Pangkalan Tebing Tinggi Yang Dilupakan

Tebing Tinggi adalah satu kawasan yang terletak di Bintong, iaitu lebih kurang 4 km dari bandar Kangar. Jika dilihat keadaan Tebing Tinggi sekarang mungkin kita tidak menyangkakan bahawa kawasan ini merupakan satu kawasan yang memainkan peranan yang sangat penting dalam urusan perdagangan di Negeri Perlis suatu ketika dahulu.

tebing sign1

Pada zaman tersebut belum terbina sebarang jalan perhubungan yang baik untuk menghubungkan bandar Kangar dengan Kuala Perlis. Oleh sebab itu, perhubungan yang paling sering digunakan antara Pekan Kuala Perlis dengan ibu negeri, Kangar adalah melewati Sungai Perlis. Sungai Perlis yang bermula dari muara di Kuala Perlis hingga masuk ke dalam bandar Kangar suatu ketika dahulu adalah merupakan sungai yang luas dan dalam, tidak seperti yang terlihat sekarang.

pelabuhan dulu

Oleh kerana timbunan lumpur yang semakin banyak, ianya menjadi cetek sekarang. Rupa bentuk sungai itu juga sekarang sudah berbeza daripada rupa bentuk sungai yang asal kerana telah banyak dilakukan kerja-kerja membetulkan arah laluannya untuk memudahkan aliran air dari kawasan hulu ke muara semasa berlaku musim hujan untuk mencegah terjadinya banjir.

sungai sekarang

Kerja-kerja pengubahsuaian ini dilakukan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bermula dari dalam bandar Kangar hingga ke kawasan Tebing Tinggi sahaja, tetapi bermula dari Tebing Tinggi hingga ke muara Kuala Perlis, keadaannya sungai masih seperti yang asal dan tidak banyak berubah.

kerja ubah suai

Kawasan Tebing Tinggi suatu ketika dahulu terkenal dengan panggilan Pangkalan Kapal. Pangkalan merupakan suatu tempat kawasan pendaratan bot atau tongkang besar, tetapi agak kecil jika dibandingkan dengan pelabuhan. Menurut cerita oleh orang veteran tempatan, peranan Pangkalan Kapal Tebing Tinggi sebagai sebuah pangkalan telah bermula sejak tahun 1700-an dahulu lagi, ketika Negeri Perlis masih lagi berada dalam Kerajaan Negeri Kedah.

tebing sign2

Kira-kira 2 km dari kawasan tersebut, terdapat kawasan yang dulu menjadi Istana alMarhum Kayang, tempat bersemayam wakil Sultan Kedah yang diminta menjaga Negeri Perlis dan Wilayah Satun (Setul) di selatan Thailand yang ketika itu masih berada di bawah pentadbiran Sultan Kedah. Kini di kawasan tersebut telah di bina sebuah muzium iaitu Muzium Kota Kayang.

pelabuhan dulu1

Oleh kerana posisi istana di situ, rombongan Di Raja dari Kedah ke Istana al-Marhum Kayang biasanya menaiki perahu-perahu besar akan mudik di Sungai Perlis untuk singgah di alMarhum Kayang. Bagi mereka yang mempunyai urusan di bandar Kangar, mereka akan meneruskan perjalanan hingga ke Tebing Tinggi dan kemudian akan menaiki kereta kuda yang membawa mereka ke bandar Kangar.

Pangkalan Kapal Tebing Tinggi memainkan peranan yang sangat penting sebagai sebuah pangkalan semasa pemerintahan AlMarhum Raja Syed Safi, selepas tahun 1843, apabila Negeri Perlis sudah berpisah daripada pemerintahan negeri Kedah. Selari dengan perkembangannya sebagai pangkalan dagangan yang penting, pihak pemerintah British di Malaya ketika itu telah membuat sebatang jalan sepanjang kira-kira 4.8 kilometer dari bandar Kangar ke Tebing Tinggi.

Raja Syed Safi

Pada mulanya ia hanya sebatang jalan tanah merah seperti laluan lorong melalui kawasan hutan, namun kemudian ditaburkan batu kasaran dan ditarkan, hinggalah menjadi lebih sempurna seperti yang kita lihat sekarang yang dikenali sebagai Jalan Raja Syed Saffi. Jalan ini merupakan salah satu jalan tertua di Perlis. Kenderaan utama yang menggunakan jalan tersebut pada masa itu ialah kereta kepunyaan peraih-peraih ikan yang datang dari Kangar untuk mengangkut ikan yang dibawa oleh tongkang-tongkang besar dari Kuala Perlis atau Kuala Kedah. Ikan itu kemudian dibawa untuk dijual ke bandar Kangar di pasar besar Kangar iaitu lokasi tapak bangunan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) sekarang.

