Siapakah Pewaris Awang Batil?

Siapakah Awang Batil? Mungkin nama ini agak asing bagi penduduk di luar Negeri Perlis, namun dalam negeri ini, Awang Batil popular sebagai penglipurlara yang serba boleh. Seperti seni tarian atau persembahan yang menjadi identiti suatu negeri, Awang Batil adalah satu seni warisan turun temurun yang menghiburkan rakyat Negeri Perlis ini.

Awang Topeng

Seni Penglipurlara yang masih aktif dimainkan di Perlis ini mulanya dikenali sebagai ‘Awang Belanga’. Gelaran ini diberikan kerana belanga(kuali) digunakan sebagai alat musik iringan persembahan tersebut. Namun kerana belanga dipenuhi jelaga arang, penglipurlara ini menggantikan belanga dengan batil(bekas mengisi air yang diperbuat daripada tembaga) sebagai alat musik iringan. Oleh karena itu bermulalah gelaran Awang Batil.

Batil musik iringan

Pada masa dahulu, Awang Batil akan mempersembahkan cerita-ceritanya dari sebuah rumah ke sebuah rumah dengan mengembara dari sebuah kampung ke kampung yang lain. Biasanya persembahan dilakukan di rumah-rumah kenduri perkahwinan. Cerita yang dipersembahkan Awang Batil adalah cerita-cerita rakyat yang dipusakai turun-temurun melalui hafalan lisan. Ceritanya bersiri,dan bersambung malah dapat berlanjutan sehingga beberapa malam. Teknik persembahan yang bersahaja diselitkan dengan unsur jenaka beserta jari-jemari yang lincah memukul batil memukau pengunjung untuk terus menonton.

Selain itu, terdapat dua buah topeng yang digunakan dalam persembahan Awang Batil. Topeng ‘Ahli Nujum’ dan ‘Hulubalang’ akan digunakan apabila watak-watak tersebut muncul sesuai dalam jalan cerita yang disampaikan. Gimik ini menjadikan watak-watak dalam cerita-cerita Awang Batil lebih hidup dan realistik.

topeng

Sekarang, satu-satunya penggiat Awang Batil yang masih terus berkarya di Negeri Perlis ialah Encik Romli bin Mahmud. Beliau mewarisi seni Awang Batil ini daripada bapanya, Encik Mahmud bin Wahid (Allahyarham), yang juga merupakan penglipurlara Awang Batil yang terkenal suatu masa dulu. Encik Romli menjadi pewaris Awang Batil generasi ke-5 setelah ayahnya, pewaris generasi ke-4, mewarisi seni ini dari gurunya, Tok Mat Salmom.

Encik Romli Mahmud

Memang menjadi syarat untuk menjadi Awang Batil, seseorang itu harus berkebolehan bermain berbagai jenis alat muzik semasa melantunkan ceritanya. Encik Romli seorang yang serba boleh. Beliau mampu bermain batil, rebana, viola, gong dan serunai sesuai jalan cerita yang didendangkannya. Selain itu, penggunaan topeng ‘Ahli Nujum’ dan ‘Hulubalang’ yang berusia kira-kira 300 tahun turut menambah lagi keunikan seni warisan ini.

Alat musik yang digunakan

Kebolehan Encik Romli yang mengagumkan telah melayakkannya menerima Anugerah Tokoh Seni Budaya peringkat Negeri Perlis pada Majlis Aspirasi Tokoh Seni Perlis pada tahun 2012. Berkat usaha gigih beliau untuk memartabatkan kembali seni Awang Batil agar tidak tenggelam oleh arus permodenan telah membawa beliau hingga ke Singapura dan Jepun bagi mempersembahkan seni penglipurlara yang berusia kira-kira 300 tahun ini. Beliau juga turut mendapat Anugerah Tokoh Warisan Hidup dari Jabatan Warisan Negara.

Encik Mahmud

Banyak cerita menarik yang disampaikan oleh Awang Batil. Senarai cerita-cerita tersebut adalah :

  1. Mek Siti Galin
  2. Awang Akar Larak
  3. Awang Biawak
  4. Awang Denoi
  5. Awang Geliga Embun
  6. Awang Malim Awang Leman
  7. Awang Segan
  8. Jabak Dan Jabek
  9. Malim Deman
  10. Raja Dewa Lok
  11. Raja Darah Putih
  12. Raja Marakarma atau Awang Betui
  13. Raja Radin Mas atau Pak Long Nujum
  14. Raja Sultan Dewa atau Awang Ada Duit Semua Jadi
  15. Si Tokong Boge atau Batu Belah
  16. Thap Thin Thong

Encik Romli mahir viola

Namun anak jati Kampung Pokok Sena, Chuping, Perlis yang lahir pada 1955 ini, gusar hilangnya pewaris Awang Batil kerana peredaran zaman. Menurut beliau ada yang berminat belajar seni ini namun berhenti separuh jalan kerana tidak sabar atau tidak mampu fokus bermain berbagai jenis alat musik. Walaubagaimanapun beliau akan terus berusaha agar seni budaya ini tidak mati biar ramai yang tidak peka dan mengambil peduli usaha survival dilakukannya bersama rakan-rakan seperjuangan lain. Semoga seni Awang Batil akan kembali menyinar dan menemukan pewarisnya berkat kegigihan Encik Romli dan rakan seperjuangannya.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.