Perlis Pernah Memberi Bunga Emas Kepada Inggeris?

Setelah tidak lagi menjadi jajahan takluk Negeri Kedah, walaupun telah menjadi sebuah negeri yang berdaulat dan berkerajaan sendiri, namun Negeri Perlis masih merupakan sebuah negeri di bawah naungan pertuanan Siam. Oleh kerana itu, Negeri Perlis dikehendaki mempersembahkan ufti bunga emas dan perak kepada Raja Besar Siam di Bangkok. Maka mulailah dihantar ufti bunga emas dan perak ke Bangkok semenjak tahun 1843 (1259 H). Ufti dihantar setiap 3 tahun sekali.

emas arau

Kadar tingkat dan ciri-ciri bunga emas ini yang diberi ini dipercayai berbeza mengikut berdasarkan keluasan dan kekayaan negeri-negeri dibawah naungan Siam itu. Bunga emas yang diberikan sebagai ufti dari Negeri Perlis mempunyai 3 tingkat manakala Kedah sebanyak 5 tingkat. Perbelanjaan untuk persembahan bunga emas dan perak ini sebenarnya diperolehi daripada penduduk-penduduk di dalam Negeri Perlis. Mereka dikehendaki membayar sejenis cukai kepala yang dipanggil ‘duit ripai’ yang dikutip tiap-tiap tahun oleh seorang ‘kweng’ atau ‘kwiang’ iaitu pegawai bertanggungjawab memungut cukai tersebut.

Bayaran ‘duit ripai’ sebanyak satu ringgit setahun dikenakan pada setiap seorang lelaki dan wanita yang berkahwin. Namun ‘duit ripai’ ini dikecualikan bagi mereka yang belum berkahwin dan pegawai-pegawai masjid. Bahkan ketua-ketua kampung serta pembesar-pembesar negeri juga dikecualikan membayar ‘duit ripai’. Begitulah nasib rakyat yang dikorbankan untuk kesenangan para pembesar bukan lagi cerita baru, ianya telah berlaku sejak dari dulu lagi sehingga kini.

emas kayang

Persembahan ufti bunga emas dan perak ini sebenarnya bukan bunga emas semata-mata. Ia adalah persembahan aneka kelengkapan yang terdiri dari sepohon bunga emas, sepohon bunga perak dan perkakas-perkakas periringan yang lain seperti berjenis-jenis senjata dan kain-kain yang semuanya dipersembahkan mengikut jenis-jenis dan kadar-kadar yang tertentu sebagaimana disyaratkan oleh pihak Raja Siam sendiri.

Berbagai peti-peti yang diperbuat daripada sejenis kayu dibuat untuk mengisi pohon-pohon bunga emas dan bunga perak serta segala perkakas periringan tersebut. Apabila telah sampai masa yang ditetapkan, perintah akan diberikan kepada Penghulu Bunga Emas, kerabat-kerabat diRaja dan para pembesar serta beberapa orang panglima untuk membawa persembahan tersebut ke Kota Bangkok. Dengan menaiki gajah, mereka bergerak dari Istana Arau sehingga ke Pelabuhan Singgora di selatan Negeri Siam. Di situ bunga emas ini akan diteliti oleh Raja Singgora dan pegawai-pegawainya sebelum dibenarkan dihantar ke Bangkok.

chulalongkorn

Rombongan dari Perlis ini kemudian membawa bunga emas dengan kapal laut dari Singgora ke Bangkok. Berbentuk bunga ini seakan-akan sebatang pohon bunga berdahan bertingkat-tingkat, diperbuat daripada emas dan perak yang bermutu. Kepingan emas dan perak yang panjangnya lebih kurang 2.5 cm, ditempa nipis seperti daun inai dijadikan sebagai daun pohon tersebut. Pohon ini berdahan empat dan menirus ke atas. Setiap dahan tersebut mempunyai tiga ranting yang diselitkan dengan seheIai daun di pangkalnya dan empat helai lagi diletakkan di setiap ranting. Kuntum-kuntum bunga yang tiap-tiap satunya berkelopak empat diletakkan di hujung ranting. Pada bahagian puncaknya biasa diletakkan lambang seekor burung merbuk.

