Seniwati Sharifah Hanim Kerabat Di Raja Perlis

Salah satu cerita Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Masam-masam Manis, sememangnya tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia. Cerita komedi yang sering diputar di saluran tv ini adalah mengenai seorang teruna dan dara yang menyewa bilik di satu bangunan dan bilik mereka bersebelahan.

masam manis2

Mereka ni tak pernah kenal antara satu sama lain pun tetapi selalu bergaduh di balik dinding bilik masing-masing. Namun ironinya, dalam masa yang sama diluar rumah mereka sebenarnya bercinta. Salah satu dialog si dara bernama Norkiah yang popular itu :

“Hoi orang sebelah! Awat yang hang jolok kayu terjelir terjuntai ke bilik aku, haaaa?!”

Pasti semua orang ingatkan dialog tu. Tapi tahukah pembaca orangperlis.com sebenarnya yang melakonkan watak Norkiah yang fasih loghat utara itu sebenarnya kerabat Di Raja Perlis? Nama sebenar beliau adalah Yang Mulia Sharifah Hanim binti Almarhum Raja Syed Hamzah Jamalullail. Beliau adalah kerabat Diraja Perlis dan merupakan anak perempuan kepada Raja Syed Hamzah Jamalullail, hasil perkahwinan baginda dengan Sharifah Amina binti Syed Abbas Al-Sagoff yang merupakan isteri ketiga Raja Syed Hamzah.

hanim1

Raja Syed Hamzah ditabalkan sebagai Raja Perlis yang ke-5 pada 2 Februari 1943 di Istana Arau. Baginda memerintah selama lebih kurang 2 tahun sehingga Jepun menyerah kalah pada 17 September 1945. Pentadbiran Tentera British telah menyerahkan takhta kepada cucunda saudara Raja Syed Hamzah iaitu Raja Syed Putra Jamalullail. Baginda kemudian memilih untuk hidup diluar negeri Perlis dan menetap di Satun, Thailand. Namun, baginda kembali ke Tanah Melayu dan menetap di Alor Star,Kedah.

Syed Hamzah

Sharifah Hanim diputerikan di Bandar Diraja Arau, Perlis pada tahun 1935. Beliau telah mendapat pendidikan di Kolej Sultan Abdul Hamid hingga peringkat Senior Cambridge. Beliau pernah bertugas di Radio Malaysia sebagai juruhebah sambilan dan pernah juga menjadi operator telefon di Bank Negara Malaysia. Sharifah Hanim juga adalah merupakan juara pertandingan Ratu UMNO pada tahun 1956.

hanim3

Sharifah Hanim telah mendirikan rumahtangga dengan Jazamudin Baharuddin yang merupakan seorang penulis yang menggunakan nama pena Adi Muara pada tahun 1957. Sharifah Hanim telah dikurniakan dengan dua orang cahayamata perempuan hasil daripada perkahwinan ini iaitu Sulasteri dan Siti Asma. Beliau berkecimpung dalam dunia perfileman tanahair setelah diperkenalkan oleh suaminya. Filem Masam-Masam Manis merupakan penampilan pertama beliau dalam industri perfileman Melayu pada tahun 1965. Sebelum Sharifah Hanim memulakan pengambaran filem berkenaan, Tan Sri P Ramlee sendiri telah mendapatkan kebenaran daripada Istana Perlis.

masam manis1

Beliau bergiat aktif dalam dunia lakonan bermula dari 1962 – 1977. Antara filem lakonan beliau adalah Masam-Masam Manis(1965), Bukan Salah Ibu Mengandong(1969), Asmara Kirana(1970), Satu Penentuan(1973), Penyamun Si Bongkok(1973), Pertiwi(1975) dan Rahsia Hatiku(1975) yang merupakan filem berwarna pertama beliau dan menjadi filem terakhir beliau berlakon.

rahsia hatiku

Jodoh Sharifah Hanim bersama suaminya tidak lama, mereka bercerai pada tahun 1974. Penglibatan Sharifah Hanim dalam dunia lakonan agak terhad setelah itu kerana beliau lebih menumpukan perhatian terhadap penjagaan anak-anaknya selaku ibu tunggal.

Sekitar bulan Ogos tahun 2003, beliau telah dimasukkan ke wad kerana masalah tulang pinggul setelah terjatuh di rumahnya di Subang Jaya. Selain itu, beliau juga turut menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan hati. Pada 25 November 2003, kira-kira jam 5.30 petang, beliau telah menghembuskan nafas yang terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas berada di hospital berkenaan selama hampir tiga bulan. Jenazah Sharifah Hanim telah dibawa ke Perlis dan dimakamkan di Makam Diraja Lama Arau.

hanim2

Untuk pengetahuan pembaca orangperlis.com, Almarhum Raja Syed Hamzah Jamalullail sebenarnya merupakan komposer kepada lagu rasmi negeri Perlis. Mungkin bakat seni yang mengalir dalam diri Sharifah Hanim diturunkan daripada Almarhum Ayahandanya. Mungkin tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa Sharifah Hanim adalah kerabat Di Raja pertama di Malaysia yang berkecimpung dalam bidang seni hiburan tanah air sebagai seorang anak wayang? Semoga beliau ditempatkan di tempat yang terbaik di sisi-Nya. InsyaAllah.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.