Memburu ‘Awan Karpet’ Di Bukit Tok Dun

Negara Malaysia telah menjadi negara yang mempunyai rakyat obesiti paling ramai di Asia Tenggara. Rekod ini bukanlah suatu yang dapat dibanggakan. Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Zaini bin Hussin, Perlis merupakan negeri ketiga yang mempunyai jumlah rakyat yang obesiti di dalam Malaysia. Maka sudah tiba masanya rakyat negeri Perlis mula mengamalkan gaya pemakanan dan gaya hidup yang sihat.

obes

“Perlis mencatatkan 22.3 peratus rakyatnya mengalami obesiti atau kira-kira 33,750 orang daripada lebih 240,000 penduduknya dan merupakan yang ketiga tertinggi di Malaysia. Obesiti merupakan faktor ramai orang mengalami penyakit darah tinggi dan diabetes” kata Dr.Zaini.

berita zaini

Berbagai jenis aktiviti beriadah dapat kita lakukan. Antaranya ialah memanjat bukit. Aktiviti ini mulai menjadi pilihan rakyat negeri Perlis apabila satu lokasi bukit menjadi viral dengan keindahannya di waktu pagi pada tahun ini. Maka berbandong-bondonglah rakyat negeri ini mulai memanjat bukit ini setiap minggu. Ini merupakan satu hal yang positif ke arah menjadikan rakyat negeri Perlis bebas obesiti.

view1

Bukit yang dimaksudkan dikenali sebagai Bukit Tok Dun. Tarikan yang tidak lagi asing kepada rakyat negeri Perlis. Bukit setinggi 325m ini terletak di dalam kawasan Felda Laka Selatan. Felda ini adalah ladang kelapa sawit yang mungkin akan dijadikan ladang getah kerana terlihat banyak anak-anak pokok getah mulai di tanam di sekitar bukit Tok Dun ini. Bukit ini berada tidak jauh dari MRSM Arau dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau. Sebenarnya bukit berkenaan bukannya baharu, tetapi ia seperti dijelmakan semula selepas pemilik tanah, Felda Global Venture (FGV) melakukan pembersihan kawasan bagi tujuan pertanian.

view2

Selepas ditarah dan ditanam semula FGV, bukit berkenaan menjadi tarikan anak muda bagi tujuan pendakian riadah, malahan turut menjadi aktiviti keluarga terutamanya pada hujung minggu. Bukit Tok Dun terletak di Pauh kira-kira 20km dari Kangar dan 5km dari pekan Changloon.

Admin turut tidak melepaskan peluang mencuba untuk mendaki bukit ini. Memang ramai yang mendaki pada hujung minggu, mulai dari yang masih sekolah rendah hingga warga emas turut tidak melepaskan peluang mencuba mendaki bukit ini. Ramai dikalangan pendaki adalah mereka yang telah berkali-kali memanjat bukit ini dan tidak kurang juga yang baru pertama kali ingin mencuba aktiviti ini. Terdapat juga anak-anak muda Perlis telah mulai mendaki sejak lepas subuh untuk melihat matahari terbit dan ‘awan karpet’ yang dikatakan menyelubungi puncak bukit ini dimana kita akan berada diatas awan. Sesuatu yang menakjubkan.

awan1

Laluan menuju ke puncak bukit adalah laluan tanah merah sepanjang 2.5 km. Laluan ini tidak lah terlalu sukar kerana terdapat motosikal yang mampu dibawa sehingga ke puncak kerana ia merupakan laluan pekerja ladang. Cuma terdapat dua tempat di laluan ini yang agak curam. Bagi yang ingin mendaki dinasihatkan agar tidak mendaki pada waktu hujan atau setelah hujan kerana tanah merah ini akan berselut dan licin yang mungkin akan membahayakan pendaki.

tanah merah

awan2

Pendakian bermula dengan melalui ladang kelapa sawit. Semakin menuju ke puncak, bilangan kelapa sawit semakin berkurang, yang ada cuma anak-anak pokok getah yang baru ditanam. Oleh kerana kawasan ini adalah milik Felda, pendaki diharapkan tidak merusakkan tanaman. Apabila admin mendekati puncak, maka terlihatlah keindahan panorama negeri Perlis yang mempersona di waktu pagi.

puncak2

Keindahan bukit-bukit diselubungi awan memang sangat mengagumkan. Rasa hilang penat apabila menikmati pemandangan ini. Walau bagaimanapun admin tidak sempat melihat ‘awan karpet’ yang sering dicanang itu kerana matahari mulai meninggi. Mungkin belum rezeki admin. Memang seharusnya pendakian dimulai selepas subuh untuk menyaksikan keindahan alam tersebut.

view3

Namun sangat menyedihkan kerana masih terdapat dikalangan pendaki yang tidak bertanggunjawab membuang sampah merata-rata di laluan pendakian dan di puncak bukit. Dengan penuh prihatin, team Hikers Perlis telah menjalankan aktiviti mengutip sampah untuk menyedarkan para pendaki pentingnya untuk menjaga kebersihan alam. Sungguh mulia tindakan mereka itu. Syabas dan tahniah diucapkan. Kita terhutang budi kepada mereka yang sanggup menjadi pengutip sampah sukarela ini.

puncak1

Semoga kesedaran untuk menjaga alam sekitar menjadi budaya dalam masyarakat negeri Perlis ini. Bukit Tok Dun ini merupakan khazanah alam yang semestinya kita menjaga kelestariannya bersama. Diharapkan dengan aktiviti seperti ini maka rakyat negeri ini menjadi bertambah sihat dan kadar obesiti negeri ini menurun insyaAllah. Bagi yang ingin mendaki Bukit Tok Dun ini tetapi tidak tahu lokasinya, boleh cuba mencari lokasi [6.443863, 100.348199] di Google Map. Semoga gaya hidup sihat menjadi amalan kita rakyat Perlis dan diingatkan kepada pendaki untuk membawa turun sisa-sisa sampah ke bawah serta tidak membuang sampah merata-rata.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.