emas kedah

Pohon tersebut mempunyai batang yang diperbuat daripada kayu cengal bersalut emas dan kepingan perak yang ditempa nipis. Pohon ini mempunyai ketinggian tidak kurang daripada 1.8 m, termasuk tapaknya. ‘Bunga emas’ mempunyai nilai yang berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain, bergantung pada kemewahan dan jumlah penduduk negerinya. Bunga emas dari Negeri Perlis dianggarkan bernilai RM 2000 manakala Negeri Kedah bemilai melebihi Rm 5000.
Negeri Perlis mula menghantar persembahan ‘bunga emas’ dan ‘bunga perak’ sejak daripada masa pemerintahan Raja Perlis yang pertama iaitu Raja Syed Hussin dan berakhir semasa awal pemerintahan Raja Syed Alwi. Negeri Perlis telah mempersembahkan ufti sebanyak 10 kali semasa pemerintahan Raja Syed Hussin, semasa Raja Syed Ahmad memerintah, ‘bunga emas’ dipersembahkan sebanyak 8 kali manakala pada pemerintahan Raja Syed Saffi sebanyak 3 kali. Raja Syed Alwi pula telah mempersembahkan ‘bunga emas’ hanya sekali sahaja ke Bangkok semasa pemerintahan iaitu dalam tahun 1906.

Itulah kali terakhir ‘bunga emas’ dihantar ke Bangkok. Jadi jumlah yang dihantar ke Bangkok ialah sebanyak 22 ‘bunga emas’ kesemuanya. Setelah itu, bunga emas dan perak kali kedua dihantar semasa pemerintahan Raja Syed Alwi ialah pada tahun 1909. Ia dihantar ke London melalui Singapura. lni merupakan kiriman terakhir dalam sejarah persembahan ‘bunga emas’ oleh Perlis.

jadual

Mungkin ramai pembaca orangperlis.com tertanya-tanya kenapa ‘bunga emas’ dipersembahkan oleh Perlis kepada London. Sebenarnya penghantaran bunga emas ke London ini adalah mengikut Perjanjian Bangkok (1909) antara Inggeris dan Siam. Hal ini tertera dalam perjanjian itu yang menyatakan “perpindahan kuasa, pertuanan, naungan, pentadbiran kawalan dan barangan apa pun berpindah dari kerajaan Siam ke Inggeris.”

Namun kini, rupa bentuk asal bunga emas ini sukar dilihat oleh rakyat negara ini kerana telah menjadi simpanan pihak Diraja Siam di Bangkok. Yang kita lihat sekarang hanya replikanya sahaja seperti yang dipamerkan di Muzium Kota Kayang (Kuala Perlis), Muzium Negara di Kuala Lumpur dan beberapa muzium lain di negara kita.

musium negara

Begitulah nasib rakyat pada masa dahulu yang harus patuh kepada arahan pemerintah walaupun persembahan bunga emas oleh rakyat Perlis (dari tahun 1843 hingga 1909) ini sebenarnya boleh dikatakan membebankan rakyat yang hidup sederhana. ‘Bunga emas’ menjadi tanda ‘berkasih-kasihan’ Perlis dan Siam kerana pada waktu itu Perlis memerlukan janji perlindungan dari Siam sekiranya Perlis diserang musuh (seperti ancaman Bugis dan Burma di Kedah yang berjiran). Apabila lnggeris campur tangan di negeri-negeri utara Semenanjung, Perlis telah dimasukkan di bawah lnggeris (Negeri Melayu Tidak Bersekutu) dan setelah merdeka pada 1957, Perlis turut dimasukkan dalam negara Persekutuan Tanah Melayu bersama 10 negeri yang lain.

rakyat kecil

Kisah persembahan ‘bunga emas’ oleh Perlis ke Negeri Siam sejak 1843 hingga 1906 menjadi igauan pedih rakyat negeri ini bila berhadapan dengan satu kuasa besar dan berjiran pula, seperti juga negeri-negeri lain di utara Semenanjung. Semoga kita bersyukur dengan keamanan yang kita kecapi sekarang.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.