Tarian Canggung adalah Mak Yong?

Benarkah Tarian Canggung itu adalah tarian Mak Yong? Tarian canggung adalah tarian yang menjadi identiti seni tarian Negeri Perlis. Perkataan "CANGGUNG" itu sendiri berasal dari bahasa Thai iaitu "TANGGUNG" yang bermaksud menari.

Keasliannya terletak kepada nyanyiannya secara berbalas pantun. Tarian ini menjadi terkenal pada waktu pendudukan Jepun sekitar Disember 1941. Ianya bermula dengan persembahkan yang dilakukan oleh dua orang penari adik beradik, Cik Lian dan Cik Intan, dalam satu keramaian besar-besaran untuk tentera Jepun dan orang ramai yang diadakan di Bandar Kangar. Berpuluh-puluh permainan dipersembahkan namun tarian Canggunglah yang paling mendapat sambutan. Maka berkembanglah Canggung ke seluruh Negeri Perlis berawal dari persembahan ini dan seterusnya menjadi tarian yang terkenal.

Penari Puteri

Sebenarnya Canggung ini adalah berasal dari salah satu siri tarian dalam Mak Yong Laut yang berasal dari daerah Kepulauan Siam. Mat Yong Laut ini berkembang di negeri Perlis kira-kira pada tahun 1920 an. Tarian Mak Yong Laut diajarkan oleh seorang guru yang dikenali sebagai Tok Mat Buaya. Cik Halimah yang merupakan guru kepada Cik Lian dan Cik Intan, telah mempelajari seni Mak Yong Laut ini dari Tok Mat Buaya. Pada suatu ketika, Cik Halimah ingin mengadakan suatu permainan dalam usaha mencungkil bakat Cik Lian dan Cik Intan, namun Cik Chik (ibu Cik Lian & Cik Intan) tidak bersetuju mereka menceburkan diri dalam permainan itu. Oleh kerana itu, kedua mereka telah menciptakan tarian dengan gaya yang tersendiri penyesuaian dari siri tarian Mak Yong Laut itu.

Mak Yong

Tarian canggung dipersembahkan dalam berbagai acara seperti majlis perkahwinan, mengisi waktu lapang selepas menuai padi, dalam perayaan-perayaan negeri dan di dalam istana. Canggung ketika waktu kemasyhurannya dahulu menjadi sumber pendapatan untuk membina kehidupan. Misalnya kumpulan tarian Canggung mandapat bayaran daripada tuan rumah apabila dijemput mengadakan persembahan di majlis kenduri kahwin, dan penonton dapat menari dengan percuma. Mereka turut diberikan bayaran jika dijemput oleh mana-mana pihak untuk menyerikan sesuatu majlis dan penonton-penonton yang ingin turut menari akan dikenakan bayaran 25 sen seorang setiap kali menari.

Putrri dan asuk

Persembahan Canggung ini biasanya diadakan pada waktu malam hingga larut malam. Persembahan dimulakan dengan upacara jampi, berseru dan bertabik dengan tujuan meminta supaya dijauhkan kumpulan tarian daripada segala bahaya, terutamanya pergaduhan yang berpunca daripada penonton-penonton yang berebutkan penari-penari yang jelita. Tujuan jampi juga adalah untuk menarik perhatian penonton-penonton supaya tidak merasa bosan dengan persembahan mereka. Canggung awalnya diadakan di kawasan tanah lapang, seperti di atas tanah sawah iaitu selepas kerja-kerja menuai, di atas pentas pentas dan kemudian telah berubah ke dalam dewan.

Pesta Budaya

Canggung di persembahkan secara berpasangan penari lelaki dan wanita. Penari wanita disebut sebagai "Puteri" dan penari lelaki digelar sebagai "Putera" atau "Asuk". Pemain alat-alat muzik biasanya terdiri dari golongan lelaki sahaja. Alat-alat muzik yang digunakan ialah gendang peningkah (sejenis rebana), gendang ibu, gong dan viola. Tarian Canggung ini akan diiringkan dengan Lagu Canggung iaitu lagu berbalas pantun seperti pantun kasih, jenaka, memikat, memujuk, sindiran dan nasihat. Pantun ini akan dinyanyikan secara bergilir-gilir oleh penari-penari secara berpasangan. Puteri akan memulakan nyanyian dan kemudian dibalas oleh putera. Setelah pasangan itu selesai, pasangan lain pula akan menyanyi dengan pantun yang berlainan.

Pantun Canggung

Puteri-puteri biasanya akan berpakaian menurut pakaian Melayu asli seperti kebaya, berbaju kurung atau berbaju labuh dan berkain songket, sanggul lintang yang diselit dengan bungam subang, gelang dan sehelai selendang kecil atau saputangan. Terdapat tarian-tarian lain yang turut digandingkan dengan tarian Canggung seperti tarian Cinta Sayang, Layang Emas, Mak Inang Jawa, Ayam Didik, Yong Laut, Timang Burung dan lain-lain. walaubagaimanapun tarian Cinta Sayang adalah yang paling sering digandingi dengan tarian Canggung.

Tarian Canggung turut mengalami zaman penurunan popularitinya iaitu pada awal tahun 1960-an. Hal ini mungkin kerana muncul banyak alternatif hiburan lain seperti wayang gambar, televisyen dan sebagainya. Bertambahnya kesedaran masyarakat terhadap nilai ajaran agama Islam turut membatasi perkembangannya. Sebab lain pula mungkin kerana tanggapan bahawa moral Canggung kurang baik dan ramai kaum wanita yang menentang kerana menjadi pencetus perpecahan dalam rumah tangga.

Canggung Bule

Kini, tarian Canggung kembali dihidupkan semula melalui pengajaran, persembahan dan pertandingan tarian yang diadakan di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi. Tarian ini juga turut diadakan dalam majlis-majlis keramaian dan acara-acara kebudayaan bertujuan untuk memelihara seni tradisi negeri ini. Semoga tarian canggung ini tidak hilang daripada radar seni tari tradisi tanah air.

Previous articleSiapakah Pewaris Awang Batil?
Next articleBerkelah Santai Di Dalam Ladang Nipah
Abu Bukhari
Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.