Sejarah Nama Jalan Di Bandar Kangar

Mungkin tidak ramai dikalangan pengunjung bahkan generasi muda Bandar Kangar yang mengetahui terdapat banyak jalan lama dalam bandar tersebut. Ada di antara jalan itu yang sudah tiada lagi dan hanya tinggal nama sahaja. Pada masa dahulu kebanyakan nama jalan diambil sempena wujudnya sesuatu yang menjadi landmark pada jalan berkenaan.
Antara jalan yang dimaksudkan ialah Jalan Penjara. Nama jalan ini diambil kerana pernah wujudnya sebuah penjara di tapak bangunan Jabatan Pendidikan Negeri sekarang. Jalan Penjara terletak antara Hotel Ban Cheong, Kangar dengan simpang tiga Jalan Sekolah Derma. Kini tiada lagi penjara di bandar Kangar kerana telah berpindah ke Guar Nangka dengan nama Pusat Koreksional Perlis.

jalan penjara

Selain daripada penjara, kebanyakan bangunan yang terdapat di kiri kanan jalan berkenaan pada masa dahulu ialah kuarters-kuarters kerajaan dan bangunan kedai apabila masuk ke dalam pekan. Kini sudah terdapat banyak bangunan baru di Jalan Penjara. Pejabat Tanah dan Galian Negeri, Bangunan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, bank, hotel, kompleks perniagaan, Pejabat Pos dan bangunan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis telah dibangunkan di sekitar Jalan Penjara selain bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Derma. Di hujung berhampiran Jalan Penjara merupakan tapak perhentian bas pada masa dahulu, namun terpaksa ditiadakan kerana terpaksa akur dengan arus pembangunan bandar Kangar yang semakin maju.

penjara lama

Jalan lama yang lain yang terdapat di bandar Kangar ialah Jalan Home Guard. Lokasi jalan tersebut terletak di antara Stadium Datuk Sheikh Ahmad dahulu dengan kompleks pejabat-pejabat kerajaan negeri. Jalan ini bermula di persimpangan Jalan Kolam dengan Persiaran Jubli Emas. Nama tersebut diambil sempena di kawasan itu suatu ketika dahulu terdapat bangunan pejabat Home Guard atau Pengawal Kampung Sukarela yang diwujudkan oleh penjajah British pada zaman darurat. Pada masa itu kawasan terbabit adalah kawasan kampung dan hutan yang terletak di pinggir pekan. Kini, di sekitar kawasan berkenaan telah dibangunkan. Dataran Kangar dan Kangar Waterfront telah dibina dipinggir jalan ini.

jalan home guard

Jalan Kelab Indera Kayangan juga adalah jalan lama yang berada di dalam Bandar Kangar. Letak jalan tersebut di antara bangunan pejabat Polis Trafik Kangar dengan Jalan Tun Abdul Razak. Nama jalan berkenaan difahamkan diambil dari nama sebuah bangunan yang dipanggil Kelab Indera Kayangan. Bangunan kelab tersebut telah dibina sekitar awal tahun 1960-an dan pernah memainkan peranan sebagai Pejabat Pendaftaran dan tempat kakitangan kerajaan menjalankan aktiviti sukan dan riadah. Tetapi bangunan kelab berkenaan sudah tiada lagi sekarang kerana tapaknya telah didirikan Bangunan Tun Haji Abdul Razak yang menempatkan pejabat Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Perlis sekarang. Nama jalan ini juga telah diganti dengan nama Jalan Indera Kayangan.

jalan indera kayangan

Berdekatan dengan Jalan Indera Kayangan, terdapat Jalan Berek. Jalan ini bermula dari hadapan Bangunan Kelab Hokkien hingga ke Jalan Penjara. Jalan ini mendapat nama Jalan Berek kerana satu ketika dahulu terdapat berek polis di situ. Bagaimanapun jalan itu sudah tiada lagi kerana telah dibina bangunan kedai di atas jalan berkenaan. Kini fungsi jalan ini sebagai penghubung Jalan Indera Kayangan dan Jalan Penjara diganti dengan Jalan Kangar.

jalan berek

Selain itu, antara jalan lama yang dapat dikesan di Bandar Kangar ialah Jalan Pegawai. Jalan ini terletak di antara Persiaran Jubli Emas dengan Jalan Sekolah Derma. Satu ketika dahulu jalan berkenaan hanya separuh sahaja bermula dari Persiaran Jubli Emas di hadapan Balai Bomba Kangar. Dulu belum ada jambatan yang dibina untuk menyeberangi sebatang sungai di situ, tetapi kini sebuah jambatan telah dibina di jalan tersebut yang menghubungkannya dengan Jalan Sekolah Derma. Kenapa jalan berkenaan diberi nama Jalan Pegawai sudah dapat diagak dari namanya. Sejak dahulu lagi di situ terdapat banyak kuarters yang menempatkan pegawai-pegawai kerajaan. Bangunan kuarters tersebut masih wujud hingga sekarang dengan menempatkan para pegawai kerajaan yang berkhidmat di negeri ini diantaranya adalah kuarters Jabatan Kerja Raya.

jalan pegawai

Semoga dengan sedikit info ini dapat merungkai kekeliruan mengenai nama-nama jalan di bandar Kangar terutama kepada generasi muda anak jati Negeri Perlis sekarang dan akan datang. Selain itu terdapat juga jalan yang sering dipanggil dengan nama yang berbeza daripada nama jalan yang sebenar seperti Jalan Kolam. Nak tahu tentang Jalan Kolam? Jom aca artikel orangperlis.com selanjutnya Di manakah ‘kolam’ di Jalan Kolam? .

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.