Mencelung Gajah Di Perlis

Negeri Perlis sudah terkenal dengan gajahnya sejak sebelum Perang Dunia Kedua lagi. Pada sekitar tahun 1920-an, kira-kira lebih tiga puluh ekor gajah yang dipelihara di Negeri Perlis. Gajah sebenarnya tidak mudah dimiliki oleh semua orang pada waktu itu. Individu itu dikategorikan sebagai orang yang mempunyai harta atau aset yang besar bagi sesiapa yang dapat memiliki gajah pada dekad tersebut.

Kebiasaannya hanya di kalangan raja atau kerabat-kerabat diraja saja yang mempunyai gajah sendiri. Gajah bagaikan kenderaan mewah pada waktu itu. Bahkan pengarah film dari Perancis, Philippe de Broca, juga tertarik untuk menggunakan gajah di Chuping dalam film arahannya, “Les Tribulations D’Un Chinois En Chine”.

gajah duduk

Gajah sememangnya adalah hidupan liar, namun untuk menjinakkan gajah ini memerlukan satu proses yang dinamakan celung. Pada masa dulu, Perlis adalah satu-satunya negeri di Tanah Melayu yang kawasannya sangat berpotensi untuk dijadikan kawasan pencelungan gajah. Salah satu kawasan pencelungan yang popular ialah di Sungai Celung yang terletak di Mukim Chuping, Perlis.

ibu anak

Mencelung gajah merupakan satu proses dengan teknik tertentu dimana seekor gajah akan melalui beberapa peringkat sebelum gajah itu dapat dijadikan kenderaan yang jinak. Sebelum proses-proses ini dilakukan, gajah tersebut tidak dapat dinaiki atau digunakan untuk menarik balak. Gajah yang dicelung ialah yang berumur lima tahun ke atas sahaja dan tidak melebihi enam tahun. Umur ini adalah yang paling sesuai bagi menjinakkan seekor gajah kerana begitu mudah untuk mengajar dan mendengar kata. Proses ini memakan masa selama beberapa hari. Antrara alat-alat yang digunakan ialah dalam proses celung ialah sangkuh pendek, sangkuh panjang, kosa dan sengkela.

ikat gajah

Pencelungan ini dilakukan di kawasan yang dipilih khas, biasanya di kawasan yang berdekatan dengan sungai. Di antara tokoh-tokoh yang terkenal melakukan tugas pencelungan ini pada masa dulu ialah Encik Jasin bin Ismail (Nai Khong Sin), Encik Abdullah bin Junus (Tok Manis Gajah), Encik Endin, Encik Mat Isa (Mat Isa Chak), Tok Adam dan Tok Bu.

sangkuh panjang

Kira-kira tiga minggu sebelum acara celung bermula, beberapa persiapan yang tertentu akan diadakan. Kawasan celung gajah didirikan dengan setinggi 15 kaki berbentuk ladam kuda. Ia diperbuat dengan kayu menggunakan daun-daun ‘nau’ dan daun rembia sebagai atap. Ia dibina tinggi bagi menjamin keselamatan para penonton yang menyaksikan pesta pencelungan tersebut. Tuan gajah pula disediakan tempat khas di tengah-tengah penonton sebagai tempat duduk. Para penonton yang datang menonton celung gajah itu biasanya membawa bekalan makanan dan minuman, kerana upacara mencelung gajah itu sering mengambil masa yang lama. Biasanya upacara mencelung gajah akan dimulai pada jam 10.00 atau 11.00 pagi.

kosa gajah

Orang-orang tempatan yang datang menonton akan dikenakan bayaran tertentu bagi menonton pesta yang mendebarkan itu. Celung gajah biasanya diadakan lima tahun sekali dan kadang-kadang ianya tidak menentu. Maka dengan itu ia menjadi satu temasya yang dinanti-nantikan oleh orang ramai. Kadang-kadang terdapat juga pihak Istana yang turut mencemar Duli turun ke kawasan menyaksikan upacara mencelung gajah.

Pada hari mencelung yang telah ditetapkan, gajah akan dibawa ke tempat pencelungan bersama ibunya. Apabila tiba di tempat tersebut, ianya akan diiringi oleh sekurang-kurangnya lima hingga tujuh ekor gajah yang lain. Gajah-gajah ini berfungsi sebagai “pengapit”. Ini dilakukan supaya seekor anak gajah itu mudah untuk ditangkap, dan mudah juga untuk dipisahkan dari ibunya. Setelah dipisahkan, ibunya akan dibawa dan ditambat jauh dari kawasan mencelung kerana ditakuti membahayakan orang ramai.

