Misteri Gua Kelam 2

Misteri kereta api mini di Gua Kelam 2 yang ditutup masih menjadi tanda tanya. Ada pihak yang mengatakan ditutupnya Gua Kelam 2 ini kerana gangguan-ganguan mistik yang terjadi. Memang tidak dimungkiri terdapat pelombong-pelombong bijih timah yang terkorban di sini suatu masa dulu.

Namun, pihak Taman Negeri ini mengatakan, penutupan ini adalah kerana kereta api yang rosak dan dalam proses pembaikan. Mungkin masih ramai pengunjung luar belum tahu yang sebenarnya terdapat Gua Kelam yang ke 2. Sebenarnya posisi gua tersebut tidak jauh dari Gua Kelam 1.

Gua Kelam 2

Gua Kelam merupakan gua batu kapur yang terletak di banjaran Nakawan di kawasan Kaki Bukit, kira-kira 33km dari Kangar, Perlis. Gua Kelam adalah satu tempat perlombongan timah pada suatu masa dulu. Nama gua ni berasal dari kegelapan (kelam) dalam gua itu sendiri yang menyebabkan pelombong-pelombong dulu terpaksa menggunakan lampu karbid untuk menerangi laluan dalam gua sepanjang menjalankan aktiviti perlombongan.

Gua Kelam 1

Kawasan Gua Kelam yang seluas 2000 hektar ini telah diwartakan sebahagian daripada Taman Negeri Perlis pada 3 Julai 2008.Gua Kelam 1 merupakan laluan yang menghubungkan Kaki Bukit ke Lembah Wan Tangga, sebuah lembah di hujung bertentangan Gua Kelam. Pada tahun 1935, seorang warga Inggeris mendapati laluan air yang terdapat di dalam gua boleh digunakan untuk memindahkan bijih besi dari lombong yang terletak berdekatan laluan masuk anak sungai melalui gua bawah tanah ke Kaki Bukit.

Batu bertingkat unik yang terbentuk secara semulajadi

Kini, penduduk tempatan dan pelancong boleh memasuki Gua Kelam 1 melalui laluan yang diperbuat daripada kayu sepanjang 370m. Laluan yang berada di atas aliran sungai gua ini disinari cahaya lampu dan di sepanjang perjalanan, anda masih dapat menemui tapak aktiviti perpindahan bijih besi di dalam gua.

Laluan berkayu disinari cahaya lampu

Selain itu pengunjung juga dapat melihat keunikan pembentukan stalaktit dan stalagmit yang berusia jutaan tahun. Di hujung laluan ini, terdapat sebuah lanskap taman yang cantik iaitu “Secret Garden”. Sebelum ini terdapat juga taman rusa, tetapi sekarang tiada lagi, mungkin kerana faktor biaya pengurusan rusa yang semakin meningkat.

Gua Kelam 2 yang berada tidak jauh dari pintu masuk Gua Kelam 1 merupakan tapak lombong bijih timah yang lebih luas. Laluan sebenar Gua Kelam 2 ini kira-kira 2km. Laluan perlombongan Gua Kelam 2 ini hanya dapat dilawati dengan berjalan kaki. Khidmat pemandu pelancong untuk menelusuri gua ini boleh didapatkan dengan bantuan Pegawai Taman Negeri Perlis disitu. Sebelum ini Jabatan Perhutanan telah membina rel kereta api yang dapat membawa 20 orang pengunjung melalui gua sepanjang 400m. Namun kereta api mini ini masih dalam proses pembaikan.

Kereta api mini yang rosak dalam proses pembaikan

Para pelombong dulu kebanyakan terdiri daripada pelombong berbangsa Cina. Menurut salah seorang bekas pelombong,kebiasaannya pelombong akan berada di dalam gua selama sebulan. Mereka makan, minum dan tidur di dalam gua yang gelap itu dan beberapa hari sahaja dibenarkan keluar untuk bersama keluarga.
Ini kerana sesetengah kawasan perlombongan terletak jauh ke dalam gua yang memerlukan masa perjalanan masuk dan keluar sehingga lima atau enam jam. Mereka terpaksa menempuh lubang bekas lombong, meniti kayu dan menyeberang sungai. Disebabkan kesukaran itu, banyak pekerja memutuskan untuk tinggal sahaja di dalam gua itu.

Ruang Gua Kelam 2 yang luas

Kehidupan manusia pelombong itu juga tidak ubah seperti kelawar yang menghuni gua yang gelap tanpa cahaya matahari. Mereka menggunakan generator untuk menyalakan lampu, namun bagi kawasan yang lebih jauh ke dalam, mereka memakai lampu karbaid. Wanita pelombong melakukan tugas ringan seperti memasak dan mendulang bijih. Manakala kaum lelaki membuat kerja berat seperti mengangkat, mengetuk atau memecahkan batu dan membina landasan troli.

Diantara peralatan perlombongan yang dapat ditemui

Dalam laluan Gua Kelam 2 ini, kita boleh melihat sisa-sisa peninggalan aktiviti melombong pada masa dahulu seperti tuil, kawasan mendulang, tempat tidur dan puing-puing kayu. Terdapat juga tulisan-tulisan bebahasa Mandarin yang ditulis pelombong-pelombong yang bermaksud “hal yang baik tidak selalu berlaku”, mungkin mengisahkan kisah cinta yang tidak kesampaian, atau pesanan untuk keluarga yang ditinggalkan.

Dianggarkan lebih 80 orang pelombong bijih timah telah terkorban ketika melakukan perlombongan bahan mineral berkenaan antara tahun 1930-an sehingga penghujung 1970-an. Pelombong menerima upah sekitar RM1.70 sehari bagi lapan jam bekerja namun segala keperluan makanan dan minuman dibekalkan oleh majikan. Aktiviti perlombongan di Gua Kelam ini bermula dari tahun 1930-an dan berakhir pada 1970-an kerana kekurangan hasil bijih timah yang dilombong.

Sekarang kawasan Gua Kelam menjadi tumpuan keluarga untuk berekreasi. Air sungai yang dingin dan segar dan kedalaman sungai yang tidak terlalu dalam sesuai untuk kanak-kanak bermandi-manda. Bagi yang meminati aktiviti lasak, sangat berbaloi untuk menelusuri gua yang bersejarah ini. Selain dari mengetahui sejarah jerih payah orang terdahulu, kita juga dapat melihat keindahan ciptaan-Nya yang unik dan mengagumkan. Subhanallah. Semoga kereta api mini segara diperbaiki dan dapat menarik lebih ramai pengunjung.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.