Seni Tradisi Perlis : Beduan

Kesenian Beduan memang sangat popular suatu ketika dulu. Kenduri perkahwinan tidak sah atau kurang bererti jika tuan rumah yang mengadakan kenduri jika tidak mempersembahkan kesenian tersebut. Ahli-ahli Beduan yang memukul gendang yang kuat dan nyanyian yang nyaring (melaung-laung).

Nyayian itu merupakan isyarat atau pengecaman kepada para jemputan terutama sekali penduduk yang tinggal jauh di pedalaman untuk menuju ke rumah kenduri ketika itu. Kesenian ini menjadi hiburan utama kepada para tamu, ahli keluarga dan jiran tetangga yang bergotong-royong menyediakan kenduri perkahwinan itu. Permainan ini biasanya akan dipersembahkan sepanjang siang dan malam.

kumpulan beduan

Terdapat dua versi cerita mengenai asal-usul Beduan ini. Kisah yang pertama menyatakan seni beduan direka cipta oleh dua orang iaitu Tuk Bait dan Tuk Keret yang lari menyelamatkan diri bersama keluarga masing-masing sewaktu peperangan Siam kira-kira 200 tahun yang lalu. Mereka tinggal di atas puncak sebuah bukit yang bernama Tok Wang Gunung dan di sana mereka bekerja menanam padi. Oleh kerana selalu merasa kesepian tinggal di dalam hutan dan di atas puncak bukit itu maka kedua-duanya terfikir untuk mencipta sebuah permainan. Dengan menggunakan keratan batang kayu yang dipotong, mereka memukulnya sambil menyanyi dan melaung-laung dengan suara yang nyaring.

Kedua-dua keluarga tersebut pulang ke kampung masing-masing Setelah berakhir peperangan Siam dan mempersembahkan permainan itu. Kerana itulah dinamakan Beduan yang berasal daripada perkataan ‘berduaan’. Akhirnya permainan ini begitu digemari dan terbentuklah kumpulan-kumpulan Beduan di segenap kampung terutama sekali di utara negeri Perlis.

wang gunung

Versi kisah kedua pula mengatakan, kira-kira 200 tahun dahulu seorang pemotong kayu yang di panggil Tok Itam Kumbang telah menemukan dua orang pemburu yang tersesat dalam sebuah hutan di negeri ini. Kedua pemburu itu memukul banir (perdu pokok) tempat mereka berehat kerana keletihan dan kebetulan Tok Itam Kumbang yang terdengar nyanyian itu telah menemui mereka yang “berduaan” itu dan menunjukkan mereka jalan keluar. Tok Itam Kumbang tertarik dengan lagu yang dinyanyikan itu telah meminta mereka mengulanginya semula sehingga dia dapat menghafalnya dan kemudian beliau mencipta gendang untuk mengiringi nyanyian itu. Tidak dapat dipastikan kisah mana yang sahih tetapi dapat dikatakan dari kedua-dua versi ini seni Beduan dicipta oleh dari dua orang yang tinggal di dalam hutan.

Kebiasaanya, sebuah kumpulan Beduan terdiri daripada 8 orang yang memukul gendang sambil menyanyi dengan suara yang nyaring seperti melaung. Oleh kerana nyanyian secara melaung maka senikatanya sukar diikuti dan difahami oleh orang lain, cuma ahli-ahli beduan sahaja yang berjaya mengikuti dan memahami nyanyian mereka. Kenyataanya, nyanyian Beduan sebenarnya adalah berbalas-balas pantun.

