Sekolah Melayu Pertama Di Perlis

Pendidikan awal Melayu di Perlis bermula dengan sistem pondok atau madrasah pelajaran agama Islam secara bersendirian. Sukatan pelajarannya merangkumi pelajaran mengaji dan membaca Al-Quran dan mempelajari kaedah solat. Setelah kedatangan British, sistem pendidikan Barat telah diperkenalkan pada akhir abad ke-19. Walaupun pelajaran diberi secara percuma, namun tidak ramai anak-anak Melayu yang berminat dengannya kerana mereka tidak percaya kepada pentadbiran British.

Sungguhpun kurang sambutan, pentadbiran sekolah-sekolah Melayu tersebut tetap diteruskan juga oleh kerajaan Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu dengan cara memujuk. Ubat-ubat demam dengan kuinin diberikan secara percuma dan juga ditawarkan hadiah menarik kepada murid-murid yang kehadirannya memuaskan. Beberapa sekolah turut memberi bonus kepada guru-guru yang berjaya mencatatkan di dalam jadual kedatangan sebanyak 75% kehadiran muridnya.

Bagaimanapun segala pujuk rayunya tidak berkesan, kerana orang-orang Melayu pada mulanya tak makan pujuk. Oleh itu, Kerajaan British telah mengenakan paksaan kepada ibu-bapa supaya menghantar anak-anak mereka ke sekolah dengan memberi amaran bahawa ibu-bapa akan dihukum jika gagal menghantar anak-anak lelakinya yang berumur 6 tahun ke atas ke sekolah.

darja1

Setelah tertubuhnya Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, arahan ini semakin jelas dan berkesan kerana telah diluluskan beberapa Enakmen baru 1900-1923, yang mewajibkan kanak-kanak lelaki Melayu berumur 7 hingga 14 tahun untuk bersekolah. Kehadiran mereka ke sekolah harus sekurang-kurangnya setengah tahun, jika mereka tinggal dalam jarak kawasan 2 batu dari sekolah.

Denda akan diberikan kepada Ibu-bapa yang tidak mematuhi peraturan ini iaitu tidak lebih daripada $5.00 atau dipenjarakan tidak lebih daripada 14 hari. Enakmen-enakmen tersebut adalah berkuatkuasa di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Johor dan Kedah (termasuk Perlis yang pada masa itu masih di bawah pentadbiran Kedah). Dengan adanya enakmen-enakmen ini, pelajaran vernakular Melayu di kedua-dua Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat telah berjaya ditingkatkan dan ada kemajuan.

darjah2

Sekolah Melayu pertama yang ditubuhkan di Negeri Perlis telah dibina pada tahun 1888 dengan nama Sekolah Melayu Arau. Pada awalnya sekolah ini dikhaskan untuk anak-anak kerabat di Raja dan budak-budak istana sahaja . Sekolah ini dibina oleh pihak istana bagi kerabat diraja mendapat pendidikan awal. Tapak asal Sekolah Tengku Budriah ini ialah bertempat di Balai Pengaduan Arau.

budria2

Pada tahun 1906,sekolah ini telah dipindahkan ke bangunan JKR 192 seperti yang masih ada sekarang. Kemudian dua blok Sekolah Menengah Arau diserahkan kepada Sekolah Kebangsaan Arau pada tahun 1970. Nama sekolah ini telah ditukar mulai dari tarikh penyerahan tersebut menjadi Sekolah Tengku Budriah sempena nama DYMM Tuan Raja Perempuan Perlis. Sekolah ini ditubuhkan sebelum Penyata Rahman Talib diperkenalkan iaitu pada tahun 1961. DYMM TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL juga pernah bersekolah di sekolah ini.

budria1

Pada tahun 1984, satu blok bangunan tiga tingkat telah dibina dan pada tahun 1987 satu lagi blok bangunan telah dibina secara gotong royong. Kemudian beberapa blok tambahan turut dibina iaitu satu blok bangunan dua bilik darjah dibina pada tahun 1990, satu blok Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran (PPKIBP) dibina pada 1996, satu blok dua bilik darjah(sekarang Pra Sekolah) dibina pada 2001 dan pada 2002 satu makmal komputer dan dua blok bangunan empat tingkat telah dibina.

budriah4

Semua blok bangunan masih dikekalkan posisinya di lokasi sekarang. Pada tahun 2002 dengan kerjasama pihak istana, bangunan blok kayu pertama Sekolah Tengku Budriah telahpun dinaik taraf dimana kayu -kayu yang reput telah pun diganti dengan yang baru. Sekarang blok tersebut berfungsi sebagai Klinik Matematik,Kelas Pemulihan dan Kelas PPKIBP.

kronologi

Keunikan nama sekolah ini adalah ia dikenali sebagai Sekolah Tengku Budriah dimana sebutan BUDRIAH bukannya ‘budriah’ tetapi ‘Badriah’ berbeza dengan ejaannya. Sekolah ini juga tidak menggunakan perkataan Kebangsaan seperti sekolah-sekolah yang lain lazimnya.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.