Sira Buah Belinggai

Pada zaman sebelum tahun 1950-an ketika ‘musim angin timur’ atau musim panas di negeri Perlis, dulu para petani sering mengadakan pelbagai pesta dan menyediakan sekian banyak makanan tradisi sempena menyambut musim tersebut. Hal ini kerana musim angin timur merupakan musim menuai padi kerana rata-rata penduduk negeri ini mengerjakan sawah, selain menuai hasil padi sebagai sumber sara hidup, mereka juga berhibur dengan bermain banyak permainan dan seni tradisi seperti Alu Bunyi, Beduan, Hadrah, Gendang Keling, Selampit, Penangin, Awang Batil dan Canggung.

Selain itu, pada musim angin timur juga tercipta pula berberapa jenis makanan tradisi seperti emping, ringgi, nira nipah, sira belinggai dan sebagainya. Musim agin timur adalah musim “temasya menumbuk emping” dan “temasya mengirik padi”. Pada masa tersebut sering juga diadakan majlis perkahwinan anak-anak muda.

pesta menuai

Sewaktu temasya menumbuk emping berlangsung, akan dihidangkan makanan tradisi yang dinamakan Sira Belinggai. Buah belinggai yang telah masak diolah dijadikan sira, khusus untuk dimakan bersama emping. Rasanya sungguh enak dan menyelerakan. Emping diperbuat daripada padi pulut yang masih muda. Para petani akan mengambil padi pulut muda untuk mengemping, padi pulut muda ini digoreng sekejap tanpa minyak kemudian ditumbuk dengan menggunakan lesung padi kayu sehingga menjadi bentuk leper. Selepas itu diasingkan kulit padi dari isinya dengan menampi menggunakan nyiru, isi itulah dipanggil emping.

emping

Pokok belinggai tumbuh subur di sekitar kampung petani. Batangnya besar dan tinggi, dahannya rendang, sehingga kira-kira 20 sehingga 30 meter. Diameter lilitan batangnya sebesar 100 sehingga 120 cm. Buahnya besar berbentuk bulat sebesar kira-kira 10 sehingga 12cm. Sebelum masak ranum, buah belinggai ini berwarna kehijau-hijauan, apabila masak berwarna coklat.

pokok belinggai

Kulitnya keras seperti tempurung kelapa, menyaluti isinya. Apabila hendak dimakan terpaksa diketuk kulitnya. Sebelum ranum, isi belinggai itu dimakan menggunakan garam belacan untuk dicicah atau dibuat “bincuk”. Rasanya kelat sedikit. Isi belinggai yang masak ranum berwarna coklat, berurat-urat dan mengandungi biji, rasanya agak manis. Isi belinggai yang masak ini dikeluarkan dari kulitnya.

belinggai pecah

CARA MEMBUAT SIRA BELINGGAI
Bahan yang digunakan ialah sebiji buah belinggai, setin susu cair, secawan santan dan sedikit gula. Buah belinggai yang telak masak ranum dipecahkan kulitnya atau dibelah dua. Biasanya buah belinggai itu dijemur terlebih dahulu selama dua atau tiga hari supaya isinya mudah lekang dari kulitnya. Isi buah belinggai itu dihancurkan sama ada menggunakan sudu atau diramas dengan tangan di dalam mangkuk atau pinggan. Setelah itu dituangkan santan atau susu, digaul dan diaduk sehingga sebati. Campuran isi belinggai dengan santan/susu tadi menghasilkan larutan lalu ditapis, mengasingkan biji dan serat yang terdapat dalam buah belinggai tersebut. Hasil larutan yang ditapis itulah dinamakan “Sira Belinggai”.

sira belinggai

Sira tersebut kemudian digaulkan bersama emping dan dimakan. Rasa lemak manis, sungguh enak dan mengenyangkan. Hidangan ini biasanya disajikan pada waktu petang setelah para petani pulang dari sawah, diminum bersama kopi atau teh.

emping sira

Sira belinggai ini turut dijadikan makanan sekeluarga atau dihidangkan kepada para tetamu. Sering juga dijadikan menu kenduri kepada jiran tetangga. Selain daripada membuat sira, isi buah belinggai yang masa itu boleh juga dimakan dengan kelapa parut yang digaul dengan gula. Begitulah sejenis makanan tradisi di negeri Perlis yang digemari oleh para petani kita suatu ketika dahulu. Sekarang ini amat jarang disajikan, malah ramai para petani generasi baru tidak mengenalinya.

Buah belingai juga terdapat di Indonesia. Di daerah Rembang, Jawa Tengah, buah ini dipanggil buah kawista, bahkan di sana sekarang buah ini dikomersilkan dan dijadikan produk minuman sirap kawista.

sirap belinggai

Berbeza dengan di negeri Perlis sekarang, buah-buah belinggai yang masak terbiar begitu sahaja bertaburan di bawah pokoknya. Generasi sekarang tidak minat memakannya kerana terdapat sekian banyak makanan moden menggantikan makanan tradisi tersebut. Oleh itu seharusnya diperkenalkan kembali makanan ini oleh ahli-ahli budaya kita agar sira belinggai tidak berkubur begitu sahaja kerana makanan tersebut juga mengandungi khasiat yang baik untuk menyihatkan badan.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.