Pahlawan Kuala Perlis : Tok Perlis

Sejarah negeri Perlis juga tidak lekang dari peristiwa perperangan dan perebutan kuasa malah negeri Perlis juga mempunyai kawasan strategik yang menjadi rebutan iaitu Kuala Perlis yang menjadi laluan air utama untuk ke Ligor, Siam.

kola dulu1

Terdapat sebuah Kota di kawasan hilir Kuala Perlis dahulunya dipanggil Kota Keran. Kota Keran ini merupakan Pelabuhan Pungutan Cukai bagi kapal-kapal atau perahu yang ingin menjual barang ke negeri Ligor dan begitu juga sebaliknya. Jadi peranannya pada masa itu Kota Keran menjadi salah satu sumber utama ekonomi negeri Perlis.

Kota pelabuhan ini dikatakan wujud sekitar lewat tahun 1500 masihi dan beroperasi sehingga tahun 1614 masihi. Berakhirnya peranan Kota Keran sebagai pusat pungutan cukai pelabuhan adalah disebabkan oleh serangan Portugis yang diketuai oleh Diego De Mendosa ke atas Kuala Perlis. Beliau juga orang yang mengetuai serangan terhadap Kuala Kedah dalam usaha mereka menakluk perairan negeri Kedah serta Selat Melaka.

kola dulu2

Pada saat kegemilangan Kota Keran, terdapat seorang pembesar bergelar Dato’ Syahbandar Kuala Perlis yang digelar TOK PERLIS yang menjaga Kota Keran dan menjadi wakil Sultan untuk mengutip cukai di Sungai Perlis. Pada masa itu, semua barang dagangan yang akan dibawa ke Ligor dengan gajah mesti dibayar cukai kepada Tok Perlis.

gajah barang

Pada masa ini Perlis masih menjadi jajahan takluk Kedah dan pemerintah pada masa itu berkemungkinan adalah Sultan Muzaffar Shah II ibni al-Marhum Sultan Mahmud Shah (1547 – 1602 masihi) dan setelah baginda diperintah oleh Sultan Sulaiman Shah II ibni al-Marhum Sultan Muzaffar Shah (1602 – 1626 masihi) yang kemudiannya ditawan oleh Aceh.

kola dulu5

Kuala Perlis pada mulanya adalah merupakan sebuah perkampungan nelayan yang terletak di muara Sungai Perlis. Muara Sungai Perlis berada di pintu masuk Selat Melaka yang menjadi laluan utama pedagang dan saudagar dari India, Parsi dan Portugis yang membawa pelbagai jenis barang dagangan.

kola dulu6

Oleh kerana posisinya yang strategik, muara ini turut menjadi persinggahan kapal-kapal pedagang yang melewati Selat Melaka pada sekitar kurun ke-15. Kawasan muara ini lama-kelamaan menjadi maju dan semakin pesat berkembang dan akhirnya menjadi sebuah pelabuhan perdagangan yang turut bersaing dengan pelabuhan-pelabuhan lain seperti di Kuala Muda, Kuala Merbok dan Kuala Kedah. Di muara yang menjadi pelabuahan ini akhirnya terbinalah Kota Kuala Perlis, manakala di hilir Sungai Perlis dibina Kota Keran.

kola dulu8

Sebuah kota sebagai pusat pemerintahan pula telah didirikan di Kuala Perlis pada masa pemerintahan Sultan Kedah ke-15 iaitu Sultan Dhiauddin Mukarram Shah 1 yang memerintah antara tahun 1661 hingga 1687. Kota yang diberi nama Kota Kayang ini dibina di kawasan yang dikelilingi bukit-bukit iaitu Bukit Papan, Bukit Kubu, Bukit Tok Poh, Bukit Lambung Panah, Bukit Nasi Sebungkus, Bukit Besi Hangit, Bukit Lagi dan Gunung Medan. Sultan Dhiauddin mangkat pada 1688 dan dimakamkan di Kota Kayang iaitu di lokasi Muzium Kota Kayang sekarang.

Sekitar tahun 1614, Kota Pulau Ketam yang terletak berdekatan Kuala Perlis telah ditawan dan dibakar oleh penjajah Portugis.Tok Perlis adalah antara panglima yang berjuang mempertahankan Kota Pulau Ketam apabila terjadinya serangan oleh Portugis.

portugis serang

Beliau berjuang agar Kuala Perlis tidak dirampas oleh Portugis. Namun akhirnya beliau dan beberapa panglima lain gugur syahid di medan pertempuran. Jenazahnya beserta panglima lain dibawa mudik ke Kota Keran dan dikembumikan ditebing Sungai Perlis, di tempat beliau berkhidmat sebelum ini iaitu kawasan Kota Keran.

makam tok perlis

Makam Tok Perlis sekarang berada dalam kawasan Kampung Keran, Seriab yang berada kira-kira 3km dari Kangar. Belakang kawasan makam ini terdapat sungai kecil yang dipercayai sebelum industri pertanian yang pesat pada kurun ke 19 sungai ini mungkin sangat luas yang kerana menjadi laluan kapal dagang dan perahu yang banyak sehingga boleh mudik sehingga ke Ligor, Siam.

kola dulu9

Makam di Kampung Kota Keran, Panggau ini menjadi salah satu dari sisa-sisa bukti kewujudan Kota Keran ini. Dalam kawasan makam ini juga terdapat beberapa nisan lama dari batu sungai yang dikatakan seusia dengan makam Tok Perlis ini.Begitulah masyhurnya pelabuhan di Kuala Perlis ini. Sememangnya para Sultan dan pemimpin kita dahulu sangat bijak dalam mengurus politik dan ekonomi sehingga menjadi rebutan para penjajah yang iri dengan kehebatan sebuah Tamadun Islam di Alam Melayu.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.