Masakan Tradisi Unik Haruan Bakar Bertanah

Negeri Perlis sebuah negeri yang kecil namun kaya dengan pelbagai makanan tradisional. Keunikan makanan tradisional negeri ini terlihat dari cara penyediaan makanan tersebut atau segi bahan yang digunakan untuk membuatnya. Salah satu daripada makanan tradisional yang unik di negeri ini ialah ikan haruan bakar bertanah.

Makanan ini biasanya akan disediakan oleh masyarakat di Negeri Perlis pada ‘musim angin timur’ iaitu musim selepas menuai padi. Hal ini dilakukan pada ketika tradisi menimba telaga (perigi) dijalankan. Menimba dilakukan bertujuan untuk mendapatkan ikan darat untuk dikeringkan, ada pula digunakan untuk dibuat pekasam dan sebahagiannya dijadikan hidangan makan tengahari.

bakar bertanah''

Untuk menyediakan makanan haruan bakar bertanah ini beberapa ekor ikan haruan akan dipilih untuk dibakar. Sangat unik cara penyediaan ikan haruan bakar ini dan sudah jarang sekali dilakukan oleh masyarakat di negeri ini pada masa sekarang. Ikan haruan itu akan dibersihkan dan dibelah belakangnya. Siripnya bagaimanapun tidak dibuang. Asam jawa digunakan untuk membersihkan bahagian dalam ikan tersebut supaya hilang bau hanyir yang kurang menyenangkan. Jika kita menginginkan rasa yang lebih sedap, boleh juga dimasukkan kelapa parut yang telah digaul bersama serai, cili hidup, garam dan kunyit.

haruan sumbat

Kemudian ikan tersebut dibalut dengan daun pisang bertujuan untuk mendapatkan haruman dari bau daun tersebut apabila dibakar. Selepas itu ikan tersebut disalut dengan menggunakan tanah liat. Selalunya tanah yang digunakan untuk membalut ini adalah tanah sawah atau tanah yang diambil dari telaga ikan yang sudah ditimba airnya. Untuk membakar ikan, bara api disediakan. Selalunya bara api disediakan dengan menggunakan sabut kelapa, kayu dan juga arang. Kemudian Ikar haruan yang telah disalut itu dimasukkan ke dalam bara api dan dibakar selama 45 minit hingga 1 jam.

salut tanah

Untuk mengetahui sama ada ikan itu sudah masak atau tidak, ini dilihat pada keadaan tanah liat yang menyalutinya. Apabila tanah pada ikan tersebut kelihatan merekah, ini manandakan bahawa ikan telah pun masak. Ikan tersebut kemudiannya diangkat keluar dari bara dan tanah yang menyaluti ikan ditanggalkan. Sisik ikan juga akan melekat dan akan tertanggal bersama tanah, hanya yang kelihatan isi ikan yang berwarna putih.

Selain dari menggunakan bara sabut kelapa, kayu dan arang, terdapat juga sebahagian masyarakat petani di negeri ini memanfaatkan jerami yang dibakar setelah habis musim menuai. Mereka akan memasukkan ikan haruan yang telah disalut tanah ke dalam jerami untuk dibakar. Ikan haruan bakar ini biasanya dihidangkan bersama sambal belacan, sayur keladi dan ulam-ulaman seperti pucuk pegaga atau pucuk gajus sebagai hidangan makan tengahari. Pada masa dulu, ikan tidak dibungkus dengan daun pisang, sebaliknya dibalut terus dengan tanah, kemudian terus dibakar.

bakar dulu

Pada masa kini cara menyediakan hidangan ikan haruan ini turut berubah mengikut peredaran zaman. Proses membakar ikan haruan yang rumit ini telah dipermudahkan dan dipermodenkan. Penyediaan makanan tradisional yang unik ini tidak lagi dijadikan sebagai makanan untuk hidangan harian sebaliknya hanya dibuat apabila adanya Pesta Makanan Tradisionai. Ini mungkin disebabkan oleh cara penyediaannya yang agak rumit dan mengambil masa yang panjang. Selain daripada itu agak sukar untuk mendapatkan ikan haruan ini bagi masyarakat dari luar untuk dijadikan sajian. Semoga resepi ikan haruan bakar bertanah ini dapat dihidupkan kembali dan cara penyediaan yang unik ini dapat dilestarikan kepada generasi muda.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.