Sekolah Agama Pertama Di Negeri Perlis

Penubuhan Al-Madrasah Al-Alawiyah Addiniyah atau SMA AL-MAAD telah menjadi satu permulaan baru dalam sistem pendidikan sekolah beragama di Negeri Perlis. Sekolah ini terletak di Bandar Diraja Arau kira-kira sebelas kilometer daripada bandar Kangar, berdekatan dengan Masjid Negeri Arau. Hasil kesedaran pemimpin masyarakat Islam di Perlis pada awal tahun 1930-an, maka terlahirlah idea untuk mewujudkan sekolah ini. Sekolah ini dibina dari hasil wang kutipan zakat di Negeri Perlis. Sebelum pembinaannya, rakyat negeri perlis yang beragama Islam tidak mempunyai tempat khas untuk mempelajari agama dengan mendalam, melainkan belajar daripada guru-guru agama di kampung-kampung. Guru-guru agama kampung tersebut kebanyakkannya cuma mengajar mengenai hukum-hukum fiqah, tauhid dan membaca al-Quran.

Hasil didikan daripada guru-guru agama berkenaan, para pelajar hanya mampu menyiapkan diri mereka untuk bekalan ke akhirat. Tidak ada sebarang sijil dan seumpamanya yang diberikan sebagai bukti pernah mengikut pengajian dan boleh melayakkan mereka menjadi guru agama. Sebahagian besar guru-guru agama kampung ketika itu mengajar dan menitik beratkan orang-orang kampung untuk mengeluarkan zakat, terutama zakat padi kepada mereka. Tidak dinafikan terdapat guru agama yang ikhlas mengajar agama, namun, apabila datang sahaja musim menuai padi, secara tidak langsung merekalah yang menjadi kaya apabila menerima padi zakat berkunca-kunca.

Al alawiyah

Oleh kerana itu, beberapa orang pemimpin Islam tempatan mulai sedar tentang kelemahan sistem tersebut. Antara pemimpin yang dimaksudkan adalah Allahyarham Datuk Haji Wan Ahmad Wan Daud, Allahyarham Sheikh Abu Bakar dan Allahyarham Datuk Mat Hakim. Melalui buah fikiran mereka, mereka telah menyarankan sebuah Tabung Zakat dan Fitrah negeri diwujudkan. Setiap pemberian zakat dan fitrah oleh orang-orang Islam di Perlis mesti dibayar kepada tabung tersebut, bukan lagi kepada guru-guru agama di kampung-kampung, yang selama ini ada diantara mereka yang menggunakan pemberian zakat itu bagi kepentingan peribadi.

Datuk Wan Ahmad

Apabila wacana ini diutarakan, ada diantara guru-guru agama kampung yang bersetuju tentang pengubahsuaian kutipan zakat tersebut, namun terdapat juga antara mereka yang menentang, kerana memikirkan nanti mereka sudah tiada peluang lagi untuk membuat kutipan. Guru-guru agama yang menentang ini telah berkumpul di satu tempat di Utan Aji untuk menunjukkan sikap penentangan mereka. Oleh kerana beberapa orang di antara mereka enggan bersurai, mereka kemudiannya ditahan oleh pihak polis. Bagaimanapun, selepas itu barulah muncul kesedaran betapa besarnya faedah hasil penubuhan Tabung Zakat dan Fitrah Negeri tersebut. Dari wang terkumpul itu, dapat dibelanjakan untuk berbagai kepentingan umat Islam tempatan.

Pembinaan bangunan Al-Madrasah Al-Alawiyah Addiniyah Arau adalah contoh perbelanjaan paling berkesan hasil wang zakat tersebut. Bangunan itu masih wujud dan dapat dilihat hingga sekarang. Sekolah ini juga dikenali sebagai Sekolah Arab Alawiyah Arau. Ia didirikan pada tahun 1936, semasa Negeri Perlis diperintah oleh Almarhum Raja Syed Alwi. Tujuan penubuhannya adalah untuk memberi didikan agama Islam dan Bahasa Arab yang mendalam dan sistematik kepada masyarakat Islam tempatan.

maad1

Selain itu, ia juga membuka peluang seluas-luasnya kepada anak-anak Islam dari luar Perlis, dengan memperuntukan kuota sepuluh peratus dari jumlah pelajar. Pelajar-pelajar luar yang pernah menuntut di sini antaranya datang dari Negeri Sembilan, Perak, Seberang Perai dan daripada wilayah-wilayah di Selatan Thailand termasuk Setul dan Pattani.

