Serangan Komunis Di Kg. Kok Mak

Setelah negara mencapai kemerdekaan pada 1957, masih terdapat lagi gerila-gerila komunis yang cuba menyebarkan propaganda untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia ketika itu untuk menubuhkan sebuah republik komunis di Tanah Melayu. Negeri Perlis yang berada di sempadan Thailand tidak terlepas dari serangan-serangan komunis.

komunis4

Gerila komunis ini bergerak di dalam hutan untuk menyukarkan pihak tentera menangkap mereka. Negeri Perlis yang sememangnya masih dipenuhi dengan kawasan hutan ketika itu menjadi tempat strategik mereka untuk keluar masuk Malaysia-Thailand untuk melepaskan diri dari serbuan tentera Malaysia.

peta kok mak

Pada hari Rabu, 10 Disember 1969, pengganas komunis telah meletupkan landasan keretapi di Kampung Kok Mak, iaitu lebih burang 5km dari Padang Besar pada waktu malam. Mereka telah menggunakan 200 hingga 250 paun bahan letupan untuk membinasakan jambatan landasan keretapi tersebut.

jambatan kok mak

Serangan tersebut dikatakan dilakukan oleh 20-30 orang pengganas komunis dan diantara meraka mungkin terdapat pakar-pakar letupan. Mereka mensabotaj pekhidmatan keretapi untuk menjatuhkan ekonomi Malaysia. Mereka memasuki Malaysia dengan menyeberangi sempadan di Polo Tiam, iaitu salah satu tempat persembunyian mereka.

komunis2

Oleh kerana itu, tentera-tentera Malaysia telah memperhebatkan gerakan untuk memburu pengganas-pengganas tersebut, namun mereka telah melarikan diri menuju ke seberang sempadan Thailand. Pasukan keselamatan Malaysia juga meminta bantuan Polis Thailand untuk memburu gerombolan komunis tersebut, namun mereka tidak berjaya ditangkap.

gerabak gelincir

Pada hari Ahad, 15 Disember 1969, satu lagi serangan pengganas komunis terjadi di Padang Besar. Pengganas komunis telah melepaskan kira-kira 15 das tembakan ke arah belakang Balai Polis Padang Besar pada pukul 9 malam. Bagaimanapun, tidak ada sebarang korban jiwa atau kerosakan pada bangunan balai dan bangunan sekitar dalam serangan malam tersebut.

balai polis

Seorang koperal yang bertugas di balai polis yang terletak hanya 1km dari sempadan Malaysia-Thailand itu telah membunyikan gong kecemasan dengan segera sejurus tembakan itu terjadi. Maka terjadilah tembakan serangan balas dari angota-angota polis yang bertugas ketika itu. Setelah beberapa lama aksi tembak-menembak itu, gerombolan komunis tersebut melarikan diri menyeberangi sempadan Thailand.

komunis 61

Pengganas komunis yang melakukan serangan itu dikatakan berjumlah antara 5 hingga 10 orang. Mereka melepaskan tembakan dari kawasan semak lalang tebal di belakang sebuah sekolah Cina kira-kira 350m dari balai polis Padang Besar itu. Namun tembakan-tembakan yang dilepaskan itu dikatakan banyak mengenai pokok asam besar yang tumbuh diantara balai polis dan sekolah Cina itu.

akhbar 16 dis

Peristiwa tembak-menembak ini walau bagaimanapun tidak mencemaskan penduduk Padang Besar yang berjumlah kira-kira 3000 orang ketika itu. Mereka menjalankan aktiviti seperti biasa pada keesokan harinya. Sekali lagi pasukan tentera tambahan dikejarkan ke sempadan untuk memburu pengganas komunis itu disertai pasukan Polis Thailand. Namun mereka tidak mudah ditemukan.

komunis1

Jalan raya yang menghubungkan Padang Besar-Thailand bagaimanapun tidak ditutup. Rakyat Malaysia dan Thailand bebas berulang alik menyeberangi sempadan dari pukul 6 pagi hingga 6 petang setiap hari namun kawasan keselamatan diperketatkan.

komunis3

Selain dari serangan-serangan yang dilakukan untuk mengancam pasukan keselamatan Malaysia, pihak komunis juga menyebarkan propaganda mereka kepada penduduk-penduduk sekitar sempadan Malaysia-Thailand, terutamanya penduduk Padang Besar. Mereka menyebarkan idelogi itu melalui radio, malah turut menghasilkan komik komunis untuk menarik minat golongan muda. Propaganda mereka dihiasi dengan janji-janji yang indah-indah untuk memenangi hati rakyat agar menyokong mereka. Keadaan Padang Besar yang mundur ketika itu dibandingkan kawasan-kawasan lain sememangnya menjadi sasaran empuk mereka untuk mempengaruhi penduduk. Namun matlamat komunis tidak berjaya.

chin peng

Setelah 60 tahun merdeka, kita rakyat Malaysia perlulah bersyukur dengan kemajuan yang telah kita kecapi serta keamanan yang kita nikmati sekarang hasil jerih payah nenek moyang kita mempertahankan kedaulatan negara. Sungguh mulia pengorbanan mereka sehingga kita tidak hidup dalam perasaan bimbang dan cemas serta dapat melakukan kerja dan ibadah dengan tenang tidak seperti negara-negara yang bergejolak sekarang.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.