Anak gajah yang telah dipisahkan tadi akan dihimpit dan ditunda oleh gembala-gembala gajah yang berada di atas tengkuk gajah masing-masing hingga kaki anak gajah tersebut termasuk ke dalam tali jerat yang sebesar lengan diperbuat dari rotan yang telah dipintal. Empat urat tali jerat sedemikian disediakan iaitu dua untuk kaki hadapan dan dua untuk kaki belakang. Orang-orang yang bertugas di tanah akan menarik tali jerat tersebut. Orang yang bertugas atas tanah ini pula diwajibkan memakai topi yang diperbuat dari daun lalang hidup (hijau) dan tidak diperbolehkan memakai baju. Difahamkan ini adalah adat tradisi yang menjadi kebiasaan dan berkait rapat dengan kepercayaan orang-orang tua yang mencelung gajah zaman dahulu.

celung siam

Maka kedengaranlah riuh-rendah pada masa anak gajah itu dikepung dan lehernya pula dicelung, , dan menjadi gamat dan tambah bising suasana di kawasan celung itu. Kanak-kanak yang mendengar bunyi teriakan suara ibu gajah yang berada jauh itu sungguh-sungguh membuat merekan rasa gerun dan berdebar. Beberapa ekor gajah yang mengepung anak gajah itu ke kawasan celung itu memakan masa satu jam. Ribuan penonton sangat menantikan saat ketika leher dan kaki-kaki gajah itu dijerot. Tempoh satu jam inilah yang dikatakan sebagai temasya celung.

Setelah kaki gajah itu masuk ke dalam tali jerat tadi, anak gajah tadi akan ditunda pergi ke celung iaitu sebuah lubang yang dikorek sedalam tiga kaki, berbentuk empat segi, dan diadakan lantai jarang yang diperbuat dari batang-batang kayu yang besar sebagai tempat berpijak kaki hadapan dan kaki belakang gajah itu. Lubang ini dikorek bertujuan untuk mengisi najis gajah semasa gajah ditambat.

rotan

Tali-tali yang berada di kaki gajah tersebut akan ditambat pada tumang di setiap empat penjuru tempat celung itu. Tumang ini digelar tumang “Tok Guru”, ia dibuat dari kayu tingginya lima kaki dan saiznya sebesar paha, ia ditanam sekaki ke dalam tanah. Tali pada tumang itu akan ditambat pula ke sebatang pokok yang berdekatan. Pagar yang kukuh dipasang di kiri kanan dan hadapan gajah itu supaya gajah itu tidak dapat meronta. Gajah itu dibiar dalam keadaan tertambat di celung se hingga tiga hari. Gajah diberi makanan yang terdiri daripada batang pisang, pelepah kelapa dan batang dudur yang disediakan sambil menunggu mengikut giliran.

Sebagai hiburan kepada orang-orang yang menjaga gajah di dalam celung itu dan juga kepada orang ramai yang pergi melihat gajah itu, maka diadakan pertunjukkan “Menora“. Pada hari yang ketiga, tibalah masanya gajah yang berada di dalam celung itu akan dicincang di buntut berdekatan dengan ekornya dan kepalanya iaitu di bahagian pangkal belalainya kerana mereka percaya hal ini akan melembutkan belalai anak gajah itu nanti. Selain dari dua bahagian tersebut, seluruh badan gajah itu juga turut dicincang hingga lumat. Perbuatan mencincang ini dinamakan “kerabu”. Ia dilakukan oleh bomoh gajah yang handal dengan menggunakan sejenis alat yang ditempah khas terdiri daripada paku, wang syiling tembaga dan ranting payung yang dipanggil “sangkuh”.

sangkuh pendek

Mata sangkuh ini panjangnya cuma seinci dan hulunya sepanjang satu hasta. Sangkuh ini dinamakan sangkuh “sau” di dalam bahasa Thai bererti “sangkuh pendek”. Gajah ini akan meronta-ronta dan meraung-raung kerana kesakitan semasa ia dicincang. Penyincangan ini adalah bertujuan untuk menakut-nakutkannya dan seterusnya menjinakkannya. Seluruh badan gajah ini kemudian akan dimandikan dengan air asam limau nipis dan dilumurkan dengan garam kunyit setelah selesai dicincang atau dikerabu. Ini adalah untuk mengubati luka-luka pada badan gajah itu.

