Penjajahan Jepun Di Perlis

Kejayaan Tentera Udara Jepun menyerang Pearl Harbour pada 8 Disember 1941 telah membawa kepada paluan genderang perang antara Tentera Berikat dan Jepun. Namun, pada awal peperangan tersebut masyarakat Negeri Perlis secara amnya pada ketika itu masih belum merasakan apa-apa kesan yang mendalam kerana didapati pejabat, kedai dan sekolah masih beroperasi pada hari tersebut.

pearl habour

Bagaimanapun, pada pagi 9 Disember 1941, Tentera British telah meletupkan jambatan yang menghubungkan Jalan Besar dengan Jalan Raja Syed Alwi bagi menghalang kemaraan Tentera Jepun. Premis-premis dan pejabat kerajaan mulai ditutup manakala ketua–ketua jabatan mulai mencari tempat perlindungan yang selamat. Pasukan tentera yang terdiri daripada Rejimen Punjab yang mengawal di kawasan Mata Ayer telah diarahkan berundur meninggalkan kem mereka menyebabkan pertahanan menjadi lumpuh.

jepun masuk

Tentera Jepun yang berjalan kaki diketuai oleh Captain E. Hirota mula memasuki negeri Perlis melalui Padang Besar pada 12 Disember 1941. Peristiwa kemasukan Jepun ini telah menimbulkan pelbagai reaksi kepada penduduk setempat. Terdapat diantara penduduk yang berasa bimbang, hairan dan penasaran ingin melihat sendiri bala tentera Jepun dari dekat kerana mereka masih belum mengetahui dengan pasti situasi yang sebenarnya berlaku. Penduduk kampung-kampung khususnya orang Melayu berdiri di tepi jalan untuk meelihat perbarisan masuk Tentera Jepun ke Perlis. Kebanyakkan dari mereka merasa sungguh seronok dan gembira kerana merasakan sudah bebas dari cengkaman British ketika itu.

jepun jalan

Tentera Jepun masuk dengan berjalan kaki dan sambil berjalan tentera-tentera ini akan mengambil apa sahaja kenderaan kepunyaan penduduk tempatan dengan kejam. Terdapat juga beberapa Tentera Jepun Jepun menarik paksa beberapa pemuda kampung dan disuruh membawa peralatan-peralatan Tentera Jepun. Tentera Jepun yang berarak masuk dari Perlis adalah mereka yang telah bertempur dengan Tentera British di Jitra Line.

jepun basikal

Kemasukan tentera Jepun ke Tanah Melayu melalui Perlis bukan lah merupakan penjajahan yang membabi buta. Persiapan yang sangat rapi telah dibuat sehinggakan rakyat Perlis dan British sendiri tidak menyedari kemasukan agen-agen perisik mereka. Sebenarnya, sebelum Pearl Habour diserang, Agensi Risik Jepun telah membuka 3 buah Kedai Kain Baju dn Runcit selama 3 tahun di Perlis. Pekedai ini menyamar sebagai penduduk Cina dan mejual barang dgn harga yang murah bagi “mengambil hati” penduduk tempatan.

jepun basikal 3

Justeru itu kemasukan awal tentera Jepun ini telah disambut dengan gilang gemilang yang kononnya digelar “pembebas Tanah Melayu” dari cengkaman Britrish. Askar Jepun yang masuk dari Padang Besar menelusuri jalan keretapi ke Stesen Keretapi Bukit Keteri. Mereka masih belum bertempur kerana terdapat anak-anak Melayu diantara mereka yang di paksa membawa peralatan ketenteraan sehingga ke kawasan Tanah Merah, Jitra.

jepun basikal 2

Apabila Semenanjung Tanah Melayu termasuk Singapura telah jatuh ke tangan tentera Jepun, keadaan menjadi tenang sedikit kerana tiada lagi peperangan di Semenanjung. Pentadbiran negeri kembali. Pegawai-pegawai kerajaan termasuk juga guru-guru dipanggil balik dan bertugas seperti biasa. Namun sebilangan kakitangan kerajaan telah meninggalkan jawatan mereka, iaitu termasuk guru-guru dan memilih untuk memulakan perniagaan kerana pendapatan daripada gaji yang tidak mencukupi. Terdapat juga guru yang menjalankan perniagaan pada sebelah petang selepas bertugas pada sebelah pagi.

jepun basikal4

Persekolahan Zaman Jepun

Sekolah-sekolah kembali berfungsi seperti biasa iaitu seperti sebelum perang meletus. Cuma yang berbeza ialah kandungan sukatan mata pelajarannya. Fakta-fakta yang mengagung-agungkan orang putih digantikan dengan fakta-fakta mengagungkan orang Jepun. Bahasa Jepun adalah mata pelajaran yang amat diutamakan selain Senaman dan nyanyian.

Semangat “Nippon Syeisyin” disemaikan dimana sahaja terdapat peluang kerana dikatakan bahawa dengan semangat inilah punca kemajuan bangsa Jepun. Mereka katakan dengan semangat ini bangsa Jepun rajin dan kuat bekerja, tidak takut mati, rela berkorban nyawa kerana taat setia kepada Maharajanya, Maharaja Tennoheka. Bangsa Jepun menganggap Maharajanya sebagai Tuhan mereka. Semangat ini disemaikan kepada penduduk tempatan terutama kanak-kanak di sekolah dan belia-belia.

duit pokok pisang

Belia-belia dihantar ke ‘Korincho‘ atau maktab untuk berlatih membina semangat. Mereka dilatih ketahanan fizikal dan mental untuk disebarkan kepada orang-orang tempatan. Tidak dimungkiri, peresapan semangat ini sedikit sebanyak telah mengubah sikap orang Melayu daripada negatif ke positif dan menjadikan rakyat berpandangan luas sehingga mungkin menjadi salah satu faktor kita telah melawan Malayan Union yang telah dikemukakan oleh Kerajaan British.

