibu lebah). Selesai upacara itu dikerjakan, sebuah lagi nyanyian pantun bercorak kesedihan didendangkan. Ini dilakukan dengan harapan supaya lebah-lebah itu balik ke sarangnya semula.

Punai tuan punai cendawan
Punai dengan kain berkait
Tinggal tuan tinggalku nyawa…….
Tinggal dengan baik berbaik…….

Daun serai lapik belangan…….
Daun nasin dalam padi
Kita bercerai janganlah lama
Cukup musim baliklah ke mari…….

jln kg surau

Demikianlah upacara pengambilan madu lebah di Utan Aji yang sangat terkenal pada suatu masa dahulu. Kini semuanya tinggal kenangan. Tiada lagi aktiviti temasya mengambil sarang lebah kerana sudah ditinggalkan sejak 58 tahun lalu. Lebah juga sudah banyak meninggalkan kawasan ini sejak sekitar tahun 1959. Namun kini, terdapat juga penduduk yang mengusahakan ladang madu kelulut Kampung Surau ini. Semoga kisah menjadi kenangan abadi bagi penduduk-penduduk di kampung Utan Aji yang pernah terkenal dengan penghasilan madu lebah yang terbaik di Perlis.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.