Sang Penglipurlara : Pak Ku Shadat

Pak Ku Shadat adalah seorang seniman yang tidak asing lagi bagi penduduk di bahagian utara tanah air terutamanya Perlis dan Kedah. Beliau telah mengabdikan diri dalam bidang seni sebagai penglipurlara selama lebih 2 dekad. Lagu selokanya sangat popular dan sering dimainkan di majlis-majlis keramaian dan kenduri. Malah lagu beliau, Vespa Haji Samad, pernah menjadi intro drama yang popular di salah satu saluran tv dulu.

pakku5

Nama sebenar beliau adalah Ku Nafiah Ku Aman berasal dari Pering, Kedah, namun beliau pernah menetap di beberapa tempat di Negeri Perlis iaitu di Bonggor Kudung, Kampung Long Boh dan Kampung Kebun, Arau. Pak Ku Shadat yang merupakan anak ketiga daripada 10 beradik dan berasal dari keluarga pesawah dan hanya terkenal sebagai penglipur lara selepas beliau bersara daripada pasukan polis. Beliau mencuba nasib menjadi anggota polis kerana mengikut rakan-rakan sekampung ketika berumur 18 tahun. Mulai dari saat itu, beliau menjadikan kerjaya polis untuk memupuk jati diri dan semangat untuk berbakti kepada negara. Beliau pernah ditugaskan di beberapa balai polis di Kedah dan Perlis yang mana antaranya ialah Kangar dan Kodiang.

Pakku3

Setelah besara daripada pasukan polis, beliau menyambung tugas sebagai Auxiliary Constable (AC) selama tiga tahun dan kemudian setelah itu dalam Special Constable (SC) juga selama tiga tahun. Semasa berkhidmat dalam pasukan polis, beliau tidak pernah menunjukkan sebarang bakat berhibur dan menyanyi kerana ketika itu pekerjaan beliau terlalu sibuk hingga tiada masa untuk berhibur. Namun setelah bersara, lebih kurang pada tahun 1988, beliau mula bergiat serius dalam bidang diminatinya iaitu menyanyi dan terus mendapat tawaran merakam album bersama lima rakannya dengan syarikat Mutiara Records di Seremban, Negeri Sembilan.

album1

Album tersebut memuatkan 20 lagu rakyat yang menampilkan pelbagai rentak berunsur nasihat. Nama album tersebut ialah Gendang Seloka Rakyat dan kumpulan mereka dikenali sebagai Gendang Silat Peribumi, Antara lagu seloka yang popular yang dinyanyikan Pak Ku Shadat ialah Vespa Haji Samad, Proton Saga, Petani Moden dan Subsidi Baja.Selain hanya hiburan, lirik lagu-lagunya yang mengandungi kritikan sosial selain nasihat kepada orang ramai.

Menariknya, ketika umurnya semakin meningkat, beliau pernah secara sukarela menjadi peronda sekitar pekan-pekan sehari atau nat di Perlis dan Kedah untuk mengawal keselamatan para pengunjung daripada pelbagai kegiatan jenayah.
Beliau menggelarkan dirinya sebagai PPR iaitu singkatan dari Peronda Peragut Rantai. Dengan hanya berbekalkan sebatang cota, Pak Ku Shadat sejak telah berjaya memberkas individu-individu yang disyaki terlibat dengan kegiatan ragut dan curi di pekan sehari di Perlis. Beliau menerima RM300 setiap kes jenayah yang dilaporkan.

album2

Pak Ku Shadat telah menjelajah beberapa buah negara antaranya Jepun, Amerika Syarikat, Singapura, Thailand dan Indonesia selepas menjadi artis rakaman kerana mengikut rombongan persembahan anjuran Badan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Kedah. Beliau merupakan seorang seniman yang sangat berkebolehan dan rajin. Beberapa minggu sebelum persembahan di luar negara, beliau akan belajar bahasa negara itu dan sehingga akhirnya beliau dapat bertutur bahasa Inggeris, Jepun, Thai, Tamil, Cina dan Arab. Beliau malah menghafal beberapa lagu-lagu dari setiap bahasa tersebut.

Seniman rakyat ini malah pernah mengambil inisiatif sendiri untuk mempelajari bahasa Inggeris melalui kursus secara pos. Pak Ku Shadat pernah menerima upah antara RM50 dan RM100 untuk setiap kali persembahannya di majlis kenduri dan acara rasmi tertentu.Tidak hairanlah beliau juga sering bergurau dan membuat jenaka dalam bahasa Inggeris bagi memeriahkan lagi persembahan hiburannya itu.

pakku1

Namun di penghujung usia beliau, hanya suara Pak Ku Shadat dari albumnya yang kendengaran menceriakan suasana majlis tertentu sedangkan beliau terlantar sepi di rumah sewanya di Kampung Kebun, Arau bersama isterinya, Mek Ahmad. Beliau sepertinya akur dengan hari-hari terakhir kehidupannya dan menerima hakikat bahawa insan seni sepertinya tidak berupaya untuk hidup mewah di penghujung usia. Tiada lagi undangan untuk memeriahkan majlis-majlis kenduri.

Dari raut wajah warga emas ini jelas kelihatan kemuraman hidupnya yang terselindung di sebalik keramahannya.Beliau terpaksa bergantung hidup kepada simpati jiran. Di sebalik wajahnya yang ceria, sesekali Air matanya mengalir ketika menceritakan tentang kesengsaraan hidupnya.

pakku4

Kini semuanya tinggal kenangan. Tokoh penglipur lara yang terkenal di Perlis dan Kedah ini telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumah keluarganya di Padang Sera, Kedah pada 1 Disember 2008 kerana sakit tua. Allahyarham telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melele, Kedah.

berita tv9

Kisah Pak Ku Shadat merupakan salah satu kisah sedih yang biasa terjadi kepasa seniman-seniman tanah air kita. Semoga disamping seloka-seloka beliau yang nada berjenaka, kita dapat mengambil nasihat-nasihat yang terkandung di dalamnya. Kerajinan hidup dan sikap inisiatif beliau dalam bekarya dapat menjadi contoh tauladan kepada kita semua.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.