Pada awal penubuhannya, sekolah tersebut ditempatkan di bangunan sementara yang disewa di sebuah rumah, Jalan Pauh, Arau. Kemudian, Penghulu Arau ketika itu telah membenarkan rumahnya di No. 2, Jalan Besar, Arau digunakan oleh Jabatan Zakat dan Fitrah Negeri untuk dijadikan sekolah tersebut. Selama proses pengajaran dan pembelajaran beroperasi di bangunan sementara, kerja-kerja membina bangunan sekolah yang baru giat dijalankan tidak jauh daripada Istana Arau.

Akhirnya pada tahun 1937 bangunan baru sekolah berkenaan siap dibina dan telah dirasmikan pembukaannya oleh Almarhum Raja Syed Alwi dan dinamakan dengan Al-Madrasah Al-Alawiyah Addiniyah Arau, sempena nama baginda Raja Syed Alwi. Allahyarham Sheikh Mahmud Mohd. Saman, bekas Mufti Negeri Perlis yang pertama menyandang tugas sebagai Guru Besar pertama semasa sekolah tersebut di bangunan sementara. Setelah bangunan kekal siap, dan para pelajar mulai berpindah ke situ, pihak Lembaga Zakat Negeri mengambil keputusan menggunakan khidmat seorang Guru Besar daripada Mesir bernama Ustaz Abdul Hamid Mustafa Assisi.

Raja Syed Saffi

Kumpulan pelajar pertama sekolah itu adalah seramai 74 orang sahaja. Mereka merupakan murid lepasan Darjah Enam dari Sekolah-sekolah Umum ketika itu. Semua pelajar yang diambil adalah lelaki sahaja. Pada peringkat permulaan, pelajar-pelajar itu belajar di Kelas Tahziri atau kelas Persediaan Iptidai selama empat tahun, kemudian mereka akan melanjutkan pembelajaran di Kelas Qismul Mualimin selama dua tahun, sebagai latihan untuk menjadi Guru Agama Islam. Semua pengajaran menggunakan perantaraan Bahasa Arab.

maad3

Pelajar-pelajar yang tamat pengajian peringkat Qismul Mualimin namun tidak menjadi Guru Agama, mereka akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar atau universiti-universiti lain di Mesir. Pihak Lembaga Zakat menetapkan syarat bahawa seseorang yang ingin menjadi Guru Besar di sekolah tersebut mestilah berkelulusan kursus mengenai perguruan di Mesir iaitu Kuliah Darul-Ulum.

al azhar

Namun sangat mendukacitakan, selepas seminggu meletus Peperangan Dunia Kedua dan Jepun mulai menakluki Tanah Melayu, Ustaz Abdul Hamid Mustafa Assisi kembali ke Mesir. Mulai dari saat itu, terputuslah hubungan dengan beliau. Pada tahun 1940, sekolah ini telah ditutup kerana dijadikan kem oleh tentera Jepun. Kemudian, pihak Lembaga Zakat Negeri telah melantik Allahyarham Ustaz Haji Salleh Osman sebagai Pemangku Guru Besar. Beliau juga merupakan seorang lepasan Darul-Ulum di Mesir. Ustaz Haji Salleh telah menyandang jawatan Pemangku Guru Besar sehingga sekolah ini benar-benar dibuka semula pada tahun 1951 apabila seorang lagi rakyat Mesir kemudiannya dibawa ke Perlis untuk menjadi Guru Besar di situ, iaitu Ustaz Abdul Haq Jaazar. Beliau telah menjadi Guru Besar selama tiga tahun.

Selepas Ustaz Abdul Haq kembali ke Mesir, jawatan Guru Besar disandang pula oleh Ustaz Thaqiyuddin Qandil, juga merupakan seorang rakyat Mesir selama empat tahun. Setelah itu posisi beliau diganti oleh Ustaz Abdul Bhar Attul Allah, juga selama empat tahun. Selepas beliau kembali ke Mesir pada tahun 1960, Al-Madrasah Al-Alawiyah Addiniyah Arau tidak lagi mengambil Guru Besar daripada rakyat Mesir.

Syed Hassan

Seorang Pemangku Guru Besar telah diberikan kepada seorang anak tempatan yang juga berkelulusan dari Mesir iaitu Ustaz Syed Hassan Syed Muhammad hingga tahun 1964. Bermula tahun 1964, beliau kemudian dinaikkan pangkat dan dilantik sebagai anak Melayu pertama menjadi Guru Besar di situ. Ustaz Syed Hassan memegang jawatan Guru Besar di sekolah tersebut hingga tahun 1974, apabila beliau mengambil keputusan meletak jawatan dan memilih untuk bertanding mewakili Barisan Nasional dalam kawasan Parlimen Arau semasa pilihanraya umum diadakan.