Ia kemudian dibiarkan beberapa lama supaya garam tadi meresap masuk ke dalam liang luka di kulit gajah, setelah itu tali yang ditambat pada tumang dan pokok pun diurai untuk menunda gajah itu ke sungai. Beberapa ekor gajah lagi digunakan biasanya gajah jantan yang sering dipilih untuk menunda dari belakang kerana ia mempunyai gading manakala sebagai pengapit digunakan gajah betina. Setelah sampai di sungai, gajah tadi akan direndam ke dalam sungai hinggalah ke petang hari kemudian barulah dinaikkan. Tujuan ia direndam adalah supaya garam kunyit terserap ke dalam kulit gajah yang luka itu dan juga untuk mengelak daripada dihurungi lalat di tempat luka tersebut.

gajah mandi

Apabila petang, gajah dibawa naik ke darat dan dibawa kembali ke dalam celung. Gajah tadi sekali lagi direndam ke dalam sungai pada hari berikutnya iaitu pada hari yang keempat. Setelah itu, ia dibawa naik dan badannya dilumurkan garam kunyit sekali lagi. Kemudian gajah itu pun dibawa balik ke kampung bersama ibunya. Tali rotan yang menjerat kakinya masih terikat walaupun ia telah dilepaskan dari celung. Anak gajah yang celung itu akan ditambat pula pada sebatang pokok setelah sampai di kampung selama seminggu.

Gajah tersebut dilatih dalam masa seminggu ini untuk dikendarai dengan cara membuat buaian di atas pokok di mana gajah tersebut ditambat. Pelatih atau gembalanya akan berada di atas buaian sambil kakinya diletakkan di atas belakang gajah. Tujuan ini dilakukan adalah supaya apabila gajah tersebut dinaiki nanti ia tidak akan membuang gembalanya dari tengkuk dengan menggunakan belalai dan lari.

Pada masa ini jugalah gajah akan diajar menggunakan bahasanya yang khusus. Istilah bahasa yang diajarkan adalah seperti dikatakan “sem” kalau hendak memerintahkanya supaya tidur, “kum jean” untuk menyuruh ia mengambil sesuatu dengan belalai dan memberikan kepada gembalanya, “Trum” supaya mengiring dan dikatakan “hih” supaya bangun dan berjalan.

Gajah tadi akan menjadi jinak dan dapat mengenal suara gembalanya setelah seminggu diajar. Maka dengan itu gajah tadi akan dilepas dari tambatan dan akan dinaiki oleh dua orang iaitu gembalanya yang berada di dalam “rongga” di atas belakangnya. Rongga ialah kotak berbentuk empat segi yang dibuat dari papan dan dialas dengan beberapa lapis kulit pokok “Putat Kelun” yang telah ditumbuk hingga lumat kemudian diletakkan di atas belakang gajah.

rongga

Rongga ini pula akan diikat ke perut gajah menggunakan tali. Rongga berfungsi untuk memuatkan penumpang dan membawa barang seperti padi, jagung, ubi, pisang dan sebagainya. Gajah yang dinaiki ini akan dituntun pula mengelilingi kampung oleh seorang yang lain. Adat ini dinamakan “meminta sedekah”. Orang-orang kampung akan memberikan beras kelapa, wang dan ayam itik untuk diisi ke dalam rongga tadi. Hal ini bertujuan untuk mengajar anak gajah bagi biasa dengan bahasa-bahasanya. Bahan-bahan yang disekahkan tersebut akan digunakan untuk membuat kenduri sebagai tanda seseekor gajah itu telah tamat dicelung, dilatih dan telah menjadi jinak serta bersedia untuk dijadikan kenderaan.

raja gajah

Pada masa kini, sudah tidak wujud lagi adat mencelung gajah, malah pula gajah telah pupus di Negeri Perlis kerana kawasan yang luas di kawasan pemeliharaan gajah itu diteroka untuk dijadikan ladang tebu. Kawasan hutan yang khusus untuk dijadikan makanan gajah juga sudah tiada. Peredaran zaman dan arus pembangunan yang telah membawa perubahan yang besar terhadap kegunaan gajah-gajah. Peranan gajah yang besar pada zaman dahulu gajah sebagai kenderaan dan alat pengangkutan darat kini telah diambil alih oleh kenderaan-kenderaan berenjin.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.