Seni Yang Hilang : Selampit

Seni penglipurlara sangat terkenal dalam tradisi masyarakat Melayu dahulu. Cerita-cerita seorang penglipurlara merupakan salah satu hiburan untuk rakyat pada waktu dahulu. Ia juga menjadi medium menyampaikan suri tauladan kepada anak-anak muda melalui jalan cerita lisan yang di selit unsur-unsur pengajaran. Negeri Perlis juga turut mempunyai seni penglipurlara iaitu Awang Batil dan Selampit. Kedua-duanya mempunyai teknik penyampaian yang berbeza.

Sebenarnya seni tradisi Selampit telah tersebar luas di negeri-negeri Perlis, Kedah dan Kelantan. Tradisi ini merupakan satu seni penglipurlara pada masa dahulu yang berpengaruh menghiburkan hati rakyat, di samping memperkaya seni sastera rakyat kita. Selampit bagaikan radio, televisyen, wayang gambar atau buku-buku cerita pada masa itu.
Penyampai Selampit akan merantau dari suatu tempat ke suatu tempat dan dari sebuah rumah ke sebuah rumah mempersembahkan cerita-cerita yang dipusakainya. Tok penglipurlara Selampit di negeri Perlis ini dikenali sebagai Selampit. Allahyarham Encik Ismail bin Hasan adalah satu-satunya Tok Selampit yang terdapat di Perlis, beliau tinggal di Kampung Nesam, Bintong, Perlis. Beliau digelar “Pak Me Selampit” kerana ketokohannya itu.

pak mae

Cerita-cerita Selampit oleh Encik Ismail sebenarnya dipusakai daripada keturunannya sendiri menerusi mimpi kira-kira sejak tahun 1943. Pada tahun 1946, beliau pertama kali melakukan persembahan cerita Selampitnya di rumah Tuan Haji Saad, Rantau Panjang, Kedah. Sejak dari itu bermulalah pengembaraan beliau dari satu tempat ke satu tempat mempersembahkan cerita-cerita Selampitnya termasuk dalam negeri Perlis, Kedah dan Wilayah Selatan Thailand.

Melaui pengembaraannya itu maka tersebarlah cerita-cerita Selampit yang dipusakainya. Antara cerita-cerita Selampit yang disampaikan beliau ialah: Selindung Bulan Kedah Tua, Si Suton, Anak Rusa Dani, Malik Sipulazan, Wan Empuk Wan Malini dan beberapa buah cerita lagi. Di antara begitu banyak cerita beliau, terdapat cerita yang khusus dipersembahkannya iaitu cerita Selindung Bulan Kedah Tua. Cerita ini mempunyai empat babak iaitu: Jerun Gelam Terung Pipit, Dewa Samsu Alam, Jin Sekitar Alam dan Bunga Rakma Mala.

Cerita-cerita lisan yang dipersembahkan beliau itu amat tinggi nilainya, di samping sebagai hiburan, cerita-cerita tersebut turut diselitkan pengajaran yang baik kepada masyarakat. Terdapat juga di antara cerita-cerita tersebut yang telah dibukukan seperti cerita “Lindungan Bulan Kedah Tua,” “Si Suton” dan “Anak Rusa Dani”.

buku

Persembahan Selampit di negeri Kelantan diiringi dengan muzik Rebab, akan tetapi Selampit Encik Ismail hanya menggunakan kemenyan sebagai alat bantu penceritaannya. Sewaktu beliau mempersembahkan ceritanya, kemenyan harus diasapkan seolah-olah asap kemenyan itulah sebagai sumber ilham kepadanya. Cerita beliau bergantung pada asap kemenyan tersebut, apabila kemenyan tersebut dipadamkan, maka beliau tidak akan dapat bercerita lagi.

Pada kebiasaannya sesebuah cerita Selampit itu dipersembahkan berterusan sambung-menyambung sehingga beberapa malam. Beliau akan mulai bercerita pada pukul 8.00 sehingga 12.00 tengah malam. Beliau akan berhenti rehat cuma dua kali sahaja ketika beliau mempersembahkan cerita itu, biasanya untuk minum air asam jawa atau air susu sahaja untuk membasahkan tekak.

Pondok kecil yang didirikan di tengah-tengah halaman setinggi kira-kira 12 kaki adalah tempat Selampit mempersembahkan ceritanya, kadang-kadang beliau turut membuat persembahan di atas balai. Para pendengar akan duduk mengelilingginya pondok kecil atau balai ini menyaksikan cerita yang dipersembahkan Selampit. Selampit menggunakan bahasa puisi sewaktu bercerita, biasanya menggunakan akhiran `a’ dan menggunakan irama Selampit yang tersendiri.

Jika terdapat adegan bersilat pada babak-babak tertentu, Selampit akan bersilat. Bahkan jika terdapat adegan persembahan Makyong, Dikir atau Wayang Kulit, Selampit akan menyesuaikan cara persembahaannya dengan irama permainan-permainan tersebut. Maka dengan itulah para penonton tidak berasa jemu atau bosan mengikuti persembahannya.

ganding

Selain daripada berselampit, Encik Ismail seorang yang sangat berkebolehan dalam berbagai bidang seni. Beliau berbakat dalam bermain Wayang Kulit, Dikir, Makyong, Menora dan Bersilat. Dalam bidang seni tari menari pula, beliau terkenal sebagai seorang penari tarian Tarinai. Tradisi Selampit ini dulu mendapat sambutan yang baik di kampung-kampung khususnya di rumah-rumah perkahwinan atau ketika lepas menuai padi. Selampit juga sebenarnya turut popular di Institut Pengajian Tinggi sebagai suatu sumber pengajian rakyat. Berbagai-bagai bidang didapat dikaji melalui cerita rakyat ini seperti bidang antropologi, psikologi, geografi, sejarah, sosial dan filologi.

Walaubagaimanapun, sangat disayangkan kerana setelah beliau meninggal pada tahun 1985 yang lalu, tidak ada keturunannya yang mempusakai persembahan tradisi Selampit yang dipusakai oleh beliau ini kerana kebetulan anak-anak beliau semuanya perempuan. Generasi muda juga tidak sempat mempelajari tradisi tersebut. Meskipun begitu tentulah tidak akan dilupakan jasa dan bakti beliau mempusakai tradisi Selampit ini.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.