peta

Selain membawa ikan, bot dan tongkang-tongkang dagangan yang berlabuh juga membawa rempah, cabai dan barang-barang keperluan dapur lain dari Pulau Pinang dan Satun untuk dijual di Perlis dan semasa pulang, mereka akan mengambil pula hasil-hasil dagangan dari Perlis untuk dibawa jual ke Pulau Pinang. Hasil dagangan utama Perlis pada masa itu ialah padi yang merupakan salah satu negeri pembekal beras utama untuk keperluan negara.

sawah

Selain padi, Perlis juga mengeluarkan bijih timah yang dilombong di kawasan lombong bukit di Kaki Bukit. Oleh kerana itu, sudah pasti kawasan Pangkalan Kapal Tebing Tinggi menjadi satu kawasan pangkalan yang begitu sibuk ketika itu bukan sahaja menjadi tempat pendaratan bot-bot dan tongkang-tongkang dagangan malah bot-bot penumpang. Saudagar-saudagar asing yang datang di Pulau Pinang atau di Kedah, sering menaiki kapal lalu mendarat di muara Sungai Perlis di Kuala Perlis sebelum menaiki bot ke Pangkalan Kapal Tebing Tinggi untuk ke bandar Kangar kerana ingin melihat keindahan Negeri Perlis.

pemandangan

Mimbar khutbah di Masjid Negeri Arau sekarang, yang pernah diletakkan di Masjid Lama Arau juga dibawa dari , tempat ia dibuat iaitu Pulau Pinang melalui Pangkalan Tebing Tinggi dan kemudian ditarik dengan kereta kuda ke Arau. Tidak ketinggalan juga ramai rakyat Satun yang mempunyai saudara mereka di Perlis datang menggunakan bot penumpang melalui pesisiran pantai kemudian masuk ke muara Sungai Perlis dan terus berlabuh di Tebing Tinggi.

mimbar

Antara orang-orang Satun itu terdapat juga anak-anak gadis yang turut datang menziarahi saudara mereka di sini. Maka dengan itu, dikatakan ramailah anak-anak pemuda tempatan menunggu di situ dengan niat untuk melihat anak-anak gadis Satun yang datang bersama keluarga mereka. Gadis- gadis Satun dikatakan sangat cantik dan sangat beradap sesuai adat kesopanan Melayu sejati. Ramai juga yang bertemu jodoh dengan gadis- gadis Satun tersebut.

gadis satun

Namun terdapat juga pemuda-pemuda yang gagal berkahwin dengan seseorang gadis Satun yang datang ke Perlis, mungkin kerana tiada jodoh. Kerana terlampau melayan hati yang resah dan kecewa, terciptalah sebuah pantun kedukaan kerana hati yang kecewa tersebut. Pantun itu berbunyi:

Tebing Tinggi Pangkalan Kapai (kapal),
Tempat berkumpul peraih ikan,
Kalau hajat hati tak sampai,
Biar aku mati tak makan.

Pangkalan Tebing Tinggi sangat popular ketika itu, pada tahun 1952, Syarikat Perfileman Cathay Keris dari Singapura telah menjadikan tempat ini sebagai salah satu tempat penggambaran filem “Buluh Perindu”. Filem yang merupakan filem warna pertama keluaran syarikat tersebut telah diarahkan oleh B.S. Rajhan sementara pelakon utamanya adalah Sharif Medan manakala heroinnya pula ialah Seniwati Rusini. Mereka berada di situ selama kira-kira sebulan. Kawasan berkenaan dipilih kerana terdapat banyak terdapat buaya terdampar di sepanjang kawasan tebing sungai, menjadikan ia lebih sesuai dengan babak cerita yang hendak dipaparkan dalam filem berkenaan.

buloh perindu

Kini, nama Pangkalan Kapal sudah beransur hilang. Tempat tersebut hanya dipanggil Tebing Tinggi oleh generasi muda sekarang. Hanya di kalangan orang tua tempatan sahaja yang masih menyebutnya Pangkalan Kapal. Kawasan ini sudah semakin pesat membangun sekarang. Jalan yang lebih baik telah dibina di kawasan itu sehingga dapat dilalui oleh kenderaan berat.

jambatan

Sebuah jambatan juga telah dibina menyeberangi Sungai Perlis dari Tebing Tinggi dalam kawasan Bintong ke Tok Kuning dalam kawasan Kayang. Pokok-pokok nipah yang dahulunya banyak terdapat di situ semakin pupus akibat arus pembangunan. Semoga disamping pembangunan yang dapat memberikan keselesaan pada rakyat negeri Perlis hari ini, tidak menghilangkan kisah-kisah dalam ingatan kita.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.