Temasya Laga Kerbau di Perlis

Seiring peredaran zaman, mungkin ramai yang tidak percaya bahawa suatau masa dulu di Negeri Perlis terdapat pertandingan Laga Kerbau yang sering diadakan sehingga menjadi suatu temasya hiburan rakyat yang sangat popular. Sejarah Laga Kerbau di Negeri Perlis mungkin sudah dilupakan oleh penduduk negeri ini. Orang-orang tua yang sempat menyaksikan Laga Kerbau ini mungkin juga sudah lama pergi meninggalkan kita.

kerbau

Pasti ramai dikalangan pembaca orangperlis.com yang tidak percaya jika diceritakan bahawa seluruh kawasan di sekitar Masjid Alwi Kangar, kira-kira pada awal abad ke-19, telah dijadikan gelanggang laga kerbau. Kawasan tersebut menjadi pusat tumpuan bagi seluruh kawasan di negeri Perlis. Temasya Laga Kerbau ini bukan sahaja dihadiri rakyat jelata, bahkan dihadiri oleh orang kenamaan, sehingga disediakan tempat-tempat duduk ‘hang’ atau rumah-rumah kecil disekeliling gelanggang itu untuk VIP.

laga 4

Kawasan-kawasan yang terkenal dengan temasya laga pada waktu itu adalah seperti Kangar, Padang Pauh, Paya, Santan, Mengulang, Changkat Lada, Arau, Seriab, Beseri, Padang Lati dan Guring. Pusat atau gelanggang bagi perlawanan laga kerbau adalah di Kangar dan Arau. Acara laga kerbau dapat disertai oleh sesiapa sahaja. Si tuan empunya kerbau mesti mengikut perjanjian dengan orang tengah (ketua atau residen) sebelum perlawanan dimulakan. Perjanjian ini bukanlah mendatangani sebarang surat melainkan mereka hanya membuat perjanjian mulut yang dipanggil “Aci Mulut”.

Antara perjanjian-perjanjian itu berkisar pada aspek:

  1. Sesiapa yang kalah, dia mesti menyerahkan kerbaunya kepada si pemenang.
  2. Tanduk kerbau diteliti oleh kedua belah pihak,agar tidak membawa bahaya.
  3. Sabung dalam – tuannya mesti membuat pertaruhan sekiranya kerbaunya kalah, harus membayar wang sebanyak RM50.00 yang pada waktu itu mungkin bernilai lebih dari RM1000 sekarang.

Perjanjian-perjanjian tersebut akan ditilik atau diteliti oleh bomoh atau ‘tukang tilik’ sebelum dimulakan perlawanan atau perlagaan.Kerbau-kerbau yang akan dilagakan itu dijaga atau dibela selama tiga bulan. Setelah genap tempoh tersebut, tarikh dan masa perlagaan pula akan ditetapkan oleh pihak yang bertanggungjawab. Biasanya tarikh pelagaan itu dapat ditetapkan mengikut persetujuan antara kedua belah pihak.

laga1

Laga kerbau sering diadakan pada waktu petang, kira-kira jam 3.30 atau 4.00 petang. Apabila tiba masa dan tarikh yang ditetapkan, kerbau-kerbau yang akan berlaga mesti dibawa ke tempat gelanggang. Perlagaan kerbau tetap dijalankan, tanpa menghiraukan keadaan kerbau itu sakit atau sihat. Pihak bomoh atau tukang tilik akan meneliti pada tiga perjanjian “Aci Mulut” sebelum perlagaan dimulakan.

laga2

Pada malam sehari sebelum acara perlagaan kerbau dijalankan, suatu upacara tradisi kebudayaan akan dipersembahkan. Upacara tradisi yang sering dipersembahkan ialah Beduan, Mak Yong, Wayang Kulit, Menora, Gendang Kerbau (gendang-gendang kecil) dan permainan judi. Persembahan ini sangat ditunggu-tunggu dan digemari oleh masyarakat yang sudah lama berada di tempat perlagaan itu. Upacara laga kerbau ini dianggap sebagai suatu temasya yang paling meriah dan digemari segala bangsa kerana pada masa itu tiada lagi hiburan lain seperti televisyen dan wayang sekarang ini, maka keramaian sebegini merupakan saat yang paling ditunggu-tunggu.

laga3

Sudah menjadi kebiasaan pada ketika itu orang yang meminati acara perlagaan kerbau ini akan datang sejak dua tiga hari sebelum perlawanan itu dijalankan. Terdapat juga peminat-peminat dari Kedah datang awal ke Perlis demi untuk menyaksikan temasya laga kerbau walaupun mereka terpaksa berjalan kaki hingga berpuluh-puluh kilometer di samping membawa nasi bekal kerana pada ketika itu belum memiliki kenderaan.