Kerajaan Jepun pada masa itu merancang hendak menyatukan negara-negara yang ditaklukinya menjadi sebuah negara gergasi yang dinamakan Asia Timur Raya. Maka, secara halus, melalui bimbingan budaya seperti ini memudahkan rancangan untuk mencapai maksud kerajaan Jepun itu.

peta invasi jepun

Guru-guru dari setiap sekolah diwajibkan datang ke Kangar (Sekolah Melayu Kangar) untuk mempelajari bahasa Jepun beberapa hari dalam seminggu supaya dapat mengajarkannya kepada kanak-kanak dan guru-guru lain di sekolah. Selain itu guru-guru dilatih cara senaman untuk diajarkan di sekolah-sekolah. Senaman cara Jepun ini ialah senaman jenis mudah dan ringan yang dilatihkan kepada kanak-kanak cara beramai-ramai.

Bagi mengambil hati rakyat, setahun sekali sekolah diarahkan untuk mengambil bahagian bersenam beramai-ramai di Kangar, sebagai satu hiburan pertunjukan yang menarik. Padang Bandaran telah menjadi tempat persembahan pelbagai jenis kebudayaan Melayu negeri ini pada waktu itu untuk melalaikan rakyat tempatan dari memikirkan cara menggulingkan tentera Jepun.

ajar bahasa jepun

Kanak-kanak adalah sasaran mudah bagi Jepun untuk menanamkan doktrin ajaran mereka. Banyak lagu nyanyian kanak-kanak telah diajarkan, bertemakan keindahan alam, bintang dan bulan serta semangat cintakan bangsanya. Antaranya ialah Lagu Ai Koku No Hana dan Lagu Ki Mi Gayo (iaitu Lagu Kebangsaan).

Tentera Jepun dianggap tidak menganuti sebarang agama. Mereka beragama kepada Maharaja dan menganggap Maharaja ialah Tuhan mereka. Mereka akan melakukan ritual hormat kepada Maharaja Jepun pada tiap-tiap pagi. Orang tempatan dianggap rakyat Maharaja Jepun, maka diwajibkan melakukan upacara ini. Tetapi Jepun tidak melarang rakyat tempatan beribadah mengikut agama masing-masing.

jepun kejam

Pemerintahan Jepun adalah berlandaskan undang–undang tentera tiada lagi penguatkuasaan undang-undang negeri. Melalui pendidikan cara tentera yang keras ini menjadikan masyarakat terdidik untuk menjadi kreatif untuk meneruskan hidup. Bahan buangan dikitar semula, contohnya membuat sarung botol daripada jerami. Penepuk api/ gobek api juga dicipta untuk menghasilkan api bagi menggantikan mancis. Keadaan ketika itu dikatakan aman kerana tiada pencuri penyamun.

Pendudukan Jepun di Negeri Perlis merupakan suatu tempoh masa yang amat memeritkan. Masyarakat ketika itu jarang dapat menikmati nasi dan di ganti dengan ubi kayu untuk menghilangkan lapar. Nasi juga hanya berlaukkan ikan bendang kerana ayam dan daging sukar diperolehi. Pakaian juga tidak berganti. Kekejaman Jepun juga tidak terhenti di situ, mereka juga turut memperkosa anak-anak gadis tempatan menyebabkan ramai antara mereka yang bersembunyi. Lantaran kemudahan rawatan yang amat terhad pada ketika itu, wabak taun menular dengan leluasa di Kuala Perlis yang telah meragut ramai nyawa.

jepun seksa

Pemerintah Jepun pada ketika itu ada juga menarik hati rakyat memberi sumbangan beras 3 kg setiap bulan untuk namun kaedah itu tidak cukup untuk beli jiwa penduduk kampung yang terseksa dengan kewujudan mereka. Masyarakat juga dilarang berkumpul beramai-ramai. Selain itu, maklumat dan berita juga telah ditapis oleh pihak tentera bahkan suratkhabar dan radio adalah dilarang hinggakan pernah suatu masa masyarakat Islam di negeri ini menjadi keliru mengenai tarikh hari raya.

serah pedang

jepun menyerah

Pendudukan Jepun telah berakhir apabila Hiroshima dibom oleh Tentera Berikat pada 14 Ogos 1945. Pengeboman tersebut telah mengakhiri episod pemerintahan tentera Jepun. Pasukan Tentera British tiba di Perlis pada bulan September 1945 mengambilalih pentadbiran Negeri Perlis.Sempena Ulang Tahun Kemerdekaan ke-60 ini, kita harus banyak bersyukur kerana hidup kini lebih mewah, sehingga kalau nak tukar baju sehari empat kali pun tiada masalah. Sama-samalah kita berdoa agar kemerdekaan yang kita kecapi sekarang ni kekal sampai bila-bila. InsyaAllah.

merdeka2

merdeka

Semoga rakyat sekarang lebih mentaati pemerintah yang ada kerana semua pemerintah mahukan yang terbaik untuk rakyat. Semoga tiada lagi demonstrasi yang dilakukan tanpa memikirkan kesannya. Jangan kerana terlalu ikutkan perasaan atau kita bakal hilang keamanan dan ketenteraman yang kita miliki saat ini.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.