Mengikut tradisi, Beduan ini akan dipersembahkan di atas balai yang dibina bersambung dengan rumah ibu. Balai ini dibuat tasak menggunakan daun kelapa yang cuma separas lutut. Para penonton atau tetamu akan melihat persembahan Beduan dengan berdiri di halaman rumah atau di dalam bangsal sambil memasak menyediakan hidangan. Gendang-gendang yang digunakan dalam Beduan agak besar, biasanya diperbuat daripada kayu nangka, temak atau merbau, yang menggunakan belulang(kulit) kambing atau lembu disirat dengan rotan (tukang belut). Gendang yang digunakan terdapat 3 jenis iaitu gendang ‘Pengibu’, besar lilitannya kira-kira 140 cm, gendang ‘Peningkah’ 90 cm dan gendang ‘Penganak’ lilitannya 110 cm. Gendang ‘Peningkah’ dan ‘Penganak’ amat kuat pukulannya sehingga bunyinya kedengaran dua atau tiga kilometer.

gendang beduan

Para pemain akan memenggang gendang masing-masing dan memukul gendang tersebut dengan irama beduan yang tersendiri sambil menyanyi. Lagu yang sering dipersembahkan ialah : Mula Pasang, Alang-alang, Orang Kaya, Syahbandar, Muda, Lumut, Cinta Landak, Naik Gajah dan Ulunulun. Mereka akan berbalas-balas pantun ketika menyanyi (melaung) itulah. Antara pantun yang dinyanyikan adalah :

Anak ayam dalam celepa,
Buka tudung patuk padi,
Siang malam tidak kulupa,
Kasih terkandung dalam hati.

Ayam hutan terbang ke hutan,
Kaki sangkut kerana duri,
Adik bukan abang pun bukan,
Hati tersangkut kerana budi.

Setiap lagu yang dipersembahkan memakan masa sangat lama, antara 45 minit sehingga sejam, oleh kerana itulah seni Beduan ini dipersembahkan bergilir-gilir dengan persembahan muzik gendang Tarinai sepanjang hari dan malam. Para pemainnya diberi jamuan bergilir-gilir ketika Beduan dipersembahkan. Apabila selesai dipersembahkan lagu pertama, jamuan ‘Pulut Bata’ (pulut kucai atau wajik yang dibentuk seperti bata) disediakan, selesai lagu ketiga dihidangkan pula nasi ‘hidangbesar’ atau’ayam golek’. Selesai lagu kelima, kuih-muih tradisional dihidangkan pula ‘Pulut sibar’ atau ‘pulut kukus’ dihidangkan selepas lagu kelapan atau terakhir.

pulut kucai

Terdapat suatu peristiwa yang amat dibimbangi oleh tuan rumah ketika dalam sesuatu persembahan Beduan terutama sekali pihak pengantin perempuan. Sewaktu persembahan Beduan ini hendak dimulakan, ibu dan bapa pengantin perempuan begitu bimbang dan khuatir jika ahli-ahli Beduan itu memlaungkan lagu atau pantun seperti berikut :

Burung murai mandi, Mandi air rumput,
Siapa hurai nyanyi, Boleh kawan tolong ikut,
Pinang kotai lambung, Sirih gagang layu,
Minta tabik tuan kampung, Anak dagang nak lalu.

Menurut kepercayaan orang dahulu, sebelum anggota Beduan mengadakan persembahan pihak ketua atau pemimpin kumpulan Beduan ini sebenarnya telah mendapat alamat peristiwa itu berlaku. Untuk mengelak daripada berlaku perkara-perkara yang tidak diingini, beliau akan menggunakan jampi sebelum memulakan persembahan. Jika lagu pantun tersebut dinyanyikan bererti ‘anak dara’ atau pengantin perempuan telah di ‘tebuk tupai’. Hanya pihak-pihak tertentu saja yang mengerti peristiwa tersebut. Keluarga pengantin perempuan terpaksalah memulang kembali segala hantaran dan alatan peminangan oleh kerana begitu malu.

hiasan

Sebenarnya seni Beduan bukan saja dimainkan di rumah-rumah kenduri perkahwinan tetapi turut dimainkan juga ketika berkhatan, pesta musim menuai, permainan istana ketika menyambut orang-orang besar dan mengubat sesuatu penyakit. Semoga usaha Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Perlis untuk mempopularkan kembali kesenian ini berhasil supaya ia tidak hilang dalam lipatan sejarah.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.