Ustaz Nordin Ismail : Cabaran Memerangi Khurafat

Nama Ustaz Nordin bin Ismail memang tidak asing lagi buat penduduk muslim negeri Perlis. Beliau merupakan seorang guru agama, pendakwah dan juga pejuang kemerdekaan di Perlis maka sebut saja nama Ustaz Nordin (Dato’ Setia Bakti) pasti ramai orang yang mengenalinya. Beliau dilahirkan pada 24 Ogos 1923 di Kampung Sena, Kangar kira-kira pada pukul 5 pagi hasil perkahwinan Ismail bin Senawi dengan Hawa bin Lebai Ismail.

Beliau mendapat pendidikan pada peringkat awal di Sekolah Melayu Kangar hingga Darjah Lima dan turut belajar di Pondok Haji Rawi Kampung Sena. Haji Rawi merupakan ayah kepada penulis terkenal, Na’aman Mohd. Rawi atau nama penanya Nahmar Jamil. Kemudian beliau melanjutkan pengajian hingga Tingkatan Dua Khas di Sekolah Al-Alawiyah Arau. Sekolah tersebut telah di buka sekitar awal tahun 1930-an melalui kutipan wang zakat di kalangan umat Islam tempatan yang digerakkan oleh raja pemerintah ketika itu, Almarhum Tuanku Syed Alwi.

ustaz nordin

Sekolah Al-Alawiyah Arau menggunakan bahasa pengantar Bahasa Arab disamping mata pelajaran Bahasa Inggeris turut diajarkan kerana penubuhannya ialah semasa zaman penjajahan British Setelah enam tahun belajar di situ, beliau kemudian meneruskan lagi pengajian dalam kelas khas di sekolah tersebut selama dua tahun. Tujuan beliau mengikuti kelas khas adalah sebagai persiapan untuk menjadi seorang guru. Setelah tamat pengajian di kelas khas tersebut pada tahun 1943, beliau terus diberi tanggunjawab untuk menjalankan tugas sebagai seorang guru dengan mengajar di Sekolah Al-Alawiyah Cawangan Simpang Empat. Beliau diberi tugas untuk mengajar agama dan bahasa Arab. Demi tanggungjawab sebagai guru dan minat untuk mendidik anak bangsa, waktu itu beliau sanggup mengayuh basikal melalui jalan tanah merah dari Kangar ke Simpang Empat setiap hari.

Al alawiyah

Setelah tiga tahun bekerja di situ, beliau berpindah menjadi guri di Sekolah Arab Perempuan, Pengkalan Asam,iaitu di tapak denai larian, Pengkalan Asam sekarang. Selepas dua tahun, beliau kembali tempat pengajian lamanya di Sekolah Al-Alwiyah Arau manjadi guru di sana. Sekali lagi beliau berulang alik daripada Kangar ke Arau dengan mengayuh basikal. Di Arau beliau mengajar sehingga tahun 1966 sebelum dipindahkan untuk bertugas di Pejabat Agama Islam Negeri di Kangar sebagai seorang mubalig. Di samping itu, beliau turut menjadi penolong imam di Masjid Alwi pada masa yang sama. Imam Masjid Alwi, Kangar pada masa itu ialah Allahyarham Sheikh Abu Bakar Ashaari. Pada tahun yang sama juga beliau dilantik menjadi guru agama oleh kerajaan untuk bagi memberi bimbingan kepada kira-kira 700 jemaah haji di atas kapal haji yang belayar daripada Pelabuhan Pulau Pinang ke Pelabuhan Jeddah, di Arab Saudi.

Ustaz Abu Bakar

Perjalanan haji pergi dan balik di atas kapal pada masa itu mengambil masa kira-kira sebulan. Namun begitu, peranan lebih mencabar dilalui oleh Ustaz Nordin sewaktu menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang mubalig di Jabatan Agama Islam Negeri Perlis. Selari dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis yang menyatakan pegangan agama mengikut Sunnah Wal-Jamaah, iaitu berpegang pada ajaran Al-Quran serta Sunnah Nabi Muhammad s.a.w., beliau perlu memberi tumpuan untuk memastikan setiap umat Islam di negeri ini mengikuti sepenuhnya oleh apa yang disebut dalam perlembagaan tersebut.

Fokus kerja beliau ialah mengajak masyarakat Islam tempatan membuang sama sekali segala amalan dan fahaman khurafat serta karut yang sekian lama menjadi kebiasaan dalam kehidupan harian mereka. Amalan-amalan khurafat itu tidak terdapat sama sekali dalam ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Amalan-amalan khurafat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu Perlis ketika itu antaranya ialah percaya kepada keramat, menyembah busut dan pokok-pokok tertentu yang kononnya berkuasa, memuja pantai, memanggil semangat padi, mandi tian bagi wanita yang mengandung anak sulung dan “menurun” untuk mendapat nombor ekor atau mengubati penyakit. Pada masa itu segala amalan tradisi khurafat tersebut sudah menjadi begitu sebati di kalangan masyarakat Melayu tempatan hingga ada yang mennyangka ianya sebagai salah satu amalan dalam hidup Islam.

busut

Hal ini tambah memeningkan kepala Ustaz Nordin kerana bukan mudah hendak mengajak masyarakat Melayu pada masa itu untuk meninggalkan segala amalan tersebut. Apatah lagi jika mereka mengaitkan Agama Islam kepada amalan tersebut. Mereka menganggap amalan itu tidak boleh di tinggalkan kerana ia berkaitan dengan ajaran Islam. Namun beliau tidak lemah semangat menghadapi cabaran ini dan tidak menganggapnya sebagai penghalang untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawabnya itu. Nabi Muhammad s.a.w. sendiri terpaksa menempuh dugaan dan halangan yang lebih hebat semasa membawa agama Islam kepada masyarakat jahilliah dahulu, bagi Ustaz Nordin, cabaran yang diirasai oleh beliau tidaklah seteruk itu.

puja padi

Bermodalkan sebuah basikal, segenap pelusuk rantau negeri ini beliau berkayuh untuk memberi bimbingan dan pengajaran mengenai ajaran Sunnah Wal-Jamaah serta mengajak umat Islam meninggalkan segala amalan khurafat. Ketika itu masyarakat Melayu Perlis menggelarkan usaha Ustaz Nordin serta rakan-rakannya yang membantu menjalankan dakwah itu sebagai “kaum baru”.

Peristiwa yang tidak dapat dilupakan oleh Ustaz Nordin adalah, semasa beliau menjalankan tugas pada suatu malam disebuah kampung di selatan Perlis, basikalnya pernah diletakkan bangkai ular dan dibuang angin tayar oleh mereka yang tidak menyukai ajaran dakwahnya itu. Pernah juga basikalnya dibuang tayar dan rantai pada malam yang lain. Mereka bertujuan untuk menakutkannya supaya tidak meneruskan dakwah yang dilakukannya itu. Namun semangatnya tidak lemah sama sekali menghadapi segala perbuatan tersebut. Dakwahnya tetap diteruskan. Alhasil, beliau telah berjaya apabila kini sebilangan besar umat Islam di Perlis sudah sedar dan tidak lagi yang melakukan segala amalan khurafat tersebut.

ular basikal

Pada tahun 1979, beliau bersara dari jawatannya sebagai seorang mubalig di Jabatan Agama Islam Negeri. Tetapi, beliau masih menjadi ahli Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang dipegangnya sejak tahun 1966. Ustaz Nordin turut diberi tanggungjawab menjadi orang yang membaca doa di majlis penurunan bendera Union Jack dan menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu pada malam 31 Ogos 1957 sempena pengisytiharaan kemerdekaan negara peringkat negeri Perlis yang diadakan di perkarangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, iaitu kawasan Taman Merdeka sekarang.

ustaz nordin2

Beliau bersyukur kerana doa yang dipanjatkannya memohon perubahan hidup kepada masyarakat Melayu dan umat Islam di negeri Perlis ini bebas dari keadaan kemiskinan, kejahilan dan kekufuran kepada keadaan yang lebih selesa, cerdik serta meninggalkan segala amalan khurafat sudah menjadi kenyataan dan dimakbulkan Illahi. Dengan pengalaman dalam bidang keagamaan dan dakwah yang begitu banyak ada pada dirinya, Ustaz Nordin pernah diundang oleh bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk menjadi salah seorang ahli panel bagi rancangan Wawancara Bersama Menteri Besar melalui Perlis FM setiap petang hari Jumaat. Semoga rakyat Negeri Perlis skan terus mengamalkan ajaran Islam yang sesuai dengan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah, insyaAllah.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.