Selepas itu, Encik Abdullah Kasir dilantik sebagai Pemangku Guru Besar hinggalah apabila pentadbiran sekolah berkenaan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan tahun 1977 untuk dijadikan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Alawiyah. Namun begitu, pihak Kementerian Pendidikan tidak boleh memiliki bangunan sekolah tersebut kerana ia merupakan milik atau harta zakat. Oleh kerana itu, bangunan itu kemudian diserahkan kembali kepada pihak Jabatan Zakat dan Fitrah Negeri, sementara Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Alawiyah dipindahkan ke satu tapak baru tidak jauh daripada sekolah berkenaan. Pada tahun 1996 nama sekolah ini sekali lagi telah ditukar kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Arau.

agama arau

Al-Madrasah Al-Alawiyah Addiniyah Arau telah dihidupkan semula oleh Yayasan Islam Negeri Perlis apabila yayasan itu ditubuhkan pada 1988. Pihak yayasan mengambil alih pentadbiran dan mengembalikan semula peranan asal sekolah tersebut dengan membuka kelas pengajian Bahasa Arab di sekolah itu. Sebuah bangunan baru tiga tingkat baru telah dibina. Kos keseluruhan yang dibelanjakan oleh pihak yayasan adalah sebanyak RM1.2 juta bagi membina bangunan baru, mengubahsuai bangunan lama termasuk asrama dan kantin serta dewan makan.

alumni maad

Sama seperti asal, madrasah itu turut memberi peluang belajar anak dari luar Perlis tetapi kuotannya telah ditambahkan menjadi 20 peratus untuk anak-anak dari luar Perlis dan 80 peratus untuk anak Perlis. Diantara pelajar dari luar Perlis yang datang belajar adalah termasuk dari Kedah, Melaka, Selangor Darul Ehsan dan Pahang Darul Makmur. Pada waktu itu guru-guru termasuk seorang Guru Besar sedang bertugas di situ dibayar gaji oleh Yayasan Islam Negeri Perlis. Apa yang diharapkan oleh kerajaan Negeri Perlis, dengan dihidupkan semula sekolah atau Al Madrasah tersebut, maka akan lahir kejayaan seperti yang dicapai pada mula kewujudannya dahulu iaitu lebih ramai bakat-bakat muda muncul dalam bidang agama di negeri ini. Pada tahun 2006, madrasah ini telah diambil alih oleh Kementerian Pelajaran Malaysia di bawah status Sekolah Agama Bantuan Kerajaan(SABK).

Ust Harun Hassan

Profesor Dr. Harun Din dan adiknya Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz adalah diantara bekas pelajar Al-Madrasah Al-Alawiyah Addiniyah Arau yang berjaya. Bekas pelajar lain yang Berjaya menjadi pensyarah universiti antaranya ialah Ustaz Ibrahim Yasin, Abdul Kadir lsmail, Ramli Ismail, Dr. Aziz Hanafi dan Ustaz Mahmud Abdul. Selain itu, terdapat ramai juga bekas pelajar madrasah ini yang menjadi Wakil Rakyat, samada Ahli Dewan Undangan Negeri atau pun Ahli Parlimen. Antara wakil-wakil rakyat tersebut termasuklah Ustaz Syed Hassan sendiri, Encik Ahmad Haji Osman, Haji Ahmad Said, Haji Shaari Jusoh, Encik Abu Bakar Haji Ahmad, Syed Ahmad Syed Alwi, Encik Khazim Abu Bakar, Syed Omar Syed Hussain, Encik Talib Haji Ali dan Datuk Haji Wan Ahmad Wan Abdullah.

ustaz nordin

Bekas mufti negeri, Haji Abdul Rahman Ismail juga yang merupakan bekas pelajar sulong madrasah ini, bekas Nazir Agama Angkatan Tentera Malaysia, Syed Sahil Syed Muhammad, bekas mubaligh Perlis, Ustaz Nordin Ismail dan pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Ismail Hamid serta Dr. Aziz Hanapi turut merupakan alumni Madrasah Al-Alawiyah Addiniyah ini.Semoga harapan kerajaan Negeri Perlis menubuhkan Al-Madrasah Al-Alawiyah Addiniyah Arau untuk melahirkan bakat muda dalam bidang agama di negeri ini akan berjaya dan berterusan sehingga selama-lamanya.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.