Bagi yang tinggal di pinggir sungai pula akan mengikuti arus sungai dengan menaiki rakit atau perahu. Tidak kurang juga terdapat di antara meraka yang datang menaiki gajah. Kangar, Beseri, Padang Lati, Mengulang, Guring, Changkat Lada dan Seriab adalah tempat-tempat yang sering menjadi pusat perlagaan kerbau. Kerbau-kerbau yang mengambil bahagian dalam perlagaan itu biasanya diperhiaskan dengan kertas-kertas warna di tanduknya. Upacara perlagaan kerbau itu akan berlangsung masa sekurang-kurangnya tiga jam dan kadang-kadang berlanjutan sehingga sehari suntuk.

laga5

Acara laga dimulakan dengan mempertemukan tanduk kedua-dua kerbau yang akan berlaga. Setelah tanduk kerbau A dan kerbau B dipertemukan, maka tali yang dipegang oleh pemilik atau tuan yang empunya kerbau akan dilepaskan. Maka berbemulalah kedua-dua kerbau itu berlaga. Sekiranya kerbau A dapat mengalahkan kerbau B, maka kerbau B diperbolehkan untuk berlaga sekali lagi denga kerbau A dalam perlawanan kedua dalam tempoh masa 3 bulan. Antara kerbau-kerbau yang terlibat dalam perlagaan ini, ada juga yang mendapat kecederaan parah sehingga membawa maut disebabkan oleh tikaman tanduk yang merbahaya.

Kerbau-kerbau laga ini juga mempunyai nama-namanya mengikut karakter seseekor kerbau itu sendiri. Antara nama-nama kerbau laga yang pernah menjuarai laga kerbau suatu masa dulu ialah :

  1. Hujan Lebat
  2. Bintang Sekawan
  3. Bintang Tunggal
  4. Tebuan Tunggal
  5. Batu Berendam
  6. Kala Deksa
  7. Gergasi

Hujan Lebat sangat terkenal pada zaman itu kerana telah tujuh kali mendapat kemenangan. Kerbau tersebut adalah kepunyaan Cik Ali bin Hj. Kassim. Namun, populariti Hujan Lebat bertukar milik setelah ia dikalahkan oleh seekor kerbau lain yang bernama Chapang. Chapang ini adalah kepunyaan Tuan Wan Ishak bin Wan Daud. Bentuk tubuh Chapang ini sangat luar biasa kerana besar dan tegap. Chapang telah menjadi popular di zaman itu. Dikatakan ukuran panjang badan Chapang ialah 8 kaki 7 inci dan 2 hun, besarnya 7 kaki 6 inci manakala tingginya 4 kaki 4 inci dan 3 hun.

laga feat1

Dalam perlagaan kerbau di Perlis, tidak ada kerbau-kerbau dari luar negeri ini yang dibawa masuk ke Perlis untuk dilagakan. Tetapi terdapat juga kerbau-kerbau dari Perlis yang dibawa keluar negeri untuk diperlawankan.
Pada zaman itu, sebelum dan selepas temasya laga kerbau, sering berlaku krisis peribadi atau berpuak-puak antara pemilik-pemilik kerbau.

Gejala-gejala yang kurang menyenangkan sering berlaku diantaranya ialah:

  1. Tembok – (lebih kurang seperti “voodoo”, caranya ialah dengan mengambil bulu atau tahi serta air kencing kerbau untuk dicampurkan dengan tanah dan diuli sehingga merupai seekor kerbau, lantas dibakar. Dengan begitu kerbau yang kuat dan garang itu akan hilang daya kekuatannya.
  2. Tanam ubat.
  3. Jamu Hantu – (seperti tanam telur dan lain-lain).

Oleh kerana itu, telah menjadi satu pantang larang bagi pemilik-pemilik kerbau laga untuk membenarkan orang yang bukan dari golongan keluarga mendekati kerbau laganya. Hal ini adalah demi menjaga keselamatan kerbau itu.

Kini, tiada lagi temasya laga kerbau di negeri Perlis. Acara laga ini telah pun dihentikan lebih 100 tahun lalu, iaitu sejak sekitar tahun 1910-an lagi. Temasya laga kerbau ini diberhentikan oleh kerana pengaruh pemahaman keagamaan dalam masyarakat orang Islam sudah sudah semakin mendalam dimana ajaran Islam melarang keras perbuatan melagakan binatang.

sayang kerbau

Selain itu, Orang Melayu sendiri juga mulai sedar hakikat ‘Laga Kerbau’ itu sebenarnya adalah suatu penyiksaan terhadap binatang. Oleh yang demikian, Kerajaan negeri Perlis juga telah mengambil keputusan mengharamkan temasya laga kerbau. Temasya laga kerbau di Perlis sekarang hanya menjadi satu peristiwa sejarah, dan menjadi pedoman kepada kita agar bersyukur dengan nikmat pemahaman agama yang kita kecapi